Keibubapaan

Intan Najuwa Kagumi Ibu Besarkan Anak Tanpa Pembantu, “Korang Memang Kuat”

Share

Baru merasa nikmatnya bergelar ibu, pelakon cantik, Intan Najuwa mengakui kuatnya emosi apabila bergelar seorang ibu.

Bahkan kata Intan lagi dia mengakui dirinya tidak kuat apabila perlu menjaga bayinya seorang diri.

Disebabkan itulah dia sangat menghormati golongan ibu yang menguruskan anak mereka tanpa seorang pembantu.

Menerusi siaran langsung Intan Najuwa atau nama sebenarnya, Datin Intan Najuwa Abdul Wahid menyatakan rasa kagum terhadap golongan ibu yang menjaga anak-anak tanpa bantuan helper memandangkan dia sendiri tidak kuat dengan hal itu.

“Kepada semua ibu-ibu yang menjaga anak tanpa pembantu, korang memang kuat.

“Saya sangat hormat para ibu yang jaga anak terutama yang baru lahir.

“Saya tidak sekuat korang untuk jaga seorang diri sebab mungkin saya jenis tak kuat dari segi mental,” ujarnya.

Tambah Intan lagi, dia mendedahkan turut menangis sama apabila anak sulungnya Imane Lunara menangis sehingga membuatkan suaminya pening kepala.

Atas sebab itu kata Intan dia sangat memerlukan bantuan pembantu dalam menguruskan anak kerana kadang kala situasi yang dihadapi menjadi hura hara apabila anak mulai meragam.

“Saya yang ada pembantu pun pening. Puting ke sana, botol susu dah ke sana, bedung entah dekat mana.

“Luna nangis, saya pun nangis. Lepas itu, bila kita tengah tukar lampin sambil dia menangis, kita pulak panik.

“Sampai lupa nak buat apa,” katanya lagi.

Ramai yang menghargai pujian yang diberikan pelakon itu kerana mengakui bukan mudah menjadi seorang ibu yang baru melahirkan anak tanpa dibantu oleh sesiapa lebih-lebih lagi ketika dalam pantang.