Sifat rendah hati (tawadhu’) adalah salah satu ciri mulia yang patut diterapkan kepada anak-anak kita sedari kecil seperti mana wasiat Luqman kepada anaknya di dalam Al Quran :
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” [Surah Luqman : 18]
Mari kita mencuba beberapa cara praktikal untuk mendidik anak-anak soleh solehah kita untuk menjadi insan yang sentiasa merendah hati:
1. IBUBAPA YANG MERENDAH HATI
Madrasah atau pun sekolah pertama untuk anak-anak belajar adalah daripada pendidikan dalam keluarga sendiri terutamanya contoh perbuatan seharian ibubapa. Ibubapa yang sentiasa menunjukkan contoh tauladan yang sentiasa merendah hati, tidak mustahil akan melahirkan anak-anak soleh yang juga bersikap merendah hati.
2. MEMPERKENALKAN MEREKA KEPADA TUHAN YANG MAHA PENCIPTA
Ketika menaiki kenderaan, rutinnya ibubapa dan anak-anak akan sama-sama membaca doa naik kenderaan yang bermaksud :
Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali![Surah Az Zukruf : 13-14]
Surah ini sangat sesuai untuk mendidik anak-anak merasa tawadhu’ kepada Allah SWT. Kita tidak akan mampu membawa kenderaan sampai ke destinasi tanpa izin Allah. Sesungguhnya tiada daya dan kekuatan kita manusia melainkan dengan izin Allah SWT.
Anak-anak juga boleh didedahkan untuk mengenali kehebatan ciptaan bintang, matahari, bulan, bumi dan galaksi-galaksi. Tanamlah rasa syukur dengan kebesaran Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi seperti dalam surah Ad Dukhan.
“Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya;” [Ad-Dukhan: 7]
Rancang aktiviti lawatan ke Planetarium Negara, contohnya sebagai satu peluang besar untuk menunjukkan kehebatan kuasa Allah SWT. Terangkan bagaimana hebatnya Allah menciptakan segala sesuatu nak dibandingkan pula dengan diri kita yang terlalu kecil ini .
Selalu ingatkan anak-anak bahawa Allah SWT sahaja yang berhak disembah dan tempat bergantung seperti mana dalam solat anak-anak selalu dilazimi dengan membaca surah Al Fatihah :
“Kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau kami mohon pertolongan.” [Al-Fatihah: 5]
3. MEMPERKENALKAN MEREKA DENGAN ROLE-MODEL NABI MUHAMMAD SAW
Tiada siapa yang boleh menjadi contoh yang lebih baik untuk kita dan anak-anak kita selain daripada ikon nombor 1 ummat Islam iaitu Nabi Muhammad SAW. Bacakan kisah-kisah Nabi Muhammad SAW yang sentiasa merendah hati meskipun kepada mereka yang bersikap tidak baik terhadap Baginda.
Membaca cerita mengenai Nabi SAW kepada anak-anak kita akan menanamkan rasa kasih kepada Baginda dalam hati mereka dan menjadikan mereka tidak sabar-sabar untuk mengikut jejak langkah-langkah Baginda, Insya Allah.
4. BERJALAN DAN BERCAKAP DENGAN RENDAH DIRI
Kanak-kanak cenderung untuk bercakap dengan kuat pada masa-masa tertentu. Kadang-kala mereka menaikkan suara yang nyaring apabila mereka sangat seronok atau teruja. Ada ketikanya mereka berperilaku begitu untuk mengambil perhatian ibubapa atau sedang ‘tantrum’.
Dan ada masanya kita sebagai ibubapa kadang-kadang hilang kawalan pada pengunaan suara kita ketika menguruskan mereka yang sedang meragam.
Jadi tugas yang mencabar untuk ibubapa adalah untuk mengingatkan anak-anak soleh dan diri sendiri terutamanya untuk sentiada mengawal diri daripada bercakap kasar dan meninggikan suara. Walaupun bukanlah mudah seperti A B C dan memerlukan kesabaran dan percubaan berulang kali.
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa anda juga rendahkanlah suaramu; sesungguhnya, yang paling mengerikan bunyi ialah suara keledai “ [Luqman : 19]
Mengajar anak-anak untuk bercakap lembut dan berjalan dengan sederhana adalah penting untuk menanamkan sifat merendah hati.
5. MENGAJAR MEREKA KATA-KATA AJAIB
Berkongsi dengan mereka kata-kata ajaib seperti : “Ibu minta maaf “ , ” Tolong ibu “ dan ” Terima Kasih” .
Doronglah anak-anak untuk berani memohon maaf. Ia akan menundukkan kesombongan dan keegoan diri. Didik mereka untuk jadi yang pertama menyatakan maaf sebaik sahaja mereka menyedari mereka telah melakukan kesilapan. Juga bimbinglah mereka untuk selalu meminta pertolongan dengan cara yang paling baik. Serta sentiasa latih mereka untuk berterima kasih pada orang yang telah memberi kebaikan kepada mereka.
Walau bagaimanapun, ia perlu bermula daripada tingkah laku ibubapa sendiri pertamanya. Contoh tauladan yang baik daripada ibubapa akan sendirinya terakam dalam minda anak-anak. Akhirnya mudah untuk diikuti oleh mereka kelak.
Sama juga jika kita ada terbuat silap pada anak-anak, tundukkanlah ego untuk memohon maaf kepada mereka walaupun terasa kekok. Supaya nanti mereka juga akan mengikut jejak langkah mulia yang kita selalu tanamkan dalam diri mereka. Begitu juga, jika kita selalu memohon maaf kepada pasangan. Anak-anak adalah pemerhati dan peniru yang terbaik.
6. LAYAN ORANG LAIN SEBAGAI SATU KELUARGA
Membawa anak-anak menolong mangsa banjir, membiasakan anak-anak membersihkan sampah-sarap bersama jiran, melazimi anak-anak untuk membeli hadiah untuk anak-anak yatim, membuka pintu untuk orang lain, bawa bekal untuk berkongsi dengan rakan-rakan mereka, berkongsi mainan dengan anak-anak lain, dan membantu ibu menghidang makanan, adalah semua tindakan kecil tetapi penting yang mana boleh memberi peluang untuk berkhidmat dan membantu orang lain di sekeliling kita pada setiap hari.
Ibubapa boleh mencetuskan satu rutin warisan keluarga untuk membawa anak-anak bersama mengikuti aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Dengan melihat dan merasai sendiri kesusahan orang lain menjadikan diri kita dan anak-anak untuk lebih bersyukur.
Merendah hati adalah satu sifat orang beriman yang akan diingat walaupun setelah jasad sudah tiada lagi di dunia. Nabi Muhammad SAW diingati dan dikasihi oleh sahabat dan keluarga dan juga orang-orang yang tidak menentang beliau kerana beliau sentiasa bersikap merendah diri.
Semoga Allah SWT menerima amal baik daripada kita semua dan membimbing kita untuk menjadi ibubapa yang lebih baik dari hari ke hari dengan pimpinan rahmat dan kasih sayang Allah. Semoga sedikit tip ringkas ini sedikit sebanyak berjaya menyemai sifat rendah hati pada anak-anak dari usia muda.
Sumber: www.excelqhalif.com