Bawa isteri keluar jalan kejap pun mampu hilangkan penat, bosan dan stres, namun ramai suami yang tak sedar akan perkara ini. Apa lagi bila dia ajk bercuti. Apabila isteri ajak, ada saja alasan dan ada juga yang mengatakan isteri hanya mahu menghabiskan duit. Tak kurang yang mengatakan isteri mengada-mengada. Sedangkan ada sebabnya kenapa isteri berbuat demikian.
Baca perkongsian dari saudara Taufiq Razif. Moga bermanfaat buat suami isteri di luar sana.
Serius dulu saya ingat bercuti ni sia sia je.
Dulu saya ni jenis yang agak serius sikit. Saya fikir buat apa nak bercuti kalau tak ada tujuan. Tengok youtube, search google pun boleh kalau nak tengok pemandangan kan.
Itu dulu. Sehinggalah satu hari hidup saya jadi macam tepu bila kena jaga isteri berpantang. Yelah, tiap hari nak kena hadap anak. Tiap hari nak kena masak. Tiap hari nak kena cuci pinggan.
Rutin yang sama ni je saya duk ulang tiap hari. Rupanya rutin harian ni perlahan lahan membuatkan hidup saya jadi tepu. Dia bukan penat fizikal sangat tapi lebih kepada ’emotional burnout’.
Masa tu lah saya baru sedar. Rupanya isteri saya bukan nak bermewah mewah dengan ajak bercuti sangat. Rupanya dia nak keluar daripada ’emotional burnout’ je!
Ni saya bawa anak isteri saya bercuti ke Port Dickson kejap. Memang nampak bersinar sinar wajahnya. Senyum je memanjang. Sebenarnya tak perlu bawa ke tempat mahal pun. Kadang ke kedai Eco ke kedai RM2 pun dia dah suka sangat dah. Ikut bajet masing masing je sebenarnya.
Selama ni kita duk ingat isteri kita manja dan mengada ngada nak ajak pergi bercuti rupanya memang benda ni keperluan bagi dia supaya emosi dan psikologinya tetap segar dan terjaga.
– Taufiq Razif –
Beraneka Bunga Di Halaman Ditukar Kepada Tanaman Sayur-sayuran. Ada Sebabnya Isteri Perlu Buat Begitu!
Buang bunga tahi ayam atau ros, tukar dengan pohon serai atau rumpun pandan! Bunyinya memang macam kelakar, tetapi kalau dibuat sungguh-sungguh hasilnya akan menakjubkan seisi keluarga. Saya bercakap mengenai kegunaan laman depan rumah.
Terus terang saya mengakui, menjaga laman bukan tugas saya. Sebenarnya saya tidak berminat pun. Sejak mula pindah ke kediaman ini kira-kira 25 tahun lalu, saya tidak kisah pun tentang halaman depan yang sekangkang kera itu.
Orang perempuan memang lebih teliti dan berseni dalam bab menghias laman, sama seninya ketika menghias ruang dalam rumah. Maaf cakap, oleh sebab terlampau berseni, suami-suami yang buta seni seperti saya selalu pening, malah separuh sewel.
Ini contoh pening dalam rumah: Dia kerap sangat menukar kedudukan perabot, boleh kata dua tiga bulan sekali. Benda yang pada saya sudah elok dan ‘ngam’ di satu sudut, tiba-tiba esok atau lusa ditukar ke sudut lain.
Biasanya sebaik tiba di rumah selepas waktu pejabat, saya menanggalkan kasut dan terus meletakkannya di rak sebelah kanan pintu masuk. Tetapi, tiba-tiba kasut terjatuh di atas lantai, dan tangan saya tersenggol payung. Rupa-rupanya tempat rak kasut telah digantikan dengan tempayan bekas payung!
Satu lagi kejutan terjadi sebaik masuk ke bilik utama. Selepas mandi, seperti biasa saya menarik laci almari pakaian untuk mengambil seluar dalam. Saya terpegang coli! Rupa-rupanya laci yang sebelum ini tempat seluar dan pakaian dalam saya telah menjadi tempat pakaian dalam dia, adusss!
Dia tahu saya tidak suka dengan seni dan inovasinya yang kerap menukar kedudukan semua benda. Sebelum saya membebel dan mencampakkan semula coli, dia sudah berkata: “Bosan saya kalau benda hanya pada satu tempat, kenalah selalu tukar-tukar barulah terasa lain…” Dalam hati saya merungut: “Jangan engkau tukar aku pulak!”
Itu antara pertukaran posisi dalam rumah. Kalau hendak cerita semua betapa bingung saya tentang tukar-tukar barang dalam rumah, saya boleh tulis sebuah buku tebal. Mungkin judul yang paling sesuai ialah ‘Aku Tukar Kau Kang, Baru Kau Tau!’
