
Bayi pramatang dilahirkan sebelum 37 minggu usia kandungan ibu. Bayi yang normal dilahirkan antara 37 ke 42 minggu usia kandungan ibu.
Ada banyak punca bayi dilahirkan secara pramatang mengikut fakta perubatan. Mengikut myhealth.gov.my antara penyebabnya adalah:
- Ibu mengalami pecah ketubah awal yang mana disebabkan jangkitan air ketuban dan selaput ketuban.
- Kelahiran bersalin tidak cukup bulan.
- Sejarah kelahiran pramatang.
- Kandungan kembar, contoh kembar dua atau tiga dan seterusnya.
- Kelainan struktur rahim dan servik.
- Ibu mengalami tekanan darah tinggi semasa mengandung dan kedudukan uri di bawah (placenta previa).
- Sokongan sosial yang lemah.
- Pengambilan alkohol, dadah berbahaya dan merokok semasa mengandung.
- Jangkitan pada salur kencing.
- Jangkitan kongenital dalