Sejak Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) bermula, banyak kisah-kisah peserta yang merupakan dalam kalangan selebriti kita dengar. Lebih-lebih lagi selebriti lama yang namanya jarang kita dengari meskipun lagu mereka sering dimainkan di radio mahupun sosial media seperti Youtube.
Tidak lagi berahsia, penyanyi Pat Candy dan suaminya yang merupakan pemain gitar dan juga komposer Edrie Hashim mendedahkan bahawa mereka memiliki dua anak lelaki autisme, Darren Haikal, 18 dan Dylan Hyder, 10.
Jika tidak disebabkan insiden kehilangan anak sulung, pastinya pasangan ini akan terus berahsia. Bukan malu ataupun tidak dapat menerima hakikat, namun mereka agak keberatan mendedahkan keadaan anak-anaknya kerana bimbang masa depan, selain kurang kefahaman mengenai autisme.
“Sebelum ini, kami merahsiakan keadaan Darren dan Dylan. Ini kerana beranggapan lebih baik merahsiakannya agar mereka tidak malu jika penyakit sembuh, suatu hari nanti.
“Namun, akhirnya saya dan Edrie sedar mereka tidak akan pulih. Pendirian juga berubah selepas peristiwa kehilangan Darren.
“Pada masa itu, kami sekeluarga dijangkiti virus Influenza dan perlu dirawat di hospital. Selepas pendaftaran, kami panik menyedari Darren hilang.
“Puas mencari akhirnya kami bertemu dengannya di sebuah stesen petrol berhampiran. Sejak itu, kami lebih terbuka mengenai keadaan Darren dan Dylan.
“Jika berlaku insiden sama, orang tahu harus menghantar mereka ke mana jika terjumpa,” cerita Pat kepada BH Online.
Berkongsi pengalaman menjaga dua anak autisme, Pat atau Nurul Nadhirah Patricia Robert berkata, kesabaran tinggi amat diperlukan kerana dua anaknya itu tidak mampu menguruskan diri sendiri.
“Sejak masih bayi hinggalah sekarang, saya masih lagi mandikan Darren. Malah, butang baju pun Darren tak pandai pakai.
“Ini juga antara punca saya menghilang dari radar seni. Saya mahu menjaga anak-anak.
“Sedangkan, ada ketika saya sendiri tidak tahan, apatah lagi orang lain.
“Dahulu, saya tak berapa faham mengenai autisme, namun, sekarang sudah ada banyak maklumat mengenainya.
“Saya ada menyertai kumpulan berkait rapat dengan autisme dalam Facebook. Di situlah banyak pengalaman dikongsi,” katanya.
Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Akan Ku Tunggu itu berkata, dia mulanya menganggap satu cabaran menjaga Darren dan Dylan.
“Namun, saya bersyukur Darren dan Dylan sihat dan masih berjalan ke sana sini. Saya melihat pengalaman orang lain yang ada antaranya anak terlantar,” katanya.
Sebagai ibu, wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, ada ketika menaruh harapan anak-anaknya kembali pulih seperti anak lain hingga terbawa-bawa dalam mimpi.
“Saya pernah bermimpi rancak berbual dengan Darren. Ketika itu, perasaan saya sangat gembira kerana tak sangka akhirnya dapat bersembang dengannya.
“Malangnya, situasi hanya berlaku dalam mimpi. Apabila terjaga, saya cuba tidur dengan harapan mimpi akan sama akan berulang, namun hampa.
“Cuma, saya kasihan dengan Edrie. Ini kerana suami tidak dapat berbual dengan anak-anaknya seperti bapa lain disebabkan keadaan mereka,” luah Pat dalam nada sedih.
Terdahulu, Pat mendirikan rumah tangga dengan Edrie yang juga komposer dan ahli kumpulan Project Pistol pada 2002.
Darren disahkan austisme dan hyperaktif, manakala adiknya Dylan tidak pernah bercakap dan doktor mengesahkannya speech delay’ dan dikenali ‘autism spectrum’ sejak lahir.
Sumber : BH Online
Nak tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu, jom join webinar PERCUMA Ya, Aku Mampu Susukan Anak! secara ONLINE pada 29 Oktober 2022. Daftar nama anda di https://toko.ideaktiv.com/product/ya-aku-mampu-susukan-anak/