Ini Panduan Ibu Bapa Kena Alert Bila Uruskan Anak Waktu PKP Di Lanjutkan. Boleh Follow.

Share

Apabila perintah kawalan pergerakan dilanjutkan sehingga 14 april 2020, ia memberi kesan kepada pelbagai pihak daripada pelbagai sektor.

Bukan sahaja ia memberi kesan kepada ekonomi negera tetapi juga kepada anak-anak kita. Pelajaran mereka ditangguhkan PKP ini. Bagaimana pun, pihak sekolah telah mengambil inisiatif dengan mengadakan kelas online dan memberi ‘homework’ melalui grup whatsapp sekolah.

Menerusi perkongsian Rahima Dahlan menyediakan panduan kepada ibu bapa menguruskan anak dalam tempoh KPK yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Ikuti perkongsian ini.

REMAJA DAN WABAK COVID-19

Wabak COVID19 yang melanda pastinya memberi cabaran yang hebat kepada golongan remaja yang perlu berada di rumah sepanjang Perintah kawalan pergerakan (PKP). Kanak-kanak mungkin merasa gembira dan teruja kerana ibubapa sentiasa ada bersama mereka di rumah namun situasinya mungkin berbeza bagi remaja seperti yang kita tahu, sangat mementingkan aktiviti bersama kawan-kawan, sudah tentunya tempoh PKP sukar untuk dilalui oleh mereka.

Sebagai ibubapa, berikut dikongsikan sedikit panduan ringkas bagaimana menguruskan anak remaja dan dewasa yang kini berada di rumah dalam tempoh ini.

MEMAHAMI DAN MENGIKTIRAF EMOSI


1. FAHAMI – cuba memahami keresahan dan kekecewaan yang dihadapi kerana tidak dapat keluar berjumpa rakan sebaya, tidak dapat melakukan aktiviti seperti biasa di sekolah atau bermain bersama-sama. Sekiranya anak remaja mula mengeluh dan menunjukkan emosi dan tingkahlaku negatif kerana perlu mematuhi arahan PKP, sebaiknya cubalah untuk berkomunikasi dengan mereka secara berseorangan.
2. TERIMA EMOSI – maklumkan kepada anak remaja bahawa anda tahu dan sedar perasaan kecewa mereka kerana tidak dapat berjumpa rakan pada masa ini. Anda juga terima dan sedar bahawa situasi ini sangat mencabar bagi semua orang termasuklah mereka. Terima emosi yang dirasai, “it’s okay” untuk rasa risau, takut, kecewa atau marah pada masa ini.
3. DENGAR dan IKTIRAF EMOSI – beri ruang untuk mereka luahkan emosi, dengar apa yang ingin diluahkan, iktiraf emosi mereka dan berbincang dengan mereka bagaimana untuk jadikan situasi ini lebih baik dan bermakna.
4. BANTU MEREKA MENYEDARI DAN MEMAHAMI SITUASI WABAK (KEPENTINGAN JARAK SOSIAL & KPK) DARI PERSPEKTIF NILAI DAN TANGUNGJAWAB SOSIAL. Bantu mereka memahami proses ini dari sudut pandang yang lebih luas. Ibubapa mungkin boleh mencuba dengan bertanya kepada mereka:

• “Ibu tahu awak nak jumpa kawan. Ibu tahu awak bosan dan tiada kawan di rumah
• Ibu harap awak boleh sedar dan nampak dengan jelas yang semua orang (termasuk awak) perlu memainkan peranan dalam menghadapi wabak ini. Apa-apa tindakan (seperti keluar rumah) boleh mempengaruhi situasi ini.
• Ibu nak tahu juga, apa yang awak fikir dan risaukan dengan situasi ni?
• Siapa yang awak boleh bantu dan siapa yang mungkin terancam? Macamana awak boleh gunakan kebolehan dan kemahiran yang awak ada untuk bantu masalah wabak sekarang?
• Di masa akan datang pastinya anak-anak dan keluarga awak akan bertanya apa yang awak buat sewaktu wabak ini, jadi apa yang awak nak beritahu nanti pada mereka?”

5. BANTU TENANGKAN MEREKA – Boleh merujuk kepada link yang berkaitan.
6. FIKIRKAN ALTERNATIF – Mungkin boleh diberikan ruang menggunakan interaksi media sosial pada ketika ini, galakkan mereka untuk lebih kreatif bagaimana untuk berinteraksi dangan rakan mereka di media sosial.

CARA KOMUNIKASI

1. Gunakan ayat yang tidak berbunyi mengawal atau mengarah (non-controlling, non-directive)
2. Cara yang lebih baik ialah bertanya pada mereka soalan terlebih dahulu sebelum menyuruh mereka melakukannya. Remaja akan merasa mereka masih mempunyai kawalan terhadap apa yang perlu dilakukan dan ini secara tidak langsung membantu memberikan motivasi dan semangat untuk melakukannya. Contoh:

“Apa rancangan awak hari ni?”
“Apa rancangan awak hari ni untuk siapkan kerja sekolah online tu?”
“Ada apa-apa ke yang ibu boleh bantu untuk awak buat aktiviti senaman hari ni?”

BANTU PEMBELAJARAN ATAS TALIAN


1. Memberikan mereka peluang untuk menguruskan diri sendiri, kerja sekolah dan tanggungjawab mereka tanpa leteran dan bersifat kawalan. Namun perlu ditekankan bahawa ibubapa perlu mempunyai “expectation” yang jelas atau mewujudkan struktur dan sokongan bagi memastikan mereka dapat berfungsi dengan baik di rumah pada waktu ini.
2. Bincang bersama mereka dan wujudkan jadual (yang realistik) bagi memastikan proses pembelajaran berjaya dilakukan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Jadual tersebut termasuklah waktu rehat, waktu bersama rakan (dimedia sosial) dan aktiviti lain seperti bersenam, menonton TV dan bermain games. Prinsip utama ialah lakukan kerja terlebih dahulu sebelum mendapat ganjaran dengan sesuatu yang disukai. Proses pembelajaran atas talian ini mungkin tidak seefektif belajar di sekolah atau kampus namun ianya sedikit sebanyak dapat membantu buat masa ini.

LIBATKAN MEREKA MEMBANTU KERJA DI RUMAH
Mereka dapat membantu dalam menyediakan makanan dan membersihkan rumah. Maklumkan kepada mereka untuk sama-sama membantu kerja rumah. Melayan adik dan bermain bersama mereka dengan baik juga sangat membantu mengurangkan tekanan di dalam rumah disamping membantu mengurangkan gangguan sewaktu ibubapa perlu bekerja dari rumah. Minta mereka fikirkan aktiviti yang menyeronokkan untuk dilakukan seisi keluarga.

KEKALKAN CARA HIDUP SIHAT
Bantu remaja kita mengekalkan cara hidup sihat ketika waktu mencabar ini. Tidur yang mencukupi, makan makanan yang seimbang dan melakukan senaman setiap hari dapat membantu untuk menjadi lebih tenang. Rutin harian seperti waktu tidur dan bangun sangat mustahak bagi memastikan mereka memperolehi mood yang positif dan dapat meningkatkan keupayaan belajar.

Sumber: Dr Rahima Dahlan
HPUPM