Bila suami mula menunjukkan sikap berbeza, hati isteri mana yang tidak rasa tersentuh. Rasa sedih bila mana dipinggirkan suami, apa lagi bila suami mula buat perbandingan dengan orang lain.
Sayu hati seorang isteri. Sudahnya isteri mula berjauh hati dan mula tawar hati dalam semua hal.
Tulisan wanita bernama Marlia Ramli difacebooknya ini banyak benarnya. Ramai suami yang sudah mula memandang isteri dengan rasa sepi bila mana isteri tidak lagi secantik dulu. Suami, sila baca ni dan buka mata. Tolong peluk dan sokonglah isteri yang kita cinta!
SYURGA YANG DIBENCI
1- Semaknya lahai. Masuk je pagar dah bersepah mainan dari ruang tamu hingga ke dapur. Dengan anak comot tak mandi bagai.
2- Semaknya lahai. Harap le juga bini tunggu depan pintu wangi-wangi. Rupanya sampai rumah bini ntah di mana-mana dengan baju kelawar dan bedak sejuk. Bau susu basi lagi.
3- Semaknya lahai. Nak cium dahi bini pun bau bawang la, belacan la, minyak masak tanpa GST. Kot nak bermekap, langsung tiada!
4- Semaknya lahai. Kekadang bini bukan sampai rumah lagi pun. Ntah di atas jalan mana sangkut jammed balik keja. Balik rumah hanya ada kerusi dan meja.
5- Semaknya lahai. Dulu bini bersize kerengga sekarang bersaiz lori Alam Flora pula. Nak bawak ke majlis pejabat pun rasa malu la pula.
6- Semaknya lahai. Asal balik je dengar bini membebel itu ini. Dengan jeritan anak bergaduh bagai. Mengalahkan kereta api tak cukup arang. Punyalah bingit!
7- Semaknya lahai. Ipar duai mengadu bini saya tidak sempurna dan tidak baik juga. Kata ibu saya, isteri tak pandai masak, tak reti bergaul dan tidak sempurna.
Malah banyak lagi ke”semak”kan yang kita rasa sebagai suami. Kita rasa tersalah memilih isteri. Kita rasa kita adalah suami yang paling malang di dunia.
Isteri kawan terlihat cantik, manis dan comel sentiasa. Tapi isteri kita? Nak tengok muka pun hati tak senang. Aduh! Sungguh malang!
Ya.. Sebagai arjuna perkasa kita tidaklah update di FB atau Insta tentang kekecewaan kita. Kita juga tidaklah menangis call mak di kampung untuk bercerita. Namun di dalam jiwa, kekecewaan kita meronta-ronta dan akhirnya bertukar menjadi barah yang memakan diri.
Maka duhai arjuna mulia, perlahan-lahan kita mula jadi pendiam, kita bagi silenced treatment pada anak isteri, kita semakin kurang senyuman, kita mula lepak di mamak tengok bola. Malah yang semakin hardcore, kita mula angkat tangan kaki kepada isteri. Tersalah kari terlebih masin, pinggan mula dibaling ke dinding.
Namun… Jom kita menilai sejenak…
Duhai arjuna sang suami yang dihormati… Pada saat akad dilafaz maka segala dosa pahala wanita diserahkan dari bapa kepada suami tercinta. Ironinya setiap inci jasad, jiwa, hidup dan mati seorang wanita dipersembahkan sepenuhnya kepada anda aduhai suami mulia.
Sang isteri tinggalkan ibu, tinggalkan ayah, tinggalkan keluarga dan tinggalkan keseronokan hidup sebagai si gadis muda. Penyerahan yang dipenuhi kepasrahan dengan harapan beroleh bahagia.
Duhai arjuna, sesekali pandanglah wajah isteri. Tenunglah setiap garis-garis airmata di pipi. Seperti mana anda tidak bahagia, begitulah juga wanita.
Sebab itulah sang isteri membebel itu ini. Wanita mahu didengar. Terkadang marahnya memuncak dan emosinya celaru. Peluklah isteri berbau bawang anda itu. Kasihanilah dia…
Benar.. Dulu dia bersaiz kerengga, secantik secretary di office anda, sewangi Mira Filzah dan selincah Neelofa. Namun, tanggungjawab keluarga didulukan dia.
Dulu wang gajinya untuk perfume Estee Lauder, kasut Bonia, make up Loreal dan handbag Gucci. Namun kini wang gajinya untuk kos sara hidup bersama anda. Maka anda masih tertanya-tanya kenapa isteri tidak sewangi zaman bercinta?
Jika di zaman gadis dia punya kawan. Di hujung minggu dia ke spa bermandi susu dan minum coffee di cafe. Kini di hujung minggu dia bersama anda mengendong anak-anak. Manalah lagi bajet pembelian baju cantik selain set kelawar yang dipakai dia?
Duhai arjuna mulia, bila isteri bercerita sahutlah dia dengan cinta. Janganlah menjeling hatta bergurau untuk berpoligami dengan Neelofa. Biarpun sang isteri tersenyum, hakikatnya dia terluka. Jiwanya jadi takut dan risau. Manalah tahu kalau-kalau suami sekacak bangla dirampas sesiapa?
Duhai arjuna mulia, sejenak usaplah tangan isteri. Lihatlah tangan yang pernah gebu kini bercalar dengan minyak panas akibat berusaha menyediakan makanan buat keluarga.
Ya, wanita bergelar isteri mengorbankan keseronokan di zaman remaja demi membina hidup bersama kita.
Tidak cukupkah lagi sembilan bulan sepuluh hari wanita ini mengendong zat zuriat suami yang paling dicintai? Malamnya berkeluh kesah tidak mampu lena akibat tendangan bayi?
Tidak cukupkah lagi wanita berkali-kali mati demi melahirkan zuriat yang paling istimewa. Tanyalah secretary secantik Neelofa, sanggupkah dia mati untuk anda?
Usahlah bandingkan isteri dengan kejelitaan Che Ta. Che Ta bermandi susu sedangkan isteri bermandikan airmata!
Tidak cukupkah lagi wanita menyusukan anak hingga dua tahun? Segala bentuk badan mula mengendur dan segala kecantikan mula pudar.
Badan mula penat dan mulut mula berbunyi. Jangankan make up, mahu disapu bedak sejuk ke muka juga sudah tidak punya daya?
Ingin juga dibayar bibik dari Jawa namun gaji kita pula tidak seberapa. Maka sang isteri yang penat gagahkan juga uruskan kerja di pejabat berserta hal ehwal keluarga seusai subuh pagi sehingga lewat senja.
Di manakah kita? Sedang menonton bola bersama rakan, bergelak ketawa dan bergembira minum teh bersama secretary. Kita mungkin sedang membina badan di gym atau bermain golf di padang ketika isteri menggelupur kelelahan.
Sampainya hati kita mula rasakan dia tidak teristimewa seperti dulu. Terkadang mahu dihulur wang untuk dibeli barangan dapur pun kita marah bagaimana mahu ditaja peralatan make up pula?
Duhai arjuna mulia, kita bukan Tan Sri berharta. Kita juga boroi dan tidaklah sehensem mana. Bersyukurlah isteri kita sentiasa setia. Isteri kita sentiasa ada. Tidur kita tidak pun pernah keseorangan pula.
Adilkah kita membandingkan isteri kita dengan isteri kawan yang terlihat cantik sentiasa? Berapa banyak kos yang suami beliau habiskan supaya isterinya wangi dan cantik sentiasa?
Sedangkan kita? Mahu beli sabun jenama Lux pun masih berkira-kira syiling didalam kocek. Bila masa kita pernah hadiahkan set make up atau wangian berjenama buat isteri tercinta?
Pedulikan saja umpatan ipar duai hatta mentua jika ada. Biarpun satu dunia membenci isteri, suami yang setia sentiasa ada untuk menyinta. Baik atau tidak, isteri anda adalah ibu kepada anak-anak tercinta. Isteri juga punya hak yang perlu dijaga.
Jika salah, betulkan dia selayaknya. Jangan diabai, dibenci dan dikasari hatinya.
Duhai arjuna mulia, beritahu isteri betapa istimewanya dia dihati anda. Khabarkan betapa anda cintai dia minimum sepuluh kali sehari.
Ciumlah dahi isteri setiap pagi, tanda dia sepenuh hati kita dicintai. Bermaafanlah setiap kali sebelum tidur bermimpi Neelopa jelita.
Dengan kuasa cinta anda duhai arjuna mulia, sang isteri akan menjadi luar biasa jelita, luar biasa bahagia dan luar biasa gembira!
Yakinlah, jika sentiasa saling memperbaiki diri, rumahtangga tidak lagi akan menjadi SYURGA YANG DIBENCI.
Salam sayang
Kredit: Marlia Ramli