Seorang ibu membawa anaknya yang berumur 2 tahun ke klinik gigi kerana risau gigi anaknya mengalami kerosakan (karies). Walaupun anaknya belum pernah mengadu sakit gigi, tetapi si ibu risau dengan keadaan gigi anaknya yang mulai hitam-hitam.
“Doc, saya perasan gigi anak saya sekarang ni banyak yang hitam-hitamlah.”
“Anak Puan menyusu botol ke?”
“Aah Doc. Dia hisap susu botol. Tapi tidaklah sampai dia tertidur. Kalau dia tidur pun saya akan cabut botol tu dari mulut dia.”
“Oh macamtu. Puan ada berus atau bersihkan gigi anak tak ya setiap hari?”
“Ya ada Doc. Saya memang berus gigi dia setiap hari guna ubat gigi K***** **** tu. Tapi hairan sebab gigi dia rosak juga. Kenapa ya Doc boleh jadi macamtu? Risau pula tengok gigi dia dah tak cantik dan hitam-hitam gitu.”
“Maaf Puan. Ubat gigi yang Puan guna untuk anak tu, mengandungi fluorida tak ya?”
“Haa tak Doc. Saya tak guna ubat gigi yang berfluorida sebab saya dengar fluorida tu bahaya. Anak saya pula memang suka telan ubat gigi tu. Tu yang saya tak berani nak guna ubat gigi berfluorida.”
Sebenarnya ubat gigi berfluorida ini boleh dan perlu digunakan untuk anak-anak kecil yang sudah mempunyai gigi susu.
Fluorida yang terkandung di dalam ubat gigi bermanfaat untuk membentuk lapisan gigi yang lebih kuat bagi mencegah gigi tersebut menjadi mudah rosak.
Seperti yang kita tahu, lapisan enamel gigi susu pada kanak-kanak tidak sepadat seperti gigi kekal yang ada pada gigi orang dewasa dan ianya mudah rosak.
Risiko kerosakan akan semakin meningkat jika anak terdedah kepada diet yang tinggi gula serta penggunaan botol susu untuk tempoh waktu yang lama.
Jadi, penggunaan ubat gigi berfluorida dan ditambah dengan teknik memberus gigi yang betul berupaya untuk menjadi langkah yang berkesan bagi mencegah terjadinya kerosakan gigi.
*****************************************************
“Tapi Doc, takpe ke kalau ubat gigi berfluorida tu ditelan oleh anak-anak? Tak bahaya ke?”
Ubat gigi bukanlah sejenis makanan. Ianya adalah bahaya untuk ditelan tidak kira sama ada ianya mengandungi fluorida ataupun tidak kerana ia turut mengandungi bahan kimia yang lain. Jadi jangan biarkan atau biasakan anak anda menelan ubat gigi walaupun ianya tidak mengandungi fluorida.
Disebabkan hal tersebut, maka adalah penting untuk anda memantau dan membantu anak anda untuk memberus gigi.
Jangan biarkan mereka memberus gigi sendiri kerana:
1️⃣ Mereka belum pandai dan tahu meludah. Dikhuatiri mereka akan menelan ubat gigi ketika memberus gigi.
2️⃣ Mereka belum pandai memberus gigi sendiri dan tidak tahu cara memberus gigi yang betul. Akibatnya bahagian gigi yang tidak diberus akan mengalami kerosakan.
Kuantiti ubat gigi juga perlu diperhatikan. Ini bagi mengurangkan risiko anak menelan sisa lebihan ubat gigi tersebut.
✅ Untuk anak yang berusia 1-3 tahun, gunakan kuantiti ubat gigi sebesar butir beras atau selapis tipis sahaja.
✅ Untuk anak berusia 3 tahun ke atas, kuantiti ubat gigi yang perlu digunakan adalah sebesar biji kacang pea.
Kuantiti ubat gigi ini adalah penting untuk diperhatikan kerana jika anda membiarkan anak anda menggunakan ubat gigi secara berlebihan, buih yang terhasil akan lebih banyak dan anak akan lebih cenderung untuk menelan sisa ubat gigi tersebut.
Oleh yang demikian, jika anda belum memperkenalkan ubat gigi berfluorida kepada anak anda, mulai sekarang mulalah beralih kepada ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi fluorida agar anak anda mendapat manfaat daripadanya dalam usaha kita untuk mencegah gigi mereka daripada mudah menjadi rosak.
Terdapat pelbagai jenama ubat gigi kanak-kanak yang berada di pasaran sekarang dengan pelbagai perisa yang sesuai dengan cita rasa mereka. Pilihlah jenama ubat gigi apa sekalipun yang digemari oleh anak anda, asalkan ianya mengandungi fluorida.
Jangan kerana sentimen anti fluorida dan fakta yang salah mengenai fluorida yang dilaungkan oleh kelompok-kelompok tertentu membuatkan anda takut untuk menggunakan ubat gigi berfluorida kepada anak anda.
Ingat, fluorida mengandungi kebaikan yang boleh dimanfaatkan asalkan ianya diguna dalam kuantiti yang betul. Sebab itulah pentingnya anda untuk memantau dan membantu anak anda ketika mereka memberus gigi.
Sekali lagi perlu diingatkan bahawa ubat gigi bukanlah makanan dan ianya adalah berbahaya untuk ditelan tanpa mengira sama ada ianya mengandungi fluorida ataupun tidak.
Jadi jangan abaikan kebaikan serta manfaat fluorida terutama terhadap anak-anak anda hanya kerana anda dimomokkan oleh fakta yang salah berkenaan bahan tersebut.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Fb Dr Mohd Khairul Izwan Bin Abdul Wahab ~
Pegawai Pergigian KKM