Setiap perintah Allah SWT memiliki kebaikan dan hikmah tentu disebaliknya. Semua lima pancaindera, tanpa terkecuali disapu oleh air wuduk. Mata, hidung, telinga & seluruh kulit tubuh. Ini betul-betul luar biasa.
Difahami bahawa dengan berwuduk kita dapat membersihkan hati dari sifat-sifat buruk dan tercela serta menyucikan badan dari dosa.
Menerusi facebook, Dzulkhairi Khairi menjelaskan rahsia disebalik nama wuduk. Moga jadi panduan bersama.
IKUTI PERKONGSIAN INI
Maksud perkataan wudhu.
Kita akan berwudhu setiap kali ingin mengerjakan solat khususnya. Pada ruangan ini, insha Allah kita akan terangkan apakah maksud wudhu, dengan harapan selepas ini kita akan menghayatinya setiap kali berwudhu.
Saya tidak akan membahaskannya daripada sudut hukum dan kelebihan menggugurkan dosa seperti disebutkan dalam hadith. Saya hanya akan membahaskannya daripada aspek bahasa.
Selepas ini, jika anak bertanyakan kita, “Abah, apa maksud wudhu?” Kita dapat menjawab dan menerangkannya. Insha Allah.
Satu: Perkataan [وضأ، يضؤ، وضئا، وضاءة] “wadha’a, yadha’u, wadh’an, wadha’atan.
Contoh ayat, [وضأ فلانا] “wadhdha’a fulanan” bermaksud mengatasi ketampanan orang itu.
Perkataan ini bermaksud menjadi cantik, tampan dan bersih.
Dua: Perkataan [الوضاء] “al-wadha’ ” dengan huruf shiddah pada huruf ض bermaksud tampan, berseri. Sebagai contoh ayat, [هي وضاءة] “hiya wadhdha’ah” maksudnya dia cantik berseri.
Tiga: Al-Nabighah ada melantunkan syair yang berbunyi,
علين بكديون وأبطن كرة،
فهن إضاء صافيات الغلائل
Perkataan إضاء bermaksud bersih; huruf alif ditukar kepada huruf wau. Ini ialah kaedah biasa dalam bahasa arab, seperti perkataan إعاء ditukar kepada وعاء, perkataan إساد kepada وساد.
Jika kita perhatikan kalimah الوضوء dengan الضوء, memang ada kaitan yang sangat rapat. Al-dhau’ bermaksud menyala, menerangi, bersinar, menyuluh.
Empat: Ulama mentakrifkan wudhu sebagai,
الحسن والنظافة والنضارة، وسُمي وضوء الصلاة وضوءًا؛ لأنه ينظِّف المتوضِّئ ويحسِّنه.
“Cantik, bersih, berseri. Dinamakan wudhu kerana ibadah itu membersihkan dan mengindahkan orang yang mengambil wudhu.”
Bayangkan, wudhu yang kita ambil boleh membersihkan dan memberi seri kepada kita, bukan sahaja wajah, malah keseluruhannya. Menurut hadith Nabi salla Allah ‘alaih wa sallam, baginda akan mengenali umat baginda disebabkan cahaya pada muka dan kaki hasil wudhu.
Hadith juga mengatakan bahawa wudhu berfungsi menggugurkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Bayangkan, apabila dosa-dosa kecil yang mengeruhkan wajah kita berguguran jatuh, pastilah wajah kita akan berseri-seri.
Akhirnya, kita berwudhu bukanlah untuk menambahkan ketampanan dan kecantikan, sebaliknya ingin mendapat keredhaan Allah Taala, beramal dengan sunnah dan menghidupkan cahaya di akhirat kelak.
Sumber: Dzulkhairi Khairi