Pasangan yang cukup sempoi, senada dan seiring baik dalam hal kerjaya mahupun rumah tangga. Ezad Lazim dan Zeana Ramli, pasangan sama sepadan kini cukup bahagia ditambah dengan kehadiran sepasang anak comel sebagai penyeri rumah tangga.
“Alhamdulillah, sehingga kini saya masih lagi aktif dalam dunia seni. Peluang dan rezeki tidak berbelah bahagia berkat kehadiran anak dan isteri. walaupun industri kini nampak ‘slow’ ditambah kehadiran anak muda memberi satu persaingan yang sihat ditambah dengan adanya medium media sosial merancakkan lagi industri.
“Ini juga satu bonus untuk mereka dan walaupun ia medium baru untuk artis lama seperti saya, namun tidak menjadi hal. Cara mungkin berbeza dengan dahulu tapi kita kena ikut peredaran zaman dan saya harus seiring. Pun begitu saya bersyukur kerana biar ada bakat baru namun saya masih diterima oleh peminat, ini pun dan cukup terbaik untuk orang lama seperti saya.
“Walaupun sibuk dengan urusan kerja, saya beruntung kerana isteri banyak menguruskan hal keran dia menjadi pengurus peribadi. Dialah isteri dan dia juga pengurus saya. dia bijak urus masa dan kerjaya begitu juga saya. saya beruntung kerana adanya dia. Memang ada kala saya kasihan melihat dia kepenatan urus saya dan rumah tangga, tetapi dia tidak mengeluh.
Sebagai suami saya bantu mana yang patut. Yang pastinya dia banyak buat tetapi saya cuba bantu mana yang boleh.
Isteri garang suami simple
Tambah pelantun lagu Demi Cinta ini lagi, isterinya banyak ajar anak-anak berdikari manakala dia pula berbeza kerana sejak dahulu jenis yang simple.
“Soal garang memang Zeana lagi garang, tegas dengan anak-anak. Mereka banyak meminta dengan saya kerana ikut apa jua kemahuan anak-anak. Lagipun ini pengalaman sebagai ibu bapa sementelah kami berdua berkahwin dalam usia agak lewat dan membesarkan anak-anak sendiri jadi itu tidak menjadi masalah. Anak-anak jua punca rezeki dan penguat kasih sayang antara kami suami isteri.
“Zeana juga jenis yang suka akan kesempurnaan. Kalau tukar tempat letak barang esoknya pasti dia akan menukar kembali. Dia suka ikut stail dia, kalau ada pembantu rumah pasti susah nak bekerjasama. Dia jenis yang mahu sempurna di matanya. Mungkin kerana Zeana sudah berdikari sejak kecil, jadi bila marah saya malas nak bantu takut salah lagi. Tapi kasihan pula kalau biar dia buat sendiri. Namun pada saya inilah asam garam dan warna-warni serta corak dalam rumah tangga kami.
“Dalam hal anak-anak dia yang banyak buat. Kebetulan anak sulung agak pelat jadi untuk bagi dia cepat cakap kami hantar ke sekolah Cina kerana di situ banyak bercakap bahasa Inggeris. Alhamdulillah, nampak perbezaan. Dia berani bercakap dan nampak macam-macam benda baru yang dia belajar.
“Kalau diikutkan saya tak setuju untuk hantar anak ke sekolah awal kerana baru umur 4 tahun. Saya tak suka ‘push’ anak kerana lama kelamaan mereka akan belajar juga cuma beza lambat dengan cepat. Tetapi Zeana yakinkan saya untuk memastikan anak boleh bercakap seperti rakan seusianya.
Mahu anak pilih kerjaya lain
Ditanya mengenai perancangan masa depan sama ada akan terus aktif dalam bidang nyanyian atau mencuba bidang lain, Zeana memberitahu mereka kini sedang mencuba bidang bisnes pakaian.
“Kalau diikutkan sebelum ini pelbagai bisnes kami buat dari tudung, kurta, baju melayu, parfum dan terbaru kami cuba pula baju sekolah. Walaupun sedar ramai artis yang terbabit dalam bisnes tetapi itu tidak menjadi hal. Sementelah adanya peminat itu memudahkan lagi bisnes.
“Baju sekolah jadi pilihan kerana tak ramai artis yang memilih bidang ini dan ini satu idea yang baik. Semua orang tahu baju sekolah satu keperluan cuma tinggal lagi cara bagaimana kita memasarkannya supaya ia diperluaskan dan mendapat tempat di hati peminat.
“Idea hasilkan baju sekolah datang secara spontan waktu memikirkan bagaimana nanti anak kami akan bersekolah. Kebetulan tidak ramai yang buat baju sekolah, kami cuba cari satu sumber pendapatan dan ia boleh jadi satu jenama yang boleh terkenal. Kami pilih jenama BIJAK dan kelebihan kami ada kilang sendiri yang dikongsi dengan keluarga. Dalam masa yang sama kami merancang untuk membuka syarikat dan mencari bakat baru atau artis untuk membuat persembahan.
“Soal kerjaya anak-anak, pada kami kalau boleh biarlah mereka memilih kerjaya lain. Suami juga impikan anak terbabit dalam bidang lain, tetapi kalau mereka nak ke arah bidang seni saya dan suami tak akan halang andai itu minat dan kecenderungan mereka. Yang penting pendidikan kami utamakan.
Sumber: Majalah Keluarga Jan-Mac 2018