Ini Kelebihan Sunat Dhuha. Ruginya Jika Tak Pernah Buat.

Share

Solat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan setelah terbit matahari hingga menjelang masuk waktu Zohor. Solat ini afdhalnya dilakukan pada waktu pagi hari ketika matahari sedang naik.

Meskipun ia adalah solat sunat, tapi sangatlah rugi jika tidak pernah menunaikan Solat Dhuha ini walaupun sekali seumur hidup.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti solat sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama, jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud:

“Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah).

Banyak hadis yang menggalakkannya dan menyatakan keutamaannya.


1. Solat Sunat Yang Sangat Dituntut

Antaranya ialah dalam Riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasulullah SAW telah berwasiat kepadakau tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2. Dimurahkan Rezeki & Elak Miskin

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain”, sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:

“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan”

3. Ganti ‘Sedekah’

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

“Pada tiap-tiap pagi, lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

4. Diampuni Dosa

Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya, nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih di lautan” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Betul-betul banyak kelebihan menunaikan Solat Dhuha ni. Marilah kita sama-sama merebut ganjaran yang diberikan ini.

Sumber: Islam itu indah