Isteri Tak Akan Balik Selamanya, Perjuangan Bergelar Bapa Harus Diteruskan. Deep!

Share

Bukan mudah menguruskan anak tanpa isteri. Lebih-lebih anak-anak yang sedang membesar yang punya pelbagai karenah. Bagi Encik Khairul Abdullah yang kehilangan isteri tahun lepas, mengakui cabarannya memang ada bergelar bapa tunggal.

Melalui perkongsiannya di laman facebooknya baru-baru ini, Khairul Abdullah telah berkongsi cerita cabaran yang dihadapi apabila hanya seorang sahaja yang menguruskan anak-anak. Namun harus dilalui dengan tabah dan sabar demi anak-anak.

Kisahnya ketiadaaan isterinya pernah disiarkan di sebelum ini di link ini www.keluarga.my/meruntun-jiwa-video-throwback-pemergian-isteri-akibat-jangkitan-kuman-bapa-ini-tabah-demi-tiga-anak/

Tak sangka boleh uruskan tiga anak

Saya tak pernah menyangka yang saya boleh tahan dalam menguruskan 3 orang anak kecil ini.

Dulu setiap kali arwah isteri out-station atau kerja overtime saya akan rasa stress gila dan asyik menunggu sahaja bila lah dia nak balik.

Bukan saya tak boleh buat atau uruskan.

Saya boleh buat semuanya, dari urusan pakaian ke makan minum dan sebagainya. Yang saya tak tahan adalah melayan kerenah budak-budak yang sedang membesar.

Saya mudah marah.

Yang si abang terjun sofa, yang si adik panjat meja, yang si baby sepahkan segala. Tadi baby panjat meja makan dan tuang bubur semangkuk habis ke lantai. Saya sedang di sinki baru basuh tangan nak suapkan dia makan.

Lantai habis melekit dengan segala sisa, sofa habis penuh dengan cap tangan, cap hidung dan cap kaki masing-masing. Habis diconteng segenap ceruk dinding, sofa, meja, tv, malahan di dalam kereta pun penuh contengan.

Stress, nak marah, nak tampar pun ada. Biasanya meninggikan suara namun tak jalan juga. Lalu beristighfar dan menahan sabar sahaja.

Kalau dulu bila dengar sahaja kereta isteri dah sampai, maka nafas panjang boleh dihela. Nampak sahaja dia buka pintu, anak-anak mula menerpa, maka terlepaslah segala beban di bahu.

Padahal dia pun penat juga, bekerja, tetapi tetap akan ambil-alih dari saya.

Demi anak 

Kini, penat macamanapun, stress macam mana sekalipun saya tidak boleh menunggu pintu dibuka dan ada orang akan muncul membantu. Tiada lagi bunyi kereta, pintu dibuka, derap kaki atau kelibat dia.

Tiada.

Kadang-kadang hanya terlintas, ehh bila lah nak balik dia ni, lama dah out-station. Letih sangat dah rasanya. Tetapi tersentak dan tersedar kembali yang dia tak akan balik lagi.

Tak akan balik selamanya.

Jadi, kerahlah semua tenaga dan semangat yang ada, walau sakit kepala, walau selsema melanda, walaupun penat dan jerih tak terkata.

Tanggungjawab ini harus dipikul juga.

Berjuanglah!

#diarisuperdaddy