Anak merupakan anugerah Allah dan tanggungjawab yang berat yang diamanahkan atas bahu ibu bapa. Pentarbiahan anak-anak dengan didikan yang baik wajib ditunaikan oleh ibu bapa. Amanah yang wajib ini hendaklah dijaga dengan baik dan janganlah dikhianati.
Begitu juga dalam hal mengajar anak solat sejak kecil. Ianya adalah tugas yang sukar sebenarnya. Menyedari tuntutan agama, ramai di kalangan ibubapa yang berterusan mengali ilmu dan kaedah terbaik untuk mendidik anak bersolat supaya mereka tidak dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak kerana telah mengabaikan amanah-Nya.
Ikuti perkongsian ini yang menyediakan tip untuk membantu ibu bapa mendidik anak mencintai solat.
Didik Anak Bersolat tanpa di suruh atau paksa
A) PENDIDIKAN DARI DALAM RUMAH
1. Suasana utamakan solat Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Untuk mengajar anak solat sedari kecil, ibubapa perlu mewujudkan suasana dalam keluarga yang mengutamakan solat. Bila azan berkumandang, segera bersedia untuk solat. Tutup TV dan hentikan perkara-perkara yang melalaikan. Ini akan menjadi contoh disiplin yang baik untuk anak-anak.
2. Ibubapa tunjukkan contoh Anak-anak adalah peniru paling baik bagi setiap tindak-tanduk ibubapa. Anak-anak bawah 4 tahun lebih seronok dan mudah untuk diajak menunaikan solat. Tetapi nanti dahulu, mereka tentunya mudah meniru hanya apabila selalu melihat ibubapa mereka solat sedari umur mereka masih bayi. Sekiranya anak-anak jarang melihat ibubapa solat, maka mereka juga tidak dapat membayangkan sesuatu yang tidak tercapai oleh akal mereka.
Anak-anak lebih mudah percaya apa yang mereka lihat sendiri daripada apa yang kita beritahu. Malah, 80% didikan adalah melalui tauladan yang bukannya melalui perkataan semata. Tauladan bermaksud apa yang mereka nampak dilakukan oleh ibubapa setiap hari.
3. Solat di tempat terbuka Solatlah di ruang terbuka di dalam rumah. Biarkan anak-anak nampak dan faham ibubapa mereka selalu solat. Bagi anak-anak kecil yang berusia sekitar 1 hingga 3 tahun, memadailah mereka sekadar memerhatikan ibubapa sedang solat atau ikut sama solat sambil mereka bermain-main. Biarkan jika mereka suka menarik-narik telekung si ibu. Bertenanglah jika kita baru rukuk mereka sudah pun sujud. Kita belum habis lagi mereka sudah pun beri salam. Usah bertegas atau berkeras. Jangan sampai anak-anak merasakan solat itu satu yang susah dan menakutkan.
Ads
Ini sepertimana teladan yang telah ditonjolkan sendiri oleh Rasullullah SAW sebagaimana yang diceritakan bahawa Baginda Rasulullah solat berjemaah di masjid dan Baginda sendiri menjadi Imam. Tiba-tiba, cucunya yang bernama Hassan memaut leher Baginda ketika Baginda sedang sujud. Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan memanjangkan sujudnya ketika itu. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya: “Engkau memanjangkan sujud?” Jawab Rasulullah SAW: “Cucuku sedang menunggangku maka aku tidak sampai hati tidak menyampaikan kehendaknya”.
