Kekeluargaan

Isteri Achey Akui Pernah Gagal Diet, Kini Nekad Jalani Pembedahan Bariatrik Demi Zuriat

Share

Pelawak terkenal Achey baru-baru ini berkongsi mengenai niat isterinya, Nur Hassanah Yahya atau lebih dikenali sebagai Anne, untuk menjalani pembedahan bariatrik.

Keputusan ini dibuat selepas 14 tahun berkahwin, sebagai salah satu usaha Anne untuk menurunkan berat badan agar dapat mencuba rawatan IVF sekali lagi.

Dalam hantaran tersebut, Anne secara berseloroh berkata, “Walaupun tak mengandung, dah macam mengandung,” sambil melihat dirinya di cermin. Namun, di sebalik gurauan itu, ada rasa sedih yang terpendam.

Menurut Anne, berat badannya kini sudah mencecah saiz double XXL, menyebabkan pakaian semakin sempit dan lututnya kerap sakit.

“Saya dulu pernah buat IVF, tapi tak berjaya. Doktor cakap punca utamanya adalah berat badan. bercakap pun sudah mula mengah.”

Atas sebab itu, Anne meminta izin Achey untuk menjalani pembedahan bariatrik sebagai langkah terakhir menurunkan berat badan demi mendapat zuriat.

Nak Cuba Lagi IVF, Kalau Ada Rezeki, Alhamdulillah

Anne menjelaskan bahawa dia sudah membuat kajian dan bertemu dengan doktor pakar yang berpengalaman dalam pembedahan bariatrik.

“Saya nak cuba. Mana tahu lepas kurus, boleh buat IVF balik. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Kalau tak ada pun, saya reda. Semua ni aturan Allah, kita hanya berusaha,” katanya dengan nada sebak.

Achey pada awalnya agak bimbang dengan prosedur tersebut tetapi tetap memberi sokongan penuh kepada isterinya.

Namun, bagi Achey, apa pun keputusan isterinya, dia tetap menerima Anne seadanya.

“Saya sayang awak, tak kisah badan macam mana, rupa paras macam mana. Cantik untuk suami tu belakang kira. Kita dah hidup bersama berapa tahun, awak ada dengan saya itu dah cukup,” luahnya penuh kasih sayang.

Pernah Cuba Diet, Tapi Gagal

Anne turut mengakui dia sudah berusaha berkali-kali untuk menurunkan berat badan secara semula jadi, namun tidak berjaya. Achey sendiri menyaksikan usaha isterinya yang telah mencuba diet sebanyak 3-4 kali, tetapi tetap tidak mendapat hasil yang diharapkan.

Sebagai suami, Achey menasihati isterinya untuk memperbetulkan niat dan terus berusaha ke arah apa yang diimpikan.

“Kalau ada rezeki untuk impian kita, Alhamdulillah. Kalau tak ada pun, kita masih ada Tiara . Kalau Awak ok, saya pun ok.”

 

Di akhir perkongsian, Achey memohon doa daripada semua agar perjalanan isterinya dipermudahkan. Semoga niat baik Anne dipermudahkan dan dikurniakan rezeki yang terbaik buat mereka.

Sumber: anne_achey_