Walaupun ramai yang menggemari petai namun ada satu masalah yang akan anda hadapi selepas menikmatinya. Baunya akan menimbulkan rasa kurang selesa kepada anda dan juga orang sekeliling.
Namun bagi yang sudah biasa menikmatinya, anda pasti susah lali dengan bau yang ditimbulkan selepas memakan sayuran kekacangan ini. Akan tetapi untuk menghormati orang-orang yang berada disekeliling, pasti anda tidak akan melebih-levbih menikmatinya walaupun ianya tinggi dengan khasiat.
Bagi seorang wanita Mat Salih, sejak menikmati sayuran ini, dia seakan ketagih dengan petai.
Menerusi satu perkongsian video, wanita yang lebih dikenali sebagai Aga itu berkata, sejak berpindah ke Malaysia, ramai bercakap mengenai petai sebagai ‘kacang berbau’.
“Tapi saya tidak tahu apa yang peliknya, saya sukakannya,” katanya.
Menurut Aga, dia turut mencuba beberapa resipi masakan Malaysia yang berasaskan petai.
“Saya makan nasi goreng kampung dengan petai, sambal udang dengan petai dan sambal ikan bilis dengan petai termasuk yang mentah.
“Petai mempunyai rasa yang unik, ia mengingatkan saya kepada kubis tumis bawang putih, kacang bulu (edamame), yang membuatkan saya ketagih dan nak lagi,” katanya.
Bagi Aga, apa yang mengejutkannya mengenai petai adalah makanan itu tinggi antioksida, nutrien dan mineral seperti besi dan kalsium.
Malah katanya lagi merujuk perkongsian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), petai mempunyai banyak khasiat untuk badan.
“Ia mempunyai banyak khasiat seperti membantu menurunkan kadar kolestrol, mampu menurunkan paras gula dalam darah dan mengurangkan tekanan.
“Petai juga meningkatkan daya ingatan dan menghentikan ketagihan merokok serta mengurangkan kesan gigitan nyamuk.
“Jom makan… senarai panjang khasiat untuk sesuatu yang enak. Saya sukakannya,” ujar Aga sambil menikmati makanan bersama petai dengan penuh menyelerakan.
Dalam pada itu, dia turut menyukai cara rakyat Malaysia menjadikan petai sebagai pembuka selera atau umami, diambil daripada perkataan Jepun iaitu umai dan mi, bermaksud rasa yang menyelerakan.
“Umami dalam sambal dan membawa nasi goreng ke tahap lebih tinggi, dan intersensiti serta keseimbangan sempurna.
“Bagi saya, petai langsung tak busuk. Malaysia mempunyai banyak ‘hidden gem’. Saya tertanya-tanya kenapa ia ini tidak digunakan dalam kebanyakan makanan di negara ini.
“Saya suka tambah makanan dengan petai segar kerana ia menambah rangup dan sesuai dengan yang dimasak, yang menyerap rasa dan rempah ratus dalam hidangan.
“Malaysia, saya mahu melihat lebih banyak petai dalam hidangan anda,” katanya menerusi akaun TikTok.
Menurut KKM, petai atau nama saintifiknya parkia speciosa, mempunyai kandungan tinggi vitamin C yang membantu meningkatkan imun badan dan antioksida, tinggi kalium yang mengawal keseimbangan air badan dan fungsi jantung.
Selain itu, ia juga mempunyai kalsium yang baik untuk pembentukan tulang dan gigi serta vitamin A bagus untuk penjagaan mata, jantung dan kulit.
Ia juga tidak mendatangkan kemudaratan tetapi hanya kurang selesa.
“Walaupun bau petai membuatkan sesetengah individu kurang selesa, namun tiada siapa dapat menafikan khasiat petai.
“Jika anda kurang selesa selepas makan petai, minum kopi tanpa gula dapat membantu mengurangkan bau petai.”
Bagi yang ingin menghilangkan bau petai, anda boleh mencuba petua ini.
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club