Benar, semua antara kita mahukan keberkatan hidup dari Allah. Bila dapat berkat Allah, itu bermakna walau sedang dalam kepayahan dan kesusahan sekali pun, ianya dapat dilalui dengan tenang.
Berkongsi kisah hidup berkenaan berkat ini dari ustaz Abu Hurairah Asifah ini, elok juga dijadikan panduan bersama. Jom semak apa kisahnya itu.
Mak telefon 6.30 pagi. Minta hantarkan ke stesen bas. Mak nak ke Tanjung Malim, tempat lama mak.
Esok ada majlis bacaan Al-Quran. Itulah mak. Hidupnya suka berjemaah dengan kawan-kawan. Menghiburkan hati dengan Al-Quran.
Saya tengok meter minyak dah kuning. Kena isi jap lagi ni. Tengok dompet ada RM50 saja. InsyaAllah, cukuplah ni.
Sampai stesen bas, mak tanya.
"Amat ada duit tak? Nak tambang. Umi dah takde duit"
Allahu. Bersalah rasa tak bagi lagi duit belanja. Saya terus ambil RM50 tadi dan bagi pada mak.
"Eh? RM10 dah la mat. Buat tambang je"
"Takpe umi. Ambillah. Ada rezeki lain ni"
Itulah jawapan saya. Buat penyejuk hati.
Mak berlalu. Tinggallah saya nak patah balik ke rumah. Minyak betul-betul ke bawah palang. Gerak ni tak tahulah sampai ke tak.
Sedang nak jalan, saya nampak satu kereta tepi jalan tersadai. Ada seorang wanita. Ada anak yang sedang pakai baju sekolah. Nak pergi sekolah rasanya ni. Saya terus datang dan tegur.
"Maaf, kenapa cik?"
"Oh. Saya punya kereta tiba-tiba mati. Tak boleh hidup langsung"
"Oh. Saya cuba boleh?"
Saya pun cuba start. Tak boleh. Saya buka bonet, check bateri semua. Rasanya, bateri ni kong. Saya terus bawa kereta dekat. Tukar bateri saya ke dia. Boleh start. Saya tukar balik bateri ke saya. Sementara ni, kereta dia boleh jalan lagi asalkan jangan matikan enjin.
"Cik nak hantar sekolah ke?"
"Ha ah. Nak singgah kedai ni beli roti, tiba-tiba mati"
"Oh. Bateri kong ni. Tapi jangan matikan enjin. Selesai hal anak, terus ke bengkel atau kedai bateri ya"
"Ok. Berapa ni?"
"Eh tak payahlah. Yang penting anak nak ke sekolah tu"
"Eh? Jangan macam tu. Jap"
Dia buka dompet, keluarkan RM100. Dia hulur ke saya.
"Eh cik. Jangan. Saya nak bantu je"
"Tolonglah terima. Encik dah bantu saya ni. Saya tunggu sini dah lama. Suami pun tak jawab call. Saya pening sangat. Mujur encik ada. Ambillah. Boleh?"
Saya ambil dengan penuh terharu.
Itulah berkat. Itulah yang Allah nak kita belajar dalam hidup. Memang susah. Memang payah.
Namun, hidup ini kan ada Allah?
Terima kasih Allah.
sumber : Abu Hurairah Asifa