Tetapi, seninya di laman rumah boleh saya puji. Mula-mula pindah suku abad dulu, laman itu ialah pasir gersang yang tidak ditumbuhi walau sehelai rumput. Almaklumlah tanah bekas lombong yang dijadikan kawasan perumahan dengan iklan ‘Resort Living Within the City’. Jangankan rumput, semut dan lipas pun tidak sudi memijak tapak kering kontang itu.
Entah berapa guni tanah hitam dan tanah merah saya beli dan taburkan di atas pasir kontang itu, semua atas arahan dan kreativiti dia. Setiap hujung minggu saya menjadi drebarnya ke Sungai Buluh untuk mencari benih bunga, baja dan entah apa-apa peralatan berkebun. Kata saya: “Beli saya boleh bayar, jadi drebar pun tak apa, tapi jangan suruh saya berkebun.” Memang saya tidak ambil kisah.
Terkejut saya dalam beberapa minggu laman kontang dan gersang itu mula ditumbuhi macam-macam. Dan, dalam masa kurang tiga bulan sudah ada rimbunan sana-sini. Malah sudah nampak bunga-bungaan beraneka warna.
Saya ingat selama ini dia hanya pandai menghias rak kasut dan laci bekas coli, rupanya dia ada kelebihan lain. Tidak disangka tangannya sejuk dan apa sahaja yang ditanam boleh tumbuh subur. Dia menyebut macam-macam nama bunga, yang saya ingat hanya bunga tahi ayam. Kelakar, bunga yang mekar secantik itu diberi nama tahi ayam!
Kini, laman sekangkang kera yang dulu bekas lombong, sudah menjadi hijau. Pohon cempaka sudah tinggi mencecah bumbung, bunganya putih bagai mutiara. Harumnya menusuk rongga hidung, terus ke jantung hati. Kenanga, ros dan pelbagai bunga lagi juga harum semerbak, terutama menjelang larut malam.
Ada orang kata haruman seperti itu boleh mengundang hantu. Saya tidak pasti. Tetapi sudah suku abad menetap di situ tidak pernah sekali saya nampak puntianak harum sundal malam atau lain-lain spesies hantu bergayut di dahan cempaka atau kenanga.
Lagi pun pada hemat dan logik saya yang suka lepak pada pokok cempaka adalah hantu kampung zaman dulu-dulu. Hantu di bandar lain caranya, kalau teringin bau haruman lebih baik menyelusup dan ronda-ronda kedai minyak wangi di pusat-pusat membeli-belah moden, tidak perlu mengendeng di laman saya.
Apa yang pasti taman mini itu menjadi semacam terapi minda buat isteri. Dia menghabiskan sejam pagi, sejam petang, setiap hari termasuk cuti umum. Katanya, setiap hari ada sahaja kerja di halaman. Menukar tanah dalam pasu, mengganti benih baharu, mencantas dahan dan daun, merumput, membaja, menyiram, mengalihkan pasu, bla, bla, bla.
Malah, dia mengakui masa lapangnya banyak dihabiskan memelihara laman. Sebelah pagi, pokok dan bunga dimandikan dulu, kemudian baru dia sendiri mandi. Sebelah petang, laman dimandikan sekali lagi. Hatta, sekiranya petang keluar rumah, balik tengah malam pun dia menyiram pokok dan bunga di laman. Demikianlah asyiknya si dia dengan bunga taik ayam.
Kadang-kadang naik cemburu saya sebab dia macam lebih sayangkan dan begitu mesra dengan cempaka dan bunga-bunga lain, macam buat ‘dhek’ apabila saya balik dari pejabat. Pelik lagi kelakar apabila dia memberitahu dia boleh bercakap berjam-jam dengan pokok dan bunga-bungaan itu. Kerap juga dia menembak: “Nak cakap dengan awak sepuluh minit pun susah!”
Selalu saya mendengar dia bercakap dengan pokok cempaka: “Dahan awak dah tinggi, petang esok saya cantas, bagi awak lagi cantik yerrr?” Tetapi, saya nampak daun dan ranting-ranting cempaka macam selamba dan buat ‘dhek’. Saya pula menyindirnya: “Agaknya pokok tu tak faham cakap Melayu, cer awak cakap orang putih, maklumlah itu pokok bandar…”
Selain cempaka, kenanga, tahi ayam, dan lain-lain bunga, laman yang sekangkang kera itu juga dihias dengan pelbagai tumbuhan keperluan dapur. Pasu-pasu dengan bunga beraneka warna itu diselang seli dengan pasu daun pandan, serai, kunyit, ulam raja, dan lain-lain tumbuhan keperluan belanga dan kuali.
