Bulan Ramadan ini memiliki banyak kelebihan jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lainnya. Keistimewaan bulan ini dijelaskan dalam Islam melalu berbagai bentuk seperti amalan yang dilakukan ketika hadirnya ramadhan.
Pahala-pahala yang dilipat ganda hingga dibukakan pintu syurga serta ditutupnya pintu neraka. Malah banyak lagi keistimewaan bulan Ramadan ini. Justeru, usah biarkan ramadhan berlalu tanpa amalan berharga daripada kita. Semoga inilah ramadhan terbaik untuk kita dan dengannya kita akan berpuas hati andai ini ramadhan yang terakhir buat kita.
Namun,bagi wanita yang bergelar isteri dan ibu, adakalanya sukar untuk berbuat demikian. Lebih-lebih lagi jika mahu menunaikan solat terawih di masjid dek kerana memiliki anak kecil. Jika dibawa bimbang mengganggu jemaah lain bersolat.
Jika berlaku situasi sebegini, usaha bersedih wahai isteri. Suami pula cuba praktikkan apa yang dikongsikan oleh saudara Ammar Kamilin tentang hal ini. Moga-moga bermanfaat untuk kita semua.
Sedang suami khusyuk, tenggelam dalam ibadah mencari malam lailatul qadar, si isteri berkecah di dapur menyediakan makanan sahur untuk suami dan anak-anak yang masih lena tidur.
Ikut hati kecilnya, pasti teringin benar dia turut bersenang-senang rukuk dan sujud dalam damai hening, mendamba kasih Allah.
“Ciangg…!”
Menggoreng pula dia ayam kegemaran anak.
“Kting, kting, kting…”
Membancuh pula dia, kopi kemestian suami.
“Prak, prak, prak….”
Pinggan dan cawan diangkat dan dihidang ke meja makan.
“Iman, bangun Iman.”
Bergegas dia mencuit anak bujang yang tidur di tingkat atas ‘double decker’.
“Zulfa, Zahraa, bangun. Solat tahajud, hajat.”
Dia menarik selimut yang membaluti badan mereka.
Sedang anak terpisat-pisat melawan kantuk. Dia kembali ke dapur.
Walaupun pada pandangan kasar, Dia tak sempat rukuk dan sujud, mengejar pahala ibadah khusus untuk dirinya. Tetapi dia menjadi asbab suami dan anak-anak dapat ruang mencecah dahi ke lantai menyembah Tuhan.
Percaya, ada isteri dalam situasi begini.
Memendam keinginan ibadah sendiri untuk bakti mulia kepada anak-anak dan suami.
Suami.
Jika kalian sedang beristighfar di atas sejadah.
Istighfar sekali untuk keampunan isteri.
Suami.
Jika kalian sedang bersujud meminta hajat dari Allah,
Mohon sekali dimakbulkan hajat yang didamba si isteri.
Suami.
Jika menangis berjujuran mohon diampun dosa-dosa,
Mohon sekali buat isteri yang bertungkus lumus tadi.
Suami,
Jika berteriak kecil memohon Allah masukkan kalian ke syurga, minta sama istana syurga untuk dia.
Suami,
Mohon pada Allah,
“Ya Allah, apa saja amal yang kau terima daripadaku, ganjari jugalah pahalanya buat isteriku malah lebih lagi buat dia, kerana dia asbab elok sempurna aku beramal.”
Hadiahkan mereka, doa kita yang bersungguh-sungguh.
-Ammar Kamilin-
#MAKnificent