
Menggunung tingginya gara-gara mengumpul pakaian terlalu lama, kemudian nak melipatnya memang mengambil masa kan. Lebih-lebih lagi nak mengumpul mood rajin tu memang agak susah.
Sebab itu, ibu-ibu kena fikirkan alternatif untuk mengurangkan masa melipat baju. Cara paling efisyen lagi tersusun kemas adalah dengan menggantungkan kesemua baju. Tak perlu nak lipat!
Jom cuba tip yang dikongsikan ini dengan menggunakan batang penyapu. Bukan sahaja baju kemas tersusun malah dapat menjimatkan ruang.
Nok guna batang paip takut lentur…ni ada idea batang penyapu….
Sesiku pun ada banyak lebih masa buat rak di kedai..pallete katil g tak guna pun masih elok lagi..kiro jadi lah ni….
Simpan sini dulu mudoh nok tiru
Sumber : Ila Kay
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club (https://t.me/keluargagaderclub)
Cuci Usus Perlu Ke? Fahami Penjelasan Dr Ni Sebelum Ambil Keputusan Nak Buat!

Kunci untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat adalah dengan kita perlu mengamalkan cara hidup yang sihat. Umpamanya mengambil makanan yang berkhasiat, bersenam, tidak merokok dan lakukan aktiviti fizikal.
Itu semua yang kita sedia maklum, namun ada juga yang orang beranggapan perlu lakukan proses mencuci usus untuk pastikan ianya bersih dan sihat. Tidak kurang juga mengatakan bila dilakukan proses cuci usus, tubuh akan lebih kurus.
Benarkan begitu? Adakah setiap ahli keluarga perlu lakukannya? Bahaya atau tidak tindakan tersebut?
Mencari kepastiannya, ayuh kita hadam apa yang dijelaskan oleh doktor ini. Semoga selepas ini tidak ada lagi keraguan fakta. Jom semak!
Cuci Usus. Perlu atau tipu?
Assalammualaikum dan salam sejahtera pada sahabat-sahabat semua.
Kebelakangan ini kita semakin asyik dengan iklan produk-produk cuci usus yang tular di media sosial. Dilihat produk-produk ini memberikan keputusan positif yang signifikan dan pantas dan ramai yang bertanya pada saya dan rakan rakan Medtweetmy akan kebenaran testimony WA yang dipaparkan/diiklankan ini. Sejauh mana keberkesanan produk-produk ajaib ini? Selamatkah penggunaannya?
Bestnye boleh kurus cepat, kurang kembung/buncit dan tambah tenaga dengan mencuci usus.
Cuci usus mempunyai sejarah permulaan pada zaman Greece dan mula popular pada tahun 1900an. Lama-lama kelamaan, aktiviti ini tidak lagi popular kerana dilihat tiada kesan jangka masa panjang dan juga mungkin membawa mudarat.
Cuci usus ini merujuk pada perbuatan untuk membersihkan usus besar dari najis dengan menggunakan produk-produk yang secara kasarnya hanyalah ubat untuk penyakit sembelit. Terdapa juga kaedah cuci usus menggunakan air yang dimasukkan terus ke lubang dubur dan diirigasi untuk mengeluarkan najis. Ini agak ekstrem dan berisiko mencederakan usus dan mungkin menyebabkan ia pecah dan boleh dilanda jangkitan kuman dalam abdomen.
Kita fokus pada produk-produk ajaib ini. Cuci usus menggunakan produk merujuk pada aktiviti menelan pil ajaib untuk meransang pergerakan usus ataupun meminum cecair berkepakatan tinggi untuk membawa air keluar dari usus sekaligus membilas usus anda dari najis. Inilah mekanisma cucian usus menggunakan produk yang kita lihat diiklankan sebagai ‘quick-fix’ dalam usaha untuk kurus dan bertambah sihat. Produk seperti ‘Cle*n8, Al*e Ve*a G#l dan sebagainya mengiklankan kesan cuci usus sebagai positif dan mampu menjadikan penggunanya kurus dan kurang lemak.
Saya ingin nyatakan di sini bahawa, istilah cuci usus itu wujud dan hanya digunakan sebagai persiapan untuk endoskopi yang mana Pakar Bedah gunakan kamera untuk mengesan KANSER USUS. Tiada kegunaan lain bagi cuci usus. Buang masa!
1. Ada yang kata cuci usus ini boleh kurus.
Penggunaan produk cuci usus ini pada mulanya akan membawa air keluar dari badan kerana kepekatannya tinggi dan mampu menarik air keluar dari sel dan seterusnya di keluarkan dengan najis. Kurus yang dirasai hanyalah sementara dan ia tidak berkekalan. Mungkin dalam 3-6 jam sahaja kesannya dan sejurus apabila badan menyesuaikan kembali keadaan dehidrasi dengan menjadikan anda dahaga, berat akan kembali pada paras sebelum cuci usus ini.
2. Ada yang kata cuci usus boleh kurangkan lemak.
Lemak yang ada dibahagian perut anda adalah di lapisan luaran dan kuantitinya ditentukan oleh pengambilan kalori anda dan juga jenis makanan yang anda makan. Tiada lemak akan keluar dengan cuci usus dan apa yang anda lihat berminyak etc hanyalah ilusi semata.
3. Produk cuci usus ini MERBAHAYA.
Produk ini bertindak untuk menarik air keluar dari sel badan anda. Apa bila air kurang di dalam sel, buah pinggang akan bertindak menyimpan air dan mengurangkan air kencing. Apabila keseimbangan ini tidak dapat dikawal lagi, maka buah pinggang akan mengalami kerosakan. Garam galian di dalam tubuh akan tidak seimbang dan mungkin menyebabkan kegagalan buah pinggang yang kekal, ritma jantung yang tidak teratur dan otot yang akan lemah. Perkara-perkara ini akan menyebabkan sahabat-sahabat saya Dr Rafidah Abdullah #MedTweetMY , Khairul Hafidz Alkhair Kamarul Ariffin Nor Sadan Muhammad Izzat Suhazeli Abdullah , Dr Beni dan Mahyuddin Mohamed pening kepala. Bukan apa, komplikasi seperti ini boleh dielakkan dan tidak sepatutnya berlaku.
Tuan-tuan dan Puan-puan, tiada jalan pintas untuk sihat, disiplin dari segi pemakanan dan senaman adalah kunci pada kesihatan. Tidak dilupakan kesihatan mental yang bermula dari berfikiran positif dan terbuka.
Saya akui memang sukar untuk berdisiplin dalam mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam, tetapi langkah pertama ialah langkah yang paling penting dan kita seharusnya istiqamah dalam perjuangan hidup ini. Jangan terperangkap dengan jalan pintas. Ia tidak berkekalan malah akan memudaratkan.
“Consistency is the key”
“Berak banyak kali tak semestinya akan kurus”
sumber : Dr. Zainal Adwin
Pakar Bedah
MedTweetMY
Memakai PPE Seharian, Begitu Rupanya Cara Mereka Solat!

Seakan tidak mampu untuk dibayangkan betapa sukar dan tidak selesanya setiap kali petugas kesihatan mengenakan suit PPE yang berlapis-lapis itu.
Bukan sahaja terasa panas, malah tentu sukar pula untuk pergi ke tandas atau sebagainya.
Bahkan tentu ada juga yang tertanya-tanya bagaimana pula cara mereka menunaikan solat 5 waktu?
Ketahui jawapan itu melalui perkongsian daripada DrMAZA.com
𝐁𝐀𝐆𝐀𝐈𝐌𝐀𝐍𝐀𝐊𝐀𝐇 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐏𝐄𝐓𝐔𝐆𝐀𝐒 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐌𝐄𝐌𝐀𝐊𝐀𝐈 𝐏𝐏𝐄 (Personal Protective Equipment)?
𝗣𝗿𝗼𝗳 𝗠𝗮𝗱𝘆𝗮 𝗗𝗮𝘁𝗼 𝗗𝗿 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝘀𝗿𝗶 𝗯𝗶𝗻 𝗭𝗮𝗶𝗻𝘂𝗹 𝗔𝗯𝗶𝗱𝗶𝗻
Soalan: Bagaimanakah cara solat kami petugas hospital yang memakai PPE (Personal Protective Equipment) yang memakainya dalam tempoh yang lama? Pakaian tersebut menutupi keseluruhan tubuh kami. Tujuan pakaian itu bertujuan menyelamatkan kami daripada jangkitan. Dalam masa yang sama kami juga wajib memastikan keselamatan pesakit lain. Maka, kami tidak boleh berwuduk ketika berada dalam keadaan demikian. Apakah kami wajib mengulangi solat atau bagaimana?
𝑱𝒂𝒘𝒂𝒑𝒂𝒏:
Semoga Allah merahmati hamba-hambaNYA menjaga solat dan dalam masa yang sama berkhidmat dan berusaha menyelamatkan manusia lain dari ancaman penyakit. Dari soalan ini menzahirkan keprihatinan terhadap titah perintah agama. Berikut adalah perkara-perkara yang wajar diambil perhatian oleh mereka yang terlibat;
1. Para ulama berbincang tentang mereka yang tidak boleh berwuduk dan bertayammum disebabkan keadaan tertentu. Ini seperti ketiadaan air dan debu, terkena penyakit tertentu yang menghalang penggunaan air dan debu, atau halangan tertentu yang menghalang penggunaan dua bahan tersebut. Bab ini disebut Faqid al-Tahurain (فاقِد الطَّهُورَيْن) atau ‘Adim al-Tahurain (عادِم الطَّهُورَين) iaitu orang yang tidak mempunyai atau tidak mampu untuk melakukan kedua cara bersuci. Dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menghitung sehingga lima pendapat dalam masalah kewajipan solat dan qada orang yang berada dalam keadaan sebegini (rujukan: Fath al-Bari, 1/585. Beirut: Dar-al-Fikr 1414H). Juga ada yang menghitungnya sehingga enam pendapat.
2. Berikut adalah ringkasan daripada pendapat-pendapat fuqaha (ahli fekah) yang disebut dalam pelbagai rujukan ulama sejak dahulu sehingga kini:
a) Solat dalam keadaan tanpa wuduk dan tayammum, dan tidak perlu qada (mengulangi solat). Ini pendapat al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal 241H), al-Imam al-Muzani (meninggal 264H, merupakan anak murid besar al-Imam al-Syafii dan tokoh dalam Mazhab al-Syafii), qaul qadim (pendapat lama) al-Imam al-Syafi’i (meninggal 204H), Ibn al-Munzir (319H) dan lain-lain. Inilah juga pendapat yang ditarjihkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H), Ibn ‘Uthaimin dan ramai lagi.
b) Solat dalam keadaan tanpa wuduk dan tayammun tapi wajib qada (ulang). Solat itu dilakukan bagi menghormati waktu. Ini pendapat kedua yang diriwayatkan dari al-Imam Malik, al-Imam Ahmad dan pendapat baru al-Imam al-Syafii.
c) Tidak wajib solat tapi wajib qada. Ini pendapat al-Imam Abu Hanifah (meninggal 150H), al-Imam al-‘Auza’i (meninggal 157H) dan al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H). Antara alasan mereka ialah hadis: “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci” (Riwayat Muslim).
d) Tidak perlu solat dan tidak perlu qada. Ini dinukilkan salah satu riwayat dari pendapat al-Imam Malik bin Anas dan golongan Mazhab Zahiriyyah (literalist).
e) Digalakkan solat dan wajib qada. Ini pendapat kelima disenaraikan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari dengan dakwaan ia antara pendapat yang disenaraikan oleh al-Imam al-Nawawi.
3. Senarai pendapat di atas kita sebutkan sekadar memaklumkan mengenai khilaf (perbezaan pendapat) ulama dalam masalah ini. Namun, pendapat yang paling masyhur dalam pegangan Umat Islam ialah pendapat yang pertama (a) dan pendapat kedua (b).
4. Untuk meringkaskan pemahaman dan pengamalan awam, saya bersetuju dengan pendapat pertama iaitu yang mewajibkan solat dalam keadaan tersebut iaitu tanpa wuduk dan tanpa tayammum, dan juga tidak wajib qada (mengulangi solat). Antara hujah pendapat ini ialah, hadis al-Bukhari (no. 336) dan Muslim (no. 367) daripada ‘Aishah r.ha di mana sekumpulan para sahabat sahabat yang telah bersolat tanpa wuduk, kemudian Allah menurunkan ayat tayammum. Ertinya, mereka bersolat tanpa wuduk, dan juga tanpa tayammum kerana ayat tayammum belum turun. Namun, Nabi s.a.w tidak menyuruh mereka mengulangi solat. Al-Imam al-Bukhari juga meletakkan hadis ini di bawah tajuk: بَابُ إِذَا لَمْ يَجِدْ مَاءً وَلاَ تُرَابًا(Bab: Apabila Tiada Air dan Tanah).
5. Pendapat yang mewajibkan solat tanpa perlu qada dilihat lebih mendekati konsep umum ayat al-Quran dan al-Sunnah yang menyatakan Allah suka untuk meringankan beban dan agama itu mudah. Jika seharian bertugas, kemudian pada malam mesti menggantikan lima solat fardu yang telah pun ditunaikan dalam keadaan tersebut, maka ini membebankan. Firman Allah:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر
(maksudnya): Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).
6. Di samping itu, jika seseorang bertugas dalam pakaian PPE tersebut semasa waktu solat yang boleh dijamakkan iaitu Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isyak, maka petugas boleh menjamakkan solat sekiranya terdapat bebanan atau kekangan waktu untuk menunaikan solat. Ini bererti, jika petugas ada ruang untuk solat pada waktu pertama (waktu Zohor atau Maghrib) maka bolehlah dilakukan jamak taqdim (solat dalam waktu pertama). Jika mempunyai ruang pada waktu kedua (Asar atau Isyak) maka bolehlah dilakukan jamak ta’khir (solat pada waktu kedua). Ini dilakukan tanpa qasar. Maksudnya, empat rakaat Zohor dihimpunkan bersama empat rakaat ‘Asar. Begitu juga tiga rakaat Maghrib dihimpun bersama empat rakaat Isyak.
7. Hujah yang digunakan dalam masalah ini ialah hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:
صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِه
“Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar tidak beban sesiapa kalangan umatnya”.
Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya:
جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ
“RasululLah s.a.w solat Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan”.
Hadis ini menunjuk Nabi s.a.w pernah menunaikan solat jamak bukan hanya disebabkan hujan ataupun ketakutan, juga disebabkan hal-hal yang lain.
8. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) mengulas hadis di atas: “Sebahagian para imam (ulama) berpegang kepada keharusan menjamakkan solat ketika tidak bermusafir disebabkan sesuatu keperluan. Ini (diboleh) untuk sesiapa yang tidak menjadikannya kebiasaan. Ini pendapat (Muhammad) Ibn Sirin dan Asyhab dari pengikut (al-Imam) Malik. Al-Khattabi menyebut pendapat ini daripada (al-Imam) al-Qaffal al-Syasyi al-Kabir dari kalangan pengikut (al-Imam) al-Syafi’i, daripada Abu Ishaq al-Marwazi daripada sekumpulan Ahli Hadis. Pendapat ini juga yang dipilih oleh (al-Imam) Ibn al-Munzir. Ini disokong oleh apa yang nyata dari perkataan Ibn ‘Abbas “Kerana baginda mahu agar tidak beban sesiapa kalangan umatnya.” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 5/335. Beirut: Dar al-Khair 1414H)
9. Maka kita dapati banyak kita fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam Mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Kata Ibn Taimiyyah: “Seluas-luas Mazhab dalam membolehkan jamak antara dua solat ialah Mazhab al-Imam Ahmad” (lihat: al-Fatawa al-Kubra, 2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Dr. Yusuf al-Qaradawi menyokong pendapat ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245. Beirut: Dar Uli al-Nuha). Maka ini bukan perkara asing dan baru, kelonggaran ini bagi membolehkan semua pihak dalam apa keadaan pun tetap menunaikan solat.
10. Maka, 𝗸𝗲𝘀𝗶𝗺𝗽𝘂𝗹𝗮𝗻𝗻𝘆𝗮, para petugas yang memakai PPE yang tidak dapat untuk berwuduk dan bertayammum, mereka boleh solat tanpa wuduk dan tayammum. Mereka tidak perlu menggantikan solat, ini menurut pendapat yang dianggap rajih. Mereka juga, boleh menjamakkan solat, jika perlu melakukan hal itu.
sumber : DrMAZA.com
“Kakak Ok, Nak Jumpa Ayah, Nak Peluk.” Kanak-Kanak Positif Covid-19 Naik Ambulans Sendirian Pesan ibu jaga diri. Sebaknya!

Kisah adik kecil ini viral bila mana menaiki ambulans keseorangan tanpa ditemani oleh ahli keluarganya. Apa yang menyentuh hati, si kecil ini baru berumur 5 tahun namun menampakkan kematangan tanpa sedikit pun berasa takut jauh sekali menangis biarpun tiada ibu atau ayah menemani dirinya ketika itu.
Kisah Nur Saffiya menaiki ambulans dari rumahnya yang terletak di Sepang semalam dikongsikan oleh ibunya Ira Hazwani. Saffiya disahkan positif Covid-19, sedangkan ibu dan adik perempuannya tidak dijangkiti virus berkenaan.
“Semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ambil Safiyya, saya tak dapat ikut untuk hantar dia.
“Kalau saya ikut, saya perlu bawa anak yang kecil sekali. Ini akan merisikokan anak kedua saya yang baru berusia tiga tahun,” kata Ira Hazwani lagi.
Saffiya dipercayai mendapat virus itu daripada ayahnya, yang disahkan positif selepas disaring di tempat kerja.
Ayahnya, Muhammad Ifwan ditempatkan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Dalam satu video yang dirakam Ira Hazwani, Saffiya kelihatan tenang dan bersemangat ketika mengucapkan selamat tinggal.
Si kecil berusia 5 tahun ini disahkan positif COVID-19. Tiada simptom. Sebentar tadi dibawa ke hospital bersendirian dengan ambulans. Moga lekas sembuh dan segera discaj. Ameen. Ingat, COVID-19 tak kenal mangsa. Credit: Ira Hazwani pic.twitter.com/6v2R2YWEHB
— TVALHIJRAH 114 (@TVAlhijrah) January 8, 2021
Kini mereka berdua dirawat di wad yang sama di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Suami pada awalnya menjalani rawatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 6 Januari lalu.
“Selepas mengetahui Nur Safiyya positif Covid-19, pihak KKM keesokannya memindahkan suami ke HKL bagi memudahkan urusan penjagaan Nur Safiyya yang akan tiba pada 8 Januari,” katanya.
Katanya, dia dan anak keduanya sedang menunggu hasil ujian saringan kedua untuk tindakan lanjut.
“Terima kasih kepada anggota KKM yang sangat bertoleransi dalam situasi kami ini. Walaupun saya dan keluarga hanya keluar rumah untuk bekerja tetapi tetap dijangkiti.
“Harapan saya agar semua masyarakat duduk di rumah saja jika tiada urusan penting dan sentiasa amalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, perkongsiannya terpaksa melepaskan anak perempuannya berusia lima tahun menaiki van ambulans KKM sendirian selepas positif Covid-19 tular di media sosial.
Rata-rata warganet kagum dengan keberanian Nur Safiyya yang dilihat tenang menghadapi situasi itu walaupun dalam usia muda.
Meskipun tahu Saffiya akan tinggal bersama ayahnya, Ira Hazwani tetap risau untuk melepaskan anak perempuannya itu ke hospital menaiki ambulans seorang diri.
“Perasaan saya memang sedih dan risau, sebab dia baru umur lima tahun, kena pergi seorang-seorang naik ambulans. Takut tak jumpa ayah dia dekat sana.
“Tapi bila tanya dia, ‘Kakak okay ke naik ambulans seorang-seorang? Mama tak ada’
“Dia jawab, ‘Kakak okay. Kakak nak jumpa ayah. Nak peluk ayah.
“Sekarang dia dah bersama ayah dia,” kata Ira Hazwani.
Satu lagi video yang dirakam Muhammad Ifwan selepas itu pula, menunjukkan Saffiya teruja apabila dapat bertemu dengan ayahnya.
Ira Hazwani mengucapkan rasa terima kasih buat KKM kerana membantu Saffiya untuk diwadkan bersama Muhammad Ifwan.
“Terima kasih sangat pada KKM yang sangat-sangat bertoleransi dalam situasi kami ini, dan dapat satukan wad anak dan suami,” katanya lagi.
Sumber: Ira Hazwani & Berita Alhijrah
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club