“Isyarat Cinta Faiz & Fara.” Pengantin Bisu Lafaz Akad Nikah Guna Bahasa Isyarat, Guru Sendiri Jadi Penterjemah. Sebak!

Share

Momen indah bergelar raja sehari adalah saat yang dinantikan bagi setiap pasangan yang bakal bergelar suami isteri. Termaktub sudah ikatan pernikahan  antara lelaki dan wanita. Pasti debaran lebih kepada sang suami yang bakal berjabat tangan dengan tok kadi sebelum sang isteri menjadi miliknya yang sah.

Namun, bagi pasangan suami isteri istimewa ini cukup berbeza. Bila mana saat pengantin lelaki ‘melafazkan’ nikah dalam bahasa isyarat  membuatkan tetamu hadir sebak dan terharu. Ini kerana majlis kad nikah itu membabitkan pasangan pengantin bisu.

Kisah pasangan pengantin ini dimuat naik menerusi satu rakaman video, si pengantin lelaki menyempurnakan akad nikah menggunakan bahasa isyarat sambil diiringi oleh guru sekolahnya untuk proses alih bahasa.

Itu perkongsian seorang pengguna Twitter bernama Erin Kahar apabila memuat naik satu rakaman video menunjukkan pengantin lelaki bernama Muhammad Faiz menggunakan bahasa isyarat ketika melafazkan akad nikah yang kemudian diterjemahkan oleh guru sekolahnya.

Atas bantuan guru itu, Muhammad Faiz dan pasangannya bernama Fara sah bergelar suami isteri.

Percintaan bermula di bangku sekolah itu membuatkan netizen berasa kagum dan sehingga kini video tular itu meraih lebih 500,000 tontonan.

Perkongsian video tersebut turut mengundang rasa sebak netizen kerana melihat kelancaran pengantin lelaki menggunakan bahasa isyarat terutama mengeja nama pengantin perempuan.


Dalam pada itu, komen yang diberikan netizen ternyata amat kagum dengan proses akad nikah tersebut dan menganggapnya satu momen yang jarang dilihat.

Malah, tidak kurang juga yang sebak apabila melihat kesungguhan pengantin lelaki berkenaan.