Ini Sebab Ibu Hamil Terpaksa Induce Waktu Bersalin, Bukan Saja-Saja!

Share

Terpaksa bersalin melalui proses induce atau proses bersalin secara paksa adalah untuk membolehkan kontraksi rahim terjadi sebelum kelahiran semula jadi berlaku.

Proses bersalin secara induce ini mungkin akan disarankan oleh doktor atau pengamal perubatan disebabkan oleh faktor tertentu, sama ada melibatkan perubatan atau bukan perubatan.

Tetapi adakah ia selamat atau terdapat risiko yang boleh berlaku? Bagaimana pula dengan persediaan jika perlu menjalani prosedur ini Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Kenapa perlu bersalin secara induce?

Selalunya proses bersalin secara induce ini akan disarankan jika wujud kebimbangan mengenai kesihatan ibu mahupun bayi dalam kandungan. Di samping itu, faktor lain yang mungkin memerlukan proses bersalin secara paksaan ini adalah jika jarak tempat tinggal anda jauh dari hospital.

Maka pemilihan bersalin induce adalah wajar untuk mengawal masa bersalin dan tempoh kelahiran bayi.

Perkara lain mungkin melibatkan:

  • Telah melepasi tarikh jangkaan bersalin (EDD)
  • Menghidap diabetes gestasi
  • Chorioamnionitis – jangkitan pada rahim
  • Tumbesaran bayi terhenti
  • Oligohydramnios – cecair ketuban sedikit atau bocor
  • Halangan atau gangguan plasenta
  • Air ketuban pecah tetapi tidak berlaku kontraksi
  • Sejarah proses bersalin cepat dan pantas

Bagi wanita berbadan dua dengan isu kesihatan tertentu tidak boleh disyorkan untuk melakukan proses bersalin secara induce ini.

Kaedah untuk bersalin induce

Untuk prosedur bersalin secara paksa ini, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan. Cuma perlu diingatkan adalah kaedah yang mungkin sesuai dengan seseorang individu lain, mungkin tidak berkesan untuk anda.

Antara kaedah yang boleh digunakan dalam proses bersalin secara induce adalah:

Amniotomi atau memecahkan air ketuban. Doktor akan mencucuk lubang kecil pada kantung ketuban. Ia sekali gus menyebabkan kontraksi lebih kuat

Pitocin atau disebut oxytocin, yang merupakan hormon untuk mempercepatkan proses bersalin. Kaedah ini menggunakan intravena (IV) pada lengan

Cervical ripening. Dilakukan dengan pengambilan ubat secara oral atau dimasukkan ke dalam faraj (analog prostaglandin) untuk meregang, melembutkan dan mengembangkan serviks

Kaedah bersalin induce menggunakan kateter (catheter) atau belon yang berfungsi untuk menjarakkan kantung dengan rahim. Ia akan merangsang hormon dan mencetuskan kontraksi

Menarik selaput (stripping membrane). Untuk kaedah ini doktor akan menggunakan jari yang telah dipakaikan sarung tangan bagi memisahkan kantung nipis pada ketuban daripada dinding rahim

Dari masa ke masa, bergantung kepada keadaan, doktor mungkin akan menggunakan lebih daripada 1 kaedah untuk proses bersalin secara paksa ini.

 

Berapa lama proses bersalin induce?

Secara amnya, ia adalah berbeza mengikut individu. Sekiranya serviks anda lembut dan matang, ia hanya memerlukan dorongan lembut untuk berlakunya kontraksi. Jika tidak, ia boleh mengambil masa beberapa jam sehingga beberapa hari sebelum berlakunya kelahiran bayi.

Dalam sesetengah kes, proses induce tidak berfungsi seperti diharapkan dan kaedah yang sama perlu diulang.

Risiko yang boleh terjadi dalam proses bersalin induce

Antara risiko proses bersalin secara induce, adalah:

  • Boleh mengalami kontraksi lebih kuat, menyakitkan dan kerap
  • Berdepan peningkatan risiko kemurungan selepas bersalin
  • Prosedur induce gagal dan perlu menjalani kaedah kelahiran caesarean
  • Wujud risiko jangkitan pada ibu dan bayi
  • Masalah rahim pecah. Ini terutamanya bagi wanita yang pernah menjalani pembedahan czer atau pembedahan rahim lain
  • Kontraksi yang terlalu banyak boleh menyebabkan perubahan pada kadar degupan jantung bayi
  • Risiko kematian janin

Persediaan diri

Biasanya prosedur ini akan dilakukan di hospital atau pusat bersalin, di mana anda dan bayi boleh dipantau oleh doktor.

Pun begitu, ada beberapa persiapan yang ibu perlu lakukan sebelum menjalani proses bersalin secara induce.

 

1. Bertanyakan soalan

Jika terdapat sebarang keraguan atau kebimbangan, jangan ragu untuk bertanya. Ia pastinya akan membantu anda untuk lebih tenang selepas mengetahui perkara yang boleh dijangkakan. Anda mungkin ingin mengetahui kaedah yang akan dipilih, risikonya dan rancangan doktor jika kontraksi tidak berlaku seperti diharapkan.

Antara beberapa soalan lain yang boleh ditanya:

  • Sebab perlu melakukan induce
  • Keadaan serviks
  • Kedudukan bayi

Bolehkah anda bergerak selepas prosedur induce?

Adakah ia menyakitkan dan pilihan yang anda ada untuk mengurangkan rasa sakit?

2. Keselesaan diri

Persiapan untuk keselesaan diri akan bergantung kepada prosedur yang dipilih. Anda mungkin tidak dapat bergerak banyak sekiranya diberikan Pitocin melalui IV.

Antara perkara yang boleh membantu meringankan rasa sakit adalah:

  • Sokongan daripada pasangan, rakan atau ahli keluarga
  • Kekal terhidrat
  • Mengubah posisi kedudukan, seperti bergerak dari sisi ke sisi, berjalan, squatting atau berdiri
  • Ciptakan persekitaran yang menyelesakan seperti mendengar alunan muzik
  • Mandi – bergantung kepada kemampuan anda bergerak dan fasiliti
  • Teknik pernafasan mendalam

Bersalin induce? Terima dengan terbuka

Mungkin proses bersalin secara induce bukanlah apa yang anda jangkakan. Tetapi tiada salahnya untuk anda bersikap terbuka dan menerimanya. Ini kerana perkara yang paling penting adalah keadaan diri anda dan bayi selamat dilahirkan.

Dalam kebanyakan kes, prosedur bersalin secara paksa ini berjaya membawa kepada kelahiran normal.