Ditanam juga pokok tenggek burung untuk ulam, pokok limau purut yang daunnya dijadikan perencah pelbagai masakan, termasuk tomyam. Ada juga daun kari, rumpun selasih, daun bawang, rumpun kesum, kencur, pengaga.
Selama ini saya tidak ambil kisah pun tentang pohon dan daun-daun yang selalu menjadikan gulai dan masakan lebih sedap. Baru-baru ini saya menemani dia ke pasar raya, dan mengetahui benda-benda yang ada di laman itu rupanya ada harga.
Terkejut saya lima batang serai yang diikat kemas harganya RM1, daun kunyit sehelai 50 sen, dua tiga helai daun pandan, 50 sen. Daun kari, ulam raja, kesum, kencur, semua ada harga. Hatta daun limau purut pun lima enam helai harganya 50 sen. Fikir punya fikir banyak juga duit pasar dapat diselamatkan dengan tanaman tersebut.
Dia bercadang untuk menanam cili dan tomato dalam pasu, sambil menegaskan: “Awak tau tak, cili hidup sekilo RM15, kalau kita tanam tiga pasu berapa banyak duit pasar boleh selamat. Durian belanda sekilo RM12, labu manis yang awak suka tu sebiji paling tidak pun RM10. Kalau kita tanam semua tu, banyak kita boleh selamat…”
Setakat dua tiga pohon cili saya ingat okey untuk tanaman di halaman. Tetapi saya tidak berapa berkenan sekiranya dia berhasrat menanam durian belanda, labu manis, terung dan lain-lain. Susah juga sekiranya taman yang cantik itu ditukar menjadi kebun sayur.
Lagi pun ada bahayanya sekiranya labu manis merayap di halaman, takut-takut keluar dari kereta ketika pulang waktu malam saya tersungkur dan terantuk simen gara-gara tersepak buah labu atau durian belanda.
Dan, lebih penting lagi, saya lebih suka dia kekal sebagai suri rumah dan penjaga taman. Pengsan saya sekiranya setiap petang balik kerja melihat dia bertopi besar dan bersarung tangan, seperti nyonya atau apek kebun sayur di Cameron Highland.
Saya memberitahu dia biarlah taman tetap taman, cukup setakat serai, daun pandan dan kesum. Durian belanda, labu air, labu manis, terung dan lain-lain sayur kegemaran saya lebih baik beli di pasar. Tidak mengapa mahal sedikit, asalkan dia tidak menjadi nyonya kebun sayur.
Tetapi, dia berpendapat, lebih banyak sayur-sayuran ditanam di halaman, lebih banyak pula duit pasar boleh dijimatkan. Katanya: “Duit pasar yang dijimatkan itu boleh beli tudung bawal…” Ayat akhir itu saya buat-buat tidak dengar, aduss!
sumber : Abd Jalil Ali, Majalah Keluarga
“Nasib Baik Abah Tak Belasah Saya. Suka hati Lock Anak Dara Dia Macam Tu” – Fadzil Zahari
Dah menjadi kebiasaan buat pasangan suami isteri memberi kejutan atau meluahkan bait-bait indah buat yang tersayang terutamanya ketika pada hari-hari penting seperti ulangtahun perkahwinan.
Semalam, pelakon, Fadzil Zahari telah memuat naik satu perkongsian yang memaparkan gambar sekitar majlis perkahwinannya bersama pelakon dan penyanyi, yana Samsudin sempena ulang tahun perkahwinan ke-8 mereka pada 13 Februari lalu.
Dalam perkongsian tersebut, Fadzil telah mengimbau kembali kenangan ketika mengambil keputusan untuk melamar suri hatinya itu. Dia yang bercerita memandu ke Yong Peng, Johor bersama keluarga untuk bertemu dengan bapa Yana bagi meminta izin untuk berkahwin.
“Waktu Yana tengah sibuk di Separuh Akhir Muzik-Muzik dengan Tomok, saya bawa keluarga ke Yong Peng.
“Saya cakap dengan abah Yana, pakcik dewan kenduri di Kedah dah booking bulan
tiga, jadi kenduri di Yong Peng kena buat bulan Februari.
“Yakin saya cakap macam itu, nasib baik abah Yana askar pencen tak belasah saya. Suka hati sahaja lock anak dara dia macam itu,” tulisnya.
Ketika itu, Fadzil berkata, dia sudah tidak fikir panjang untuk mendirikan rumah tangga biarpun mengenangkan terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung sewaktu menyambut hari raya.
“Waktu itu saya tak fikir panjang dah, nak balik kampung raya jauh ke, highway 14
jam ke, saya tak peduli. Walaupun seorang utara, seorang selatan” tambahnya.
Fadzil merupakan anak jati Kedah manakala isterinya berasal dari Batu Pahat, Johor.
Sementara itu, Fadzil turut meluahkan rasa syukur kerana perkahwinan tersebut
dikurniakan dua cahaya mata yang sihat dan mendoakan agar mahligai rumah tangga bersama Yana kekal hingga ke syurga.
Fadzil juga sempat berseloroh memberi pesan sekiranya mahu berkahwin dengan
orang Johor, mereka perlu menyediakan sampul duit kerana perlu melalui tol’ yang panjang.
Budaya orang Johor, pengantin lelaki perlu lalu ‘tol’ sebelum bertemu pengantin perempuan.
“Tahu-tahu dah lapan tahun, dua orang anak sihat dan saya pun makin sihat. Moga Allah panjangkan jodoh hingga ke Jannah.
“Saya juga doakan kepada korang yang single berjumpa jodoh sendiri bukan menjaga jodoh orang lagi.
“Nota kaki: Kahwin orang johor kena siap sedia sampul duit, kena tol panjang” katanya.
Untuk rekod, Fadzil dan Yana mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2015 dan perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran Aisy Mateen,7, dan Aura Aisy Sofea, 3 tahun.
Sumber : Instagram fadzilzahari
Tofu Tart Unik Lagi Kreatif, Penyelesaian Masalah Anak Tak Mahu Makan Nasi, Ibu Wajib Cuba!
Walaupun anak sudah besar tapi ada juga yang tak berapa gemar makan nasi. Ada yang lebih suka makan bihun, mi dan spageti sahaja.
Selain aneka mi, ada cara lain yang boleh kita sediakan untuk anak makan lebih banyak. Ibu kenalah lebih kreatif. Tofu Tart ini juga salah satu caranya.
Kalau kita rajin dan kreatif, contohi wanita bernama Herda Johan ini yang berkongsi resipi unik, Tofu Tart di facebooknya. Sama seperti Egg Tart, cuma ia bersifat savoury dan intinya dihasilkan daripada gabungan cendawan dan hirisan sayuran-sayuran yang ternyata unik dan lain daripada yang lain.
“Sebenarnya saya main campak-campak je bahan-bahan untuk resepi ni. Senang je nak buat. Anak-anak saya suka makan ToFu Tart ni sebab SEDAP dan MENYIHATKAN…ewah hihi. Ada dua cara anda boleh guna, samada bakar atau goreng. Untuk kaedah yang saya gunakan ni, saya bakar dalam oven. Untuk kaedah goreng akan saya terangkan dalam gambar di bawah.
TOFU TART
BAHAN-BAHAN:
4 biji telur (Saiz A @ B)
Secubit garam
1 sudu makan mayonis
Sedikit serbuk lada hitam
1 sudu teh baking powder
Bahan Inti:
1 biji tomato – potong dadu
1 buku bawang besar – potong dadu
5 helai daun bawang – hiris halus
8 biji cendawan butang dalam tin – potong dadu
Sedikit cili merah/cili benggala (kalau nak pedas) – potong dadu
Caranya:
1. Sapu butter pada loyang muffin atau loyang cupcake bersaiz lebih kurang 2″-2.5″ diameter.
2. Masukkan bahan inti sedikit demi sedikit ke dalam loyang muffin.
3. Gunakan pisau tajam dan potong tofu. Kemudian masukkan setiap potongan di dalam loyang muffin. (Potong tofu dimulakan dengan bahagian tengah. Jangan potong bahagian hujung. Potong dua bahagian tadi kepada 9 potongan sama rata).
4. Pukul kesemua bahan (seperti dalam gambar).
5. Tuang telur ke dalam loyang muffin. Bakar pada suhu 120’c – 140’c atau 30 minit. (Agak-agak pantau sendiri kalau dah nampak masak bahagian atas tu bawa keluar). Bakar hingga bahagian atas keperangan.
6. Dah siap….boleh cicah dengan cili sos.
Tip:
Kalau tak suka bakar, anda boleh juga menggoreng.
Caranya, panaskan kuali dengan minyak. Letak acuan telur mata. Tabur bahan-bahan inti. Kacau sedikit bahan inti supaya garing sedikit. Letak tofu. Biarkan sekejap. Tuang telur.
Tutup kuali dan biarkan telur masak. Bila nampak dah masak. Angkat acuan dan terbalikkan telur tadi. Balik-balikkan telur dan pantau supaya tidak hangus. Siap!
Selamat mencuba!