Sudah tentu rumah yang kemas pastinya idaman kebanyakkan orang, namun hakikatnya ia agak susah dilakukan apabila mempunyai anak kecil. Bila rumah bersepah, kita tentu pening kepala dibuatnya. Rasa tak tenteram aje. Serabut melihat rumah bersepah kan.
Melalui perkongsian ini, dengan adanya cara kemas rumah bersepah ini, semoga agar ia menjadi lebih mudah.
7 TIPS KEMAS RUMAH DENGAN CEPAT
1. Fokus pada Ruang Paling ‘Dibenci’
Jika kita perlu nak bersihkan seluruh rumah, pastikan kita fokus pada tempat yang ‘high-trafficked’.
Maksudnya ialah tempat yang paling berselerak, atau tempat yang paling kita benci nak kemas. Caranya, pastikan kita buat kerja yang besar, yang jelas dengan mata kasar dahulu dan benda-benda kecil dan teliti, kemudian.
Contoh, bilik mainan anak-anak. Saya percaya bilik ini di kebanyakan rumah, ibu-ibu memang malas nak ambil pusing dah. Tapi sesekali nak juga bilik ini kemas walau sehari.
Kemas dulu bantal, buku, kerusi, mainan ke tempat asal. Susunan lego, rattle atau mainan-mainan kecil, boleh kemudian. Percayalah, jika benda yang besar ni dah buat, nak kemas benda-benda kecil ibarat ‘petik jari’ saja.
2. Wajib Basuh Baju Setiap Hari
Jangan simpan baju hingga hujung minggu sebab kita sendiri tahu akibatnya kan? ibu-ibu yang bekerja kebiasaanya mesti tunggu hujung minggu nak buat semua.
Apa kata selepas ini cuba jadikan amalan; setiap petang atau malam, basuh baju. Kalau ahli keluarga ramai, mesti banyak walaupun hanya sehari.
Jika baju terpakai tak banyak, buat 2 hari sekali. Kita sendiri akan nampak, rumah kita bersih & kemas dari timbunan baju terpakai dalam baldi atau belum dilipat. Cuba libatkan suami dan anak-anak. seronok buat ramai-ramai. Minta mereka lipat baju masing-masing dan simpan di tempat sendiri. Mudah kan?
3. Buka Tingkap
Jika cuaca mengizinkan, buka tingkap dan biar udara dan cahaya matahari keluar masuk. Kadang-kadang udara yang tak segar ni boleh buat rumah kita nampak kotor. Jika ada tetamu nak datang dalam masa terdekat, boleh gunakan penyegar udara atau nyalakan lilin wangi di seluruh rumah kita.
4. Biar ‘Pencuci’ Mainkan Peranannya
Guna kelebihan produk pencuci yang ada dalam pasaran. Spray shower mandi, permukaan sinki, lantai, dinding dan biar dulu beberapa minit untuk bahan pencuci itu bertindak balas dengan kesan kotoran.
Buat kerja lain dulu. Kemudian datang semula. Hasil tindak balas tersebut mungkin kita hanya perlu mengelap atau menyiramnya sahaja. Tak perlu susah payah menyental atau memberus.
Produk itu sendiri dah memainkan peranan memudahkan kerja dan menjimatkan masa kita. Selamat pada tangan, sangat berkesan pada kotoran dan semulajadi.
5. Cuci Kotoran dengan Segera
Jika ada kesan tumpah, cuci dengan segera. Kita hanya akan melibatkan sedikit masa menyental kotoran tersebut dibandingkan dengan kesan tumpah yang dah dibiarkan lama.
Begitu juga dengan kotoran pada pinggan mangkuk. Jangan biar ‘bermalam’ dalam sinki dapur. Selepas makan, buang sisa makanan dan basuh terus. Bayangkan jika kita biar tidak berbasuh semalaman.
Esok paginya, jadi kerja pulak nak rendam dulu supaya senang cuci. Bau busuk pun dah merebak ke seluruh dapur. Bertambah pula kerja lain kan.
Dalam Islam pun ada menegaskan, jangan biarkan pinggan mangkuk yang dah digunakan tidak berbasuh. Sisa makanan yang dibiarkan di dalam bekas tidak berbasuh menjadi habuan syaitan, kerana syaitan suka makanan kotor dan busuk. Islam amat menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor dan perkara-perkara yang boleh mendatangkan penyakit.
6. Libatkan Anak-anak
Anak-anak dalam semua peringkat umur boleh terlibat dalam urusan mengemas rumah. Buat carta, agihkan tugas masing-masing bermula dari mengemas katil sendiri sehinggalah kepada buang sampah.
Setelah selesai kerja rumah bersama-sama, bagi ganjaran pada diri sendiri dan anak-anak dengan membawa mereka berjalan-jalan atau hidangkan makan malam kegemaran mereka.
7. Sedut Habuk (Vacum) sebagai Tugas Paling Akhir
Daripada kita kemas satu-satu bilik tu, kemudian terus vacum, apa kata kita vacum akhir sekali, setelah semua ruang bilik berkemas. Jadi, kita tak payah nak ulang bawa keluar masuk vacum tu berulang kali pun kan dan tak perlu juga risaukan ada sampah yang tercicir.
Jadi, dah tengok tips ini, mesti semangat berkobar-kobar nak kemas rumah. Yang penting, masa kita dijimatkan dan rumah pun sentiasa bersih dan kemas.
Selamat mencuba!
Kredit: Wanita ISMA Seremban