Peristiwa tragis yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun 2017 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia, menjadi luka yang sukar dilupakan.
Siapa sangka, kejadian buli kembali berlaku di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras, pada 22 Oktober lalu. Insiden ini melibatkan seorang pelajar senior yang didakwa sengaja mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas di akademi berkenaan.
Cakna dengan isu ini, bekas Ketua Perisik Tentera Darat, Datuk Khlir Mohd Nor berkata, pengurusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) wajar dirombak sepenuhnya untuk menangani isu buli yang berleluasa dalam kalangan pelajar.
Beliau menyatakan bahawa peningkatan kes buli yang dilaporkan akhir-akhir ini jelas menunjukkan kelemahan pengurusan dalam mengawal dan mentadbir kebajikan serta disiplin pelajar.
Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, jika kejadian sama masih berlaku berulang kali, masalah sebenar mungkin berpunca daripada pihak pengurusan.
“Dalam tentera, tidak kiralah di pusat pengajian atau maktab sekali pun memang akan ada budaya (buli) ini tetapi apa yang berlaku sekarang sangat teruk kerana sudah meragut nyawa.
“Jika betul untuk eratkan silaturahim ini bukan caranya, ada banyak lagi kaedah yang betul. Jadi, di sini saya lihat kegagalan itu berpunca daripada pihak pentadbiran sendiri.
Khlir yang juga Ahli Parlimen Ketereh memaklumkan, institusi pendidikan sepatutnya mempunyai mekanisme untuk menangani masalah buli.
ELAK KEJADIAN BERULANG LANTIK VETERAN ATM
Katanya lagi, sebelum ini jenayah ini sudah meragut nyawa seorang penuntut UPNM tetapi seolah-olah tiada tindakan tegas diambil untuk menghentikan gejala tersebut.
Justeri, bagi mengelakkan perkara ini terus berulang, satu perubahan besar perlu dilakukan terhadap pihak pengurusan UPNM, bermula dengan pelantikan warden di asrama penuntut.
“Saya cadangkan supaya lantikan warden terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mereka ini mempunyai lebih banyak pengalaman dalam bidang ini.
“Ramai askar pencen yang berusia 40 ke 50 tahun tiada kerjaya kedua, jadi dengan lantikan sebagai warden ini sekali gus memberi peluang kepada veteran ATM untuk menampung perbelanjaan keluarga,” jelasnya.
Beliau berkata, selain rombakan pihak pengurusan, institusi pendidikan tinggi harus mempunyai mekanisme yang sesuai untuk mencegah gejala buli.
Ujarnya, inisiatif tersebut boleh dilakukan mengikut kesesuaian seperti memasang ‘mata-mata’ untuk memantau sekiranya ada kes buli.
“Pelajar baru memang akan takut dengan senior sebab kalau bocorkan maklumat mungkin mereka pula akan dipukul.
“Jadi, warden atau pihak pengurusan kena bijaklah fikir solusi kepada masalah ini. Selepas ini, jika masih berlaku kejadian sama, bukan pelajar sahaja dibuang daripada institusi tetapi pihak pengurusan sekali,” tegasnya.
Untuk rekod, kejadian buli berlaku sekali lagi berlaku di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras 22 Oktober lalu apabila seorang senior didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap junior dengan menggunakan seterika wap yang panas di akademi berkenaan.
Peristiwa tragis yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun 2017 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia, menjadi luka yang sukar dilupakan. Semoga roh arwah sentiasa dicucuri rahmat, ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan beroleh ketenangan abadi di alam sana.