Secara tiba-tiba, isu perubahan dalam isu moratarium menimbulkan panik dan kurang senang sejak semalam. Rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati bila mana isu ini ditimbulkan. Dalam satu laporan Berita Harian Online semalam, peminjam pinjaman sewa beli yang memilih mengambil moratorium enam bulan dari 1 April hingga 30 September 2020 akan mempunyai pilihan dari segi pembayaran balik.
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam kenyataannya berkata, pelanggan terbabit boleh memilih untuk membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan caj faedah tambahan.
“Atau mereka boleh terus membayar balik ansuran selepas Oktober 2020 menerusi lanjutan enam bulan tempoh pembayaran balik selepas tarikh matang asal.
“Dalam kes ini, faedah berdasarkan kadar kontrak akan dicaj ke atas jumlah ansuran tertangguh sehingga dibayar sepenuhnya, yang sepatutnya pada akhir tempoh lanjutan enam bulan,” katanya.
ABM berkata, bagi pelanggan sewa beli yang tidak mengesahkan secara rasmi penerimaan moratorium sebaik menerima notifikasi daripada bank masing-masing, mereka dianggap tidak mengambil moratorium.
“Justeru, pelanggan sewa beli perlu terus membayar ansuran bulanan seperti biasa mengikut jadual asal,” katanya.
Bagaimanapun, ABM berkata bank ahli tidak mengenakan caj faedah tambahan atau fi bayaran lewat bagi ansuran tertunggak bagi April dan Mei oleh pelanggan yang menangguhkan bayaran ansuran bulanan, jika bayaran bagi April, Mei dan Jun 2020 dibuat tidak lebih daripada 30 Jun 2020.
“Jika bayaran tidak dibuat menjelang 30 Jun 2020, akaun akan tertunggak dan caj bayaran lewat akan mula terakru daripada Julai 2020 seterusnya,” katanya.
Justeru, pelbagai pihak tampil memberikan penjelasan ringkas berkenaan hal tersebut. Dalam satu perkongsian, Nor Zabetha yang merupakan seorang peguam turut berkongsi pandangan mengenai hal tersebut.
Bila kita mula-mula paham A dan kemudian tiba-tiba jadi B. Itulah masalahnya. Tambah pula kita dah yakin pasti yang pilihan A itu mutlak, legalah sikit hati ni.
Masa pengumuman asal Moratorium ini, seingat saya termasuk pinjaman rumah dan sewa beli kenderaan. Tidak ada caj faedah dikenakan sekiranya kita pilih option Moratorium 6 bulan. Kan? Boleh google dan baca balik mengikut bank.
Sekarang pula, bagi pinjaman sewa beli dikatakan akan dikenakan faedah selepas Moratorium 6 bulan. Bermakna ada faedah lebih sebab tempoh 6 bulan yang terhenti tu. Bukan free ya.
Ini rumusan dalam berita The Star hari ini berkenaan Moratorium bagi pinjaman sewa beli kenderaan:
Option 1- Selepas tamat Moratorium pada Oktober, anda perlu bayar tunggakan yang 6 bulan terhenti secara sekaligus beserta dengan ansuran bulan Oktober. Kira bayar 7 bulanlah. Dengar pun mengigil.
Melainkan duit gaji yang kita patut bayar kereta tu, kita tolak tepi dan tak pakai. Kita jadikan duit ‘back up’, manalah tahu tak cukup hendak beli susu anak atau makan. Alhamdulillah, tak berusik pula sebab strategi kewangan kita bagus.
Memandangkan duit sepatutnya tak berusik itu, bolehlah buat bayar semula ansuran kereta 6 bulan beserta ansuran Oktober nanti. Kalau buat begini tiada faedah tambahan. Lebih untung pilihan ini.
Option 2-ambil Moratorium 6 bulan. Lepas 6 bulan bayar semula seperti biasa. Faedah yang terhenti 6 bulan tu berjalan dan dikira dalam jumlah hutang yang asal. Bermakna ada jumlah tambahan dari kiraan perjanjian asal kita.
Tempoh pinjaman juga, akan dilanjutkan selama 6 bulan kerana Moratorium yang terhenti. Bermakna kalau 5 tahun, akan jadi 5 tahun 6 bulan. Kalau 7 tahun akan jadi 7 tahun 6 bulan. Kalau 9 tahun akan jadi 9 tahun 6 bulan.
Komunikasi mungkin secara email, surat, maklumat di website atau SMS. Bab yang ini tolong hati-hati, takut ada yang ambil kesempatan menyamar dari bank, minta butiran peribadilah, TAC nomborlah, akaun banklah. Hati-hati. Scammer ramai.
Demikianlah setakat ini, ikut laporan berita. Berdoa semoga keputusan akhir tidak membebankan. Waktu PKP ini memang banyak keputusan yang berubah-ubah, banyak perlaksanaan yang bertukar-tukar. Kita tunggu dan lihat.
P/s: Yang tidak ambil Moratorium dan bayar seperti biasa. Anda tidak perlu pening-pening tentang pengumuman atau status terkini ini. Bayarlah seperti sediakala dan segala terma dan syarat perjanjian antara anda dan bank terpakai seperti sediakala.
Oleh: Nor Zabetha