Ini Rezeki Anak-Anak Yang Tuhan Bagi. Saya & Isteri Hanya Tumpang-Ajak Shiro

Share

Pelawak Ajak Shiro atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak bukan sahaja suami yang penyayang, bahkan bapa yang bertanggung jawab.

Dia  yang kini sudah berhenti sebagai penyampai radio di stesen Hot FM mengakui keputusan tersebut di ambil bagi menumpukan perhatian kepada keluarga dan anak-anak.

 

“Saya akui sangat gembira bekerja di stesen radio tetapi sepanjang tiga tahun ini, jadual kerja sangat padat, malah untuk hari hujung minggu pun kadang-kadang saya perlu mengikuti pelbagai program luar. Boleh dikatakan saya langsung tiada hari cuti. Sepanjang tempoh ini, saya tidak pernah berkesempatan menghantar anak-anak ke sekolah memandangkan waktu masuk bekerja adalah awal pagi.

“Daripada anak tahun satu hingga ke tahun 3, saya tidak pernah hantar dia ke sekolah. Malah saya keluar lebih awal dari dia. Itu membuatkan saya terfikir untuk seimbangkan kerjaya dengan famili. Tambah lagi 2019 ini, Allah dah berikan rezeki yang baik. Duit kalau kita cari sampai mati takkan pernah cukup.

“Jadi, saya fikir sekarang adalah masa untuk saya beri tumpuan pada anak-anak pula sekarang. Sebenarnya daripada dulu saya tidak tahu di mana lawaknya saya. Tetapi bila difikirkan kembali, inilah rezeki anak-anak yang Tuhan bagi. Saya dan isteri hanya tumpang sahaja. Niat saya masuk raja lawak pun adalah kerana anak sulung ketika itu,” jelas Ajak yang kembali sibuk dengan penggambaran telemovie di Astro serta bakal keluar single album tak lama lagi.

Terlepas momen bersama anak

Ditanya karekter anak-anaknya, akui Ajak setiap seorang daripada mereka miliki keistimewaan masing-masing.

“Anak sulung lebih cenderung ke arah bidang sukan. Anak kedua nampak karekter lawak dan pandai ambil hati orang, tak malu dengan kamera manakala yang ketiga belum menunjukkan lagi minatnya. Tetapi kalau boleh saya tak mahu dia besar, biarkan macam tu je sebab 9 tahun ini saya banyak terlepas momen dengan anak-anak.

“Dibandingkan dengan isteri yang pandai membaca karekter anak, saya pula berbeza. Pernah anak sulung suka meyepak kaki di katil kerana mengantuk tetapi saya tidak tahu. Begitu juga bila anak kedua mengadu abangnya pukul, jadi saya terus percaya. Tetapi isteri cakap itu hanyalah tipu dan dia boleh baca air muka anak-anak,” ujar Ajak yang memberitahu ketiga-tiga anaknya berkongsi tarikh lahir yang sama.

Resipi kasih sayang

Memeluk dan mencium anak-anak adalah satu pendekatan yang sering dipraktikkan oleh Ajak kerana itu adalah resipi berkasih sayang.

“Saya suka peluk dan cium kerana dengan cara ini memberi kasih sayang. Jadi secara tak langsung, mereka terbiasa berbuat demikian baik di rumah mahupun di luar. Dari bab mendidik, ibunya yang lebih memainkan peranan memandangkan dia seorang guru. Manakala saya lebih ke arah aktiviti luar seperti bersukan, berenang dan sebagainya.

“Sejak kecil lagi saya sudah membiasakan mereka dengan aktiviti dalam hutan supaya mereka dapat rasa bagaimana hidup jadi anak kampung. Sebenarnya ketika anak kedua lahir, kami tinggal di apartmen, jadi apabila balik kampung dia takut dan tak mahu pijak rumput. Itu yang membuatkan saya melatih mereka terdedah pada semua benda,” ungkap Ajak lagi yang tidak meletakkan limit sebaliknya selagi diterima peminat, dia akan meneruskan karier dalam bidang seni.

Sumber; Majalah Keluarga Edisi Mac-Apr 2019