“Isteri Belum Bersedia Hamil Lagi Selepas Kehilangan Anak Kami” Azmi Saat Hormati Keputusan Isteri

Share

Kehilangan bayi buat selama-lamanya pasti meninggalkan trauma dan memori sedih kepada ibu yang mengalaminya.

Hampir setahun kehilangan anak sulung, penyanyi Azmi Saat mengakui isterinya, Nazirah Muhamad masih belum bersedia untuk hamil sekali lagi.

Menurut Azmi atau nama sebenarnya, Khairul Azmi Mohd Saat, 35, sehingga kini isterinya masih bersedih selepas anak sulung mereka meninggal dunia pada September tahun lepas.

 

“Isteri saya belum bersedia selepas kehilangan anak kami. Takut juga nak bertanya kepada isteri tentang anak.

“Namun, pernah sekali pada awal tahun ini, saya suarakan untuk melakukan rawatan supaya boleh dikurniakan cahaya mata lagi.

“Tapi, isteri kata dia takut jika perkara sama terjadi. Jadi, buat masa ini memang kami tiada perancangan untuk melakukan sebarang rawatan, sebaliknya biar proses itu berlaku secara semula jadi,” menurut vokalis Caliph Buskers kepada Media Hiburan ketika ditemui dalam majlis pelancaran lagu baharunya berjudul Permataku baru-baru ini.

Isteri Semakin Sihat

Menurut Azmi lagi, setiap bulan dia dan isteri pasti akan menziarah kubur anak mereka yang terletak di Tanah Perkuburan AU2, Keramat, Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama Azmi bersyukur kerana isterinya sudah semakin okey cuma ada masanya perasaan sedih akan datang tiba-tiba dan dia akan minta untuk ziarah kubur anak untuk lepaskan rindu.

 

“Saya reda dan syukur Alhamdulillah dapat juga pengalaman ada cahaya mata, dapat azankan bayi kami serta uruskan jenazah dia. Jadi, perasaan sedih saya tidaklah keterlaluan,” katanya.

Lagu Dedikasi Untuk Anak

Single terbaharunya ciptaan komposer terkenal Ajai dan lirik tulisan Ahmad Fedtri Yahya itu merupakan karya yang didedikasikan buat Allahyarham anaknya.

“Apabila mendengarkan sahaja lirik tersebut buat kali pertama, saya gembira sebab ia memang menggambarkan isi hati saya.”

Untuk rekod, anak Azmi yang diberi nama Khairul Afnan meninggal dunia pada 30 September tahun lalu selepas tiga hari dilahirkan akibat kegagalan fungsi otak. Bayi tersebut merupakan anak sulung pasangan ini selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.

Sumber: Media Hiburan

Untuk lebih banyak info terkini jom klik di sini