Apabila seorang lelaki yang bertanggungjawab berkahwin. Keutamaan dirinya telah jauh ditolak ke belakang. Apa yang ada pada dirinya menjadi kurang penting. Lebih-lebih lagi apabila insan tersayang bernama isteri menderita sakit.
Pengorbanan seorang suami yang sanggup melakukan apa saja demi isterinya benar-benar meyentuh hati. Inilah yang ditunjukkan oleh seorang lelaki yang beraksi seperti seorang ‘Spiderman’.
Dia dilihat menolak kerusi roda wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) di sekitar Georgetown, menarik perhatian orang ramai terutama kanak-kanak.
Ada minta mahu bergambar dan tidak kurang menghulurkan sumbangan ikhlas kepada penghibur jalanan itu.
Spiderman terbabit, Ahmad Shakirin Mohd Zain, 50, yang juga pelukis jalanan, berkata dia sudah lebih setahun menjadikan kerjaya itu sebagai pekerjaan sambilan meraih pendapatan dan mencari dana bagi merawat isteri, Nur Aznita Mohd Ismail, 37.
Sebelum ini, Ahmad Shakirin bekerja sebagai pelukis di Pasar Seni, Kuala Lumpur manakala isterinya adalah tukang masak di restoran terkenal di ibu kota.
“Selepas itu, kami berpindah ke Pulau Pinang dan mencuba nasib mencari rezeki di sini dengan cara ini,” katanya yang menjadikan bilik tumpangan dengan kadar sewa RM55 sehari di tengah bandar raya sebagai tempat berteduh.
Ahmad Shakirin berkata, sebelum ini pendapatannya bergantung kepada hasil upah melukis dan menjual lukisan di beberapa lokasi tumpuan pengunjung sekitar ibu kota.
Katanya, melihatkan ramai kenalannya mampu meraih wang dengan berpakaian adiwira, dia membeli sut pakaian itu menerusi dalam talian dengan harga RM180.
“Selain sebagai terapi diri, kami berasa gembira apabila dapat berdamping dengan kanak-kanak dan berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan saya serta isteri,” katanya.
Katanya, mujurlah pemilik bilik tumpangan disewa mereka memahami keadaan suami isteri berkenaan.
“Selepas isteri sembuh nanti, dia bercadang mahu menjana pendapatan dengan menjual makanan berikutan kepakarannya dalam menyediakan pelbagai jenis masakan,” katanya.
Kredit: Harian Metro via: Penang Kini