
Isteri kepada guru yang dikenali sebagai Cikgu Din yang menghidap barah tulang rawan tahap empat dikhabarkan telah meninggal dunia, pada malam Isnin.
Perkhabaran duka itu dikongsikan Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar, 34, menerusi hantaran di WhatsApp.
“Isteri saya telah menghembuskan nafas yang terakhir jam 9 (malam) tadi (semalam). Saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap, dan kalau ada hutang (Allahyarham) mohon beritahu saya,” tulisnya.
Solat jenazah Allahyarham Nur Atiqah diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Tumpat pada Selasa.
Difahamkan isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser tulang rawan tahap empat menghembuskan nafas terakhir jam 9 malam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Pada Oktober lalu, menerusi perkongsian warganet di Facebook, kisah Cikgu Din yang terpaksa berulang alik dari Sarawak ke Semenanjung mendapat perhatian ramai.
Cikgu Din yang dihimpit kerisauan berharap dapat ditukarkan ke Semenanjung demi isterinya yang bertarung nyawa melawan kanser berkenaan.
Guru yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Wok, Kanowit, Sarawak itu juga dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri, dan membuat permohonan pertukaran apabila keadaan isteri semakin kritikal.
Justeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan perbincangan Bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan dan bersetuju untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara.
Kanak-Kanak Dua Tahun Cipta Rekod, Namakan 57 Logo Kereta Dalam 1 Minit!

Hebat betul! Seorang kanak-kanak comel bernama M Rajamitheran, baru je berusia 2 tahun 11 bulan, dah berjaya mencipta sejarah dalam Malaysian Book of Records (MBOR) pada 25 Oktober lepas. Rajamitheran dengan pantasnya dapat menyebut 57 logo kereta dalam masa satu minit sahaja. Ini merupakan suatu pencapaian luar biasa bagi anak sekecil ini!
Memetik laporan Sinar Harian, ibunya, C Saranyaa, 33, berkata, pencapaian tersebut diterima bagi kategori bilangan logo kereta terbanyak yang dikenal pasti oleh kanak-kanak.
Rajamitheran yang merupakan anak tunggal mula menunjukkan minat terhadap logo kereta sejak berumur satu tahun selepas melihat kereta model Volkswagen di jalan raya buat pertama kali.
“Bermula dari situ, suami saya, S M Mugilan, 35, mula ajar (Rajamitheran) dengan kenal lima logo kereta dahulu menggunakan kad imbas kanak-kanak. Keesokan harinya, anak saya boleh ingat lima logo itu.
“Dalam masa dua bulan sahaja, dia sudah tahu 70 logo kereta. Dari situ selepas bincang dengan suami, kami cadang bawa Rajamitheran untuk MBOR,” katanya yang menetap di Ipoh, Perak.
200 LOGO KERETA
Menurut Saranyaa, sehingga kini Rajamitheran mampu menamakan 200 logo kereta.
Ujarnya, ketika sesi ujian bersama panel MBOR, Rajamitheran hanya dapat menjawab 45 logo kereta bagi percubaan kali pertama sebelum mencuba untuk kali kedua.
“Tapi hanya dapat jawab 10 logo sahaja dan untuk pengiktirafan ini, kami hanya diberi tiga kali percubaan.
“Saya ingat mereka hanya soal 70 logo kereta yang saya ajar sahaja, tetapi tidak sangka logo kereta yang Rajamitheran tidak tahu pun mereka tanya juga,” ujarnya.
Jelas Saranyaa, bagi percubaan terakhir, mereka diberi tempoh selama sebulan untuk membuat persediaan.
“Rajamitheran berjaya jawab 70 logo tetapi selepas tolak dari segi salah sebutan, pihak MBOR tetapkan sebanyak 57 logo yang berjaya dinamakan.”
Sumber: Sinar Harian
2025: Antara Perkara Baharu Berkuat Kuasa Esok, Salah Satunya Keselamatan TASKA!

Dalam tempoh kurang 24 jam, bukan sahaja kalendar yang akan berubah, tetapi Malaysia juga akan menyaksikan pelaksanaan beberapa perkembangan penting yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada kehidupan peribadi dan negara.
Selain perubahan dalam geopolitik, ekonomi, sosial, dan hubungan antarabangsa, beberapa dasar dan peraturan baharu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Antaranya, esok Malaysia secara rasmi akan mengambil alih jawatan selaku Pengerusi ASEAN, setelah Laos menyerahkan tanggungjawab berkenaan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 11 Oktober lepas.

Tuan rumah lebih 300 mesyuarat
Di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat dan sidang kemuncak ASEAN sepanjang tahun, antaranya Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober.
Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Lesen pengendali media sosial
Selain itu, beberapa undang-undang baharu akan berkuat kuasa esok termasuk penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP) yang mewajibkan platform media sosial mendaftar lesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Keperluan ini, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna khususnya kanak-kanak dan golongan rentan serta memperkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
Bermula esok juga, premis dobi dan bangunan tempat kerja tersenarai dalam kawasan larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lepas.
Hal ini menjadikan sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai tempat larangan merokok termasuk hospital, klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berpenyaman udara, lapangan terbang, premis kerajaan, institusi pendidikan, kawasan taman asuhan kanak-kanak, kompleks beli-belah, stesen minyak, perpustakaan, stadium dan banyak lagi.
Individu yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan itu akan dikenakan denda maksimum sebanyak RM5,000.
Selain itu, penjaja dan peniaga berlesen wajib membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula esok bagi menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.
Langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 September lepas.
Dari segi pengangkutan, kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400, dijangka memanfaatkan kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik. Mahasiswa boleh membuat semakan bermula esok melalui https://subsidiudara.mot.gov.my/.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula akan melaksanakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi pembelian tiket di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur, untuk menyokong inisiatif ekonomi digital negara.
Bermula esok, semua taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwajibkan untuk memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa terhadap status lesen taska terbabit.
Kriteria baharu pengecualian audit penyata kewangan untuk syarikat persendirian juga akan berkuat kuasa esok, selaras dengan komitmen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi meningkatkan kualiti pengauditan dan mengurangkan beban pematuhan yang dihadapi oleh syarikat persendirian.
Johor kembali cuti hujung minggu Sabtu, Ahad
Selain itu, bermula 1 Januari 2025 Johor akan kembali melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad susulan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 7 Okt lepas, dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Hal ini menjadikan negeri lain yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Ringkasan antara perlaksanaan baru bermula esok:
* Semua taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwajibkan untuk memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing.
* Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula akan melaksanakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya.
* Malaysia Mengambil alih jawatan selaku Pengerusi ASEAN.
* Penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP) yang mewajibkan platform media sosial mendaftar lesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
* Premis dobi dan bangunan tempat kerja tersenarai dalam kawasan larangan merokok
* Penjaja dan peniaga berlesen wajib membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)
* Kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400
* Johor akan kembali melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.
Sumber: Berita Harian
KWSP, Bekas Isteri Boleh Ambil Caruman Bekas Suami Sebagai Nafkah

Isi Kandungan
ToggleKWSP, bekas isteri boleh ambil caruman bekas suami sebagai nafkah. Perceraian merupakan satu perkara yang tidak diingini tetapi kadangkala tidak dapat dielakkan dalam perkahwinan. Dalam situasi ini, isu nafkah sering menjadi perhatian utama, terutamanya nafkah isteri dan anak selepas perceraian.
KWSP, Bekas Isteri Boleh Ambil Caruman Bekas Suami Sebagai Nafkah
Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bekas suami boleh diambil oleh bekas isteri sebagai nafkah. Namun, ia hanya boleh dilakukan atas arahan daripada Mahkamah Syariah.
“Ada beberapa kaedah yang mahkamah boleh gunakan untuk proses siasatan terhadap kemampuan bekas suami, antaranya melalui perintah permohonan penzahiran dokumen yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah,” kata peguam syarie Mohd Firdaus Akhtar.
Mohd Firdaus berkata demikian ketika diminta mengulas isu nafkah kepada bekas isteri serta anak yang gagal dipenuhi oleh bekas suami atau si bapa walaupun ia sudah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
Pada masa sama, bukan KWSP saja, wanita yang tidak dinafkahi bekas suami juga boleh mendapatkan bantuan nafkah daripada Biro Sokongan Keluarga (BSK).
“Bekas isteri atau anak boleh membuat aduan kepada BSK. Seterusnya pegawai BSK akan menjalankan tindakan lanjut seperti mengadakan sesi runding cara membabitkan kedua-dua belah pihak untuk mendapatkan penyelesaian.
“Jika tiada penyelesaian dicapai, maka kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah akan difailkan di Mahkamah Syariah,” katanya.
Menurutnya, BSK memang berusaha untuk membantu golongan wanita terutamanya membabitkan kes bekas suami ‘lari’ dan enggan membayar nafkah.
Pada masa sama, menurut Mohd Firdaus, sikap suami yang culas dalam melaksanakan tanggungjawab selepas bercerai antara punca bekas isteri terpaksa menuntut nafkah idah, mut’ah.
Kata Mohd Firdaus, isu tuntutan ini bertambah rumit apabila membabitkan isu kewangan.
“Isu tuntutan nafkah ini kalau kita tengok, ia boleh dikaitkan dengan kewangan rumah tangga.
“Jika ada masalah kewangan dalam rumah tangga, apabila lepas bercerai, dia akan memberi kesan kepada bekas isteri dan anak, kalau ada anak,” katanya.
Menurut beliau, selepas perceraian, nafkah anak memang banyak yang dituntut oleh wanita.
“Boleh dikatakan ia isu utama, terbesar dalam tuntutan selepas perceraian.
“Maksudnya, tuntutan yang paling banyak adalah nafkah anak-anak. Nafkah anak dan juga nafkah isteri itu selari. Malah, ia menjadi antara tuntutan yang famous di mahkamah syariah,” katanya.
Kesimpulannya nafkah isteri dan anak selepas bercerai adalah hak yang tidak boleh diabaikan. Ia adalah tanggungjawab yang diperintahkan oleh agama dan undang-undang untuk memastikan kebajikan bekas isteri dan anak-anak terjaga.
Bekas suami perlu menjalankan kewajipannya dengan amanah, sementara pihak yang memerlukan nafkah harus mengetahui hak mereka dan menggunakan saluran undang-undang jika perlu.
Dengan memahami hak dan tanggungjawab masing-masing, kehidupan selepas perceraian dapat dilalui dengan lebih tenang dan harmoni, terutamanya demi kebajikan anak-anak yang menjadi keutamaan.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Duit KWSP Hampir Sejuta Habis Licin, Pesara Menyesal Tak Sudah
KWSP: Simpanan Untuk Masa Depan, Bukan Alat Bayar Hutang Kredit
Akaun Fleksibel: 4 Juta Ahli KWSP Buat Pengeluaran
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my