4. Solat berjemaah Didiklah anak-anak untuk cintai solat berjemaah. Tiap kali ibubapa mahu solat, jangan lupa ajak anak-anak untuk solat bersama-sama. Bagi ibubapa berkerjaya, jikalau tidak sempat berjemaah pada waktu Subuh, boleh berjemaah di waktu Maghrib. Apabila masuk waktu solat, ajaklah si manja untuk berwudhuk bersama-sama. Hamparkan sejadah di ruangan yang sesuai. Dorong anak lelaki untuk berani azan dan disusuli iqamat. Selepas solat, zikir dan doa. Boleh beri peluang untuk anak-anak bacakan doa-doa yang mereka telah pun pelajari di tadika. Tambah kemanisan solat berjemaah dengan memberi tazkirah pendek sesama ahli keluarga. Didiklah anak-anak untuk bersalaman dengan ibubapa dan memohon maaf sesama ahli keluarga. Lazimkan solat secara berjemaah dan anak-anak akan terbiasa bahkan tertunggu-tunggu dengan rutin keluarga yang ini.
5. Hadiahkan kelengkapan solat Oh, sebelum terlupa. Belilah hadiah kelengkapan solat untuk anak-anak kita seperti telekung, kopiah dan sejadah yang khusus dan menarik untuk mereka. Ini boleh menaikkan semangat mereka untuk merasa seronok bersolat. Berikan juga pujian apabila mereka memakai pakaian solat dengan sempurna sebagai satu galakan dan dorongan.
6. Dorong anak untuk solat Anak-anak kecil suka mendengar cerita-cerita. Belikan buku berkenaan solat yang mesra kanak-kanak. Bawakan kepada anak-anak kita kisah-kisah sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tentang solat. Sampaikan pada mereka bagaimana Nabi Muhammad SAW sangat suka solat malam hingga bengkak-bengkak kaki Baginda. Ceritakan juga kesan dan akibat yang akan menimpa mereka yang tidak solat baik balasan di dunia atau akhirat. Teruskan memberi dorongan melalui cerita ganjaran syurga dan seksa neraka.
Ibubapa bekerjasamalah untuk bisikkan di telinga mereka sewaktu anak-anak tidur. “Anak soleh ayah, rajin solat yer nak.” Ulangi setiap malam dengan yakin dan positif.
7. Beri ganjaran Sentiasa mutaba’ah (membuat pantauan) kepada anak-anak kita sama ada mereka sudah menunaikan solat atau sebaliknya. Usah kedekut untuk memberi ganjaran dari sudut pujian dan hadiah fizikal pada anak-anak jika mereka menunjukan perkembangan yang baik dari hari ke hari.
Ads
B) PENDIDIKAN LUAR RUMAH
1. Solat di mana-mana Jika dalam perjalanan balik kampung atau pun keluar berjalan-jalan, fahamkan pada anak-anak tentang keutamaan solat. Istiqomah untuk berhenti solat di surau atau masjid. Jangan serik bawa anak-anak untuk solat bersama-sama di tempat awam.
2. Solat di tadika Sebaik-baiknya, pilihlah tadika atau pusat asuhan yang memberi pendedahan awal kepada anak-anak kita tentang ibadah solat. Jika anak-anak didedahkan dengan rutin amali solat jamaah bermula dari kecil, Insya Allah mereka lebih mudah solat tanpa disuruh-suruh. Tugas ibubapa untuk memperkemaskan dan memantapkan pemahaman tentang ibadah solat akan bertambah mudah dengan sokongan pihak tadika.
3. Solat di surau dan masjid Biasakan anak-anak ke surau atau masjid ketika mereka masih kecil lagi. Anak-anak yang sudah dibiasakan dengan suasana beribadah tidak akan kekok melakukannya apabila sudah akil baligh. Bersabarlah dengan ragam anak-anak yang pelbagai pada awal-awal latihan sebelum mereka mula membiasakan diri dan kemudiannya menjadi satu tabiat. Tambahan pula, apabila anak-anak ke masjid, potensi berkawan dengan mereka yang kaki solat juga lebih tinggi.
4. Solat di kampung Jika balik ke kampung halaman, beri ruang untuk anak-anak kita bersama sepupu-sepupu mereka untuk solat berjemaah. Dorong mereka untuk bergilir-gilir azan, iqomat, menjadi iman dan juga membacakan doa. Percayalah walaupun mereka masih kecil, mereka akan lebih cepat belajar memimpin dan berani ke hadapan jika amalan ini menjadi ‘makanan harian’ mereka. Secara tidak langsung, ia juga boleh mengukuhkan hubungan persaudaraan antara mereka bermula dari usia kecil lagi.
Ads
Kesimpulannya, dalam mendidik anak ada dua bahagian yang perlu ibubapa ambil perhatian. Pertamanya, ialah usaha ibubapa dan yang keduanya ialah doa kepada Allah SWT. Kita tidak boleh sombong dengan usaha kita semata-mata. Banyakkan berdoa kerana hati kita dan anak-anak kita adalah kepunyaan mutlak Allah SWT.
Senjata utama orang mukmin adalah doa. Doakan anak-anak setiap kali kita teringat akan mereka meskipun ketika itu kita sedang sibuk bekerja, memandu, memasak dan sebagainya. Bahkan doa ini juga perlu bermula ketika mengandungkan si manja lagi.
Boleh diamalkan surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud,
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”.
Buat semua ibubapa, suburkanlah kesabaran, ketabahan dan istiqomah dalam mendidik anak-anak untuk mencintai solat. Tidak boleh dinafikan kepayahan dan cabaran yang bakal dihadapi amatlah besar. Berikan masa bagi anak merasa seronok untuk solat tanpa dipaksa-paksa. Setiap anak-anak berbeza penerimaan mereka.
Yakinlah dan positif, Allah pasti makbulkan doa kita.
Cabaran sebagai wanita berkerjaya dan dalam masa yang sama mengurus rumahtangga, bukanlah mudah. Seawal pagi bergegas ke tempat kerja dan setibanya di rumah pada waktu petang, mengurus rumah tangga pula. Sungguh berat tanggungjawab yang dipikul.
Begitu juga pada wanita yang menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Seawal pagi mengurus keluarga sebelum suami dan anak-anak ke sekolah. Kemudian sepanjang masa asa sahaja kerja-kerja rumah dilakukan. Tidak pernah habis tugas yang dilakukan.
Ini jelas menunjukkan kedua-duanya sama ada menjadi suri rumah atau berkerjaya diakui punya cabarannya yang tersendiri.
Malah menurut Ustazah Asma’ Harun, suri rumah atau wanita bekerjaya keduanya bekerja.
Usah buat perbandingan mana lagi penat dan stress. Mana lagi susah dan mencabar. Keduanya adalah Ujian.
Bukan semua wanita mampu jadi suri rumah sepenuh masa, ia karier yang mencabar keikhlasan, tiada gaji dan kadang rasa rendah diri, kerana itu pahalanya sangat BESAR.
Begitu juga bukan semua wanita mampu bekerja mencari rezeki dengan cara barakah, banyak mengundang fitnah, susah nak jaga niat, pergaulan, maruah dan aurat. Ramai yang kalah dengan ujian pujian dan kejian hingga sanggup berubah demi diterima orang. Pahalanya juga besar, kerana mencari rezeki adalah satu JIHAD.
Allahu Akbar, semuanya ujian. Tiba kematian baru sedar semua tu tiada beza, kecuali mereka yang jadikan kerjaya suri rumah atau bekerja di luar rumah itu sebagai IBADAH.
Kalau diikutkan sedari kecil lagi kita sudah ajar anak, mana satu hidung, mata, tangan dan anggota tubuh badan yang lain agar mereka mengenali anggota tubuh badan mereka.
Cuma mungkin jarang kita bercakap atau berpesan tentang adanya bahagian- bahagian anggota tubuh yang sensetif atau juga menjadi private part yang tidak boleh disentuh oleh orang lain kepada anak-anak.
Mungkin sebab kita merasakan tiada keperluan atau kita sendiri kurang mahir untuk menyatakannya kepada anak-anak.
Jadi apa kata lakukan sebagaimana perkongsian daripada pakar motivasi ini. Jom semak.
Puan ini bertanya tentang berkaitan private part. Ada followers yang tag nama saya di ruangan komen. Jadi, saya jawab di sini untuk panduan kita bersama.
1. Sensitive area atau private part adalah anggota badan yang tak boleh disentuh, dipegang, diraba, dicium, diramas atau lain-lain perlakuan ada 5.
2. Ia adalah MULUT, DADA, KEMALUAN (zakar/faraj), PUNGGUNG dan PAHA.
3. Seawal usia 2 tahun dah boleh ajar anak tentang hal ini.
4. Kita biasa kan geletek anak di bahagian ketiak, tapak kaki, pinggang. Anak pun dah faham anggota badan tu akan rasa geli bila kita sentuh atau geletek. Sebab itu bila kita cuba geletek bahagian itu, dia cepat-cepat lari.
5. Ini bermakna anak maklum ada anggota badan yang bila disentuh akan rasa geli.
6. Maka, kita wajib bagi tahu pada anak ada anggota badan yang lain bila disentuh, mereka akan rasa tak selesa; mulut, dada, kemaluan, punggung dan paha.
7. Jika ada sesiapa sahaja cuba pegang, sentuh, raba, ramas, tarik seluar atau apa jua perlakuan melibatkan private part, ajar anak untuk lakukan 3 STEP ini.
a) YELL – jerit kuat-kuat
b) RUN – lari selamatkan diri
c) TELL – bagi tahu ibu bapa atau guru tadika atau pengasuh atau sesiapa sahaja yang ada di lokasi berkenaan
8. Bukan sahaja tiada orang boleh menyentuh private part mereka, mereka pun tak boleh sesuaka hati buat benda yang sama kepada orang lain walaupun sesama adik beradik dan sepupu sekalipun.
9. Individu yang mencabul ini boleh jadi orang yang dikenali; suami, ayah, atuk, abang, adik, kawan-kawan, bapa saudara, biras, guru, ustaz, warden dan lain-lain.
10. Anak boleh hafal lagu-lagu Didi & Friends sebab sentiasa ulang video yang sama, seperti itu jugalah anak kena hafal 3 step di atas. Kita sebagai ibu bapa kena selalu ulang dan ulang.
11. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah, ambil sehelai kertas A4, lukiskan anggota badan, warnakan gambar itu, kemudian minta anak bulatkan anggota badan yang tak boleh disentuh oleh sesiapa.
12. Kena sentiasa cari moment untuk educate anak bab ini. Waktu siapkan mereka mandi, bersama dengan anak dalam kereta saat balik sekolah, tonton tv bersama dan lain-lain keadaan. Inilah yang dipanggil learning moment.
13. Sekiranya anak menjadi mangsa cabul (nauzubillah), terus report polis. Kanak-kanak tidak pandai menipu bab begini.
14. Untuk tindakan undang-undang memang renyah. Apatah lagi kes melibatkan antara kanak-kanak dan kanak-kanak yang lain atau antara sedara mara dan anak kita. Tapi ingat, fokus utama adalah anak kita. Kejahatan berlaku sekejap je, tapi trauma anak akan kekal sampai bila-bila.
Melihat daripada aspek keibubapaan, tentunya cara didikan dan pendekatan orang dulu-dulu untuk membentuk keperibadian anak-anak berbeza pandangannya dengan ibu ayah hari ini.
Pun begitu, sama ada kita sedar atau tidak perbezaan pandangan tersebut cukup berbeza dan ini disenaraikan oleh saudara Najmi Nawawi untuk dijadikan panduan bersama.
Ini perkongsiannya.
Orang dulu vs Orang sekarang
Kata orang dulu (1) :
“Anak sekarang rapat dengan ayah kan. Zaman dulu rapat dengan ibu sahaja.”
Jawab orang sekarang (1) :
“Tak, anak rapat dengan kedua-dua ibu dan ayah. Cuma favaurite person itu bertukar-tukar.”
Kata orang dulu (2) :
“Kakak gosokkan baju abang dan adik. Diorang tak pandai gosok tu.”
Jawab orang sekarang (2) :
“Tak, orang lelaki pun boleh gosok baju mereka sendiri.”
Kata orang dulu (3) :
“Senanglah ada anak perempuan, boleh bantu masak-masak.”
Jawab orang sekarang (3) :
“Tak, orang lelaki pun boleh memasak juga.”
Kata orang dulu (4) :
“Isteri solehah buat semua benda untuk pastikan suami gembira.”
Jawab orang sekarang (4) :
“Tak, suami isteri yang soleh dan solehah sama-sama buat semua benda untuk masing-masing gembira.”
Kata orang dulu (5) :
“Untunglah ada orang rumah, rumah kau mesti terurus.”
Jawab orang sekarang (5) :
“Tak, kalau tiada orang rumah pun. Rumah aku tetap terurus.”
Kata orang dulu (6) :
“Jadi suri rumah, kerja menghabiskan duit laki dia la tu.”
Jawab orang sekarang (6) :
“Tak, tapi kalau dia nak habiskan pun apa salah dia. Ada hak untuk dia dalam bahagian nafkah. Suami dia, bukan suami orang.”
Kata orang dulu (7) :
“Anak biar ramai, supaya kita ramaikan orang islam.”
Jawab orang sekarang (7) :
“Tak, ramai itu maksudnya yang berkualiti bukan sekadar kuantiti. Tak guna ramai kalau jadi buih-buih di lautan sahaja.”
Kata orang dulu (8) :
“Kena nasi kangkang la tu, duduk ikut telunjuk isteri sahaja.”
Kata orang sekarang (8) :
“Tak, islam kan ajar kita hormati pasangan. Termasuk pandangan dan pendapat, segalanya keputusan bersama.”
Kata orang dulu (9) :
“Kau itu perempuan kena bangun awal, abang kau itu lelaki. Tak apalah dia nak lambat pun.”
Jawab orang sekarang (9) :
“Tak, orang lelaki atau perempuan, tak kisah. Dua-dua bagus bangun awal.”
Kata orang dulu (10) :
“Nanti nak kahwin kan, orang perempuan kena la pandai masak, basuh pinggan, basuh baju, lipat kain dan semua.”
Jawab orang sekarang (10) :
“Tak, sama sahaja lelaki dan perempuan. Bahkan keutamaan perlu diberi kepada lelaki kerana dia akan memimpin keluarga.”
Kata orang dulu (11) :
“Anak perempuan kena banyak beli mainan pinggan mangkuk, main masak-masak. Anak lelaki tak boleh. Malulah kalau anak lelaki main masak-masak.”
Jawab orang sekarang (11) :
“Tak, anak lelaki pun tak salah beli mainan masak-masak. Jangan letak label permainan memasak untuk perempuan sahaja.”
Kata orang dulu (12) :
“Orang perempuan kena jaga aurat sempurna. Nanti orang lelaki tengok.
Kata orang sekarang (12) :
“Tak, orang lelaki kena tunduk pandangan. Orang perempuan jaga aurat. Sama-sama, bukan semua perempuan sahaja.”
Kata orang dulu (13) :
“Malulah anak lelaki nangis. Macam perempuan.”
Jawab orang sekarang (13) :
“Tak, biarlah anak lelaki menangis. Jangan keraskan hati mereka. Ingatlah hati keras akan membawa kepada ego yang tinggi melangit. Sikap sombong.”
p/s: Begitulah. Budaya yang telah lama sebati dalam masyarakat yang pastinya sukar untuk diubah.
Gelagat anak-anak yang sedang membesar sememangnya cukup menghiburkan dalam apa jua perkara. Malah ketika di dalam solat pun, gelagat anak-anak memang menghiburkan.