Ahmad Fedtri Yahya, tidak asing lagi dalam dunia penyiaran. Bahasa yang dilontarkan cukup puitis tatkala dia berkata-kata. Sesuai dengan kerjayanya sebagai pengacara dan personaliti televisyen, sememangnya dia punya aura tersendiri.
Selain MHI, bapa kepada empat cahaya mata ini juga bertindak sebagai hos bagi rancangan Soal Rakyat, mengacarakan Jejak Rasul dan Sahabat Backpackers. Selain itu, khidmatnya juga turut digunakan untuk mengacarakan pelbagai majlis.
Di dalam kesibukan sebagai pengacara, dia juga turut memiliki bakat dalam menulis lirik lagu. Beliau pernah menulis untuk penyanyi terkenal Wany Hasrita, Ernie Zakry & Syamel, Safura, Asfan, Ezad Lazim, Sharifah Zarina, Deja Moss dan ramai lagi.
Rapat dengan Anak perempuan sulung
Malah, anak sulung bernama Indah Sutera Jannah, sangat rapat dengannya. Sesi fotografi terhenti seketika dek kerana anak perempuan Fedtri menangis teresak-esak dan tidak membenarkan jurugambar yang mahu mengambil gambar Fedtri berdua dengan Nurul Anati tanpa kehadiran anak-anak.
Biarpun cuba dipujuk namun gagal sehinggakan Fedtri sendiri terpaksa bertindak memujuk anaknya itu.
“Memang dia sangat rapat dengan ayahnya sampaikan tak boleh nak dekat. Terutama sekali kalau ayahnya dekat dengan saya. Sejak umur 2 tahun lagi, dia memang sangat ‘closed’ sehinggakan ayahnya ada tugasan di luar, dia akan menangis dan meraung. Berbeza dengan adik-adiknya yang lain tak ada masalah,” cerita Nurul Anati lagi.
Kejutan manis
Sementara itu, Fedtri mengakui anak sulungnya yang gemar berfesyen dan menari itu cukup rapat dengannya.
“Indah Sutera memang dari kecil lagi sangat rapat dengan saya. Tak keterlaluan dikatakan dia ‘anak ayah’. Mungkin ketika dia kecil, saya sibuk tugasan luar negara.
“Jadi kesempatan bersama dengan keluarga memang dimanfaatkan sepenuhnya, kami jadi seakrab mungkin. Jadi ikatan tu kuat dan anak-anak sayang. Dengan anak-anak saya sentiasa peluk, belai, buat kejutan manis. Mungkin itu yang membuatkan Indah Sutera jadi rapat dan susah nak berenggang.
“Dalam hal mendidik anak-anak, saya dan isteri sentiasa ada masa untuk berbincang. Walaupun antara kami, saya paling sibuk, kalau tak jumpa kami akan hantar mesej atau call. Termasuklah bab sekolah, tadika dan sebagainya. Biasanya memang kami suka berbincang dalam semua hal.
“Walaupun sentiasa sibuk, tetapi anak-anak dan isteri jadi keutamaan. Biasanya saya akan buat jadual dan pastikan keperluan penting untuk keluarga terjaga. Dalam bab mendidik, saya tak nafikan, isteri memainkan peranan penting dalam semua hal.
“Malah, antara saya dan isteri, dia lebih tegas dengan anak-anak,” ujar Fedtri yang mengakui menjadikan pihak lain sebagai idola terutama yang dilihat sukses dalam soal pendidikan anak-anak.
Suami yang romantik
Sesuai dengan jiwanya yang gemar bersastera, Ahmad Fedtri seorang suami yang romantik. Malah, dia juga gemar menggembirakan isteri dengan melakukan kejutan manis.
“Sebagai suami kita kena tahu mengambil hati pasangan. Memandangkan isteri sudah banyak berkorban menguruskan anak-anak, jadi sesekali apa salahnya kita gembirkan mereka dengan membuat kejutan yang manis atau sesuatu yang di luar jangka. Sebagai contoh, saya balik ke rumah daripada kerja tanpa beritahu awal tapi sudah siap dengan hadiah, urutan setiap kali letih di dapur dan sebagainya.
“Selain itu, saya juga akan bawa isteri dan anak-anak ke hotel untuk berehat. Atau jika ada pengacaraan di hotel, saya biasanya memang akan ambil bilik supaya anak-anak boleh ada bersama. Memandangkan isteri sibuk uruskan anak dan hari-hari sediakan hidangan untuk keluarga, jadi saya juga berikan ‘me time’ untuknya.
“Biasanya ada minggu memang saya tak benarkan isteri masak sebaliknya hanya tempah makanan secara dalam talian,” cerita Fedtri yang menasihati pasangan muda yang berkahwin supaya ada sifat sabar pada tahap yang paling tinggi dan pada masa yang sama cuba cipta kualiti masa dengan keluarga dalam memastikan hubungan sentiasa erat.
Nama anak sentuhan peribadi
Selain Indah Sutera Jannah, pasangan ini juga dikurniakan tiga lagi cahaya mata, Ahmad Willdan Arjuna, Indah Rauvda Inaara dan Ahmad Firaas Mevlana.
Mendengar keunikan nama anak-anaknya, akui Fedtri majoriti dipilihnya sendiri sebab nama anak adalah sentuhan peribadi asalkan maknanya indah dan penuh erti.
“Setiap pilihan nama anak-anak, saya akan pastikan isteri suka dan fahami maknanya. Tetapi untuk nama anak kami yang keempat, Ahmad Firaas Mevlana adalah pilihan isteri saya sendiri,” ujar Fedtri dan Nurul Anati yang berkahwin pada Mei 2011.
Pertemuan pertama kali disebuah masjid akhirnya membawa pasangan ini ke jenjang pelamin.
“Perwatakan dan ciri wanita solehah yang ada pada dia (Nurul Anati) antara sebab kenapa saya terpikat dengannya. Malah, dia wanita yang memenuhi ciri-ciri gadis pilihan saya selain sangat memahami kerja dan kesibukan saya dalam bidang ini. Sehingga kini, dia tak pernah mendesak atau merimaskan saya dengan hal-hal yang remeh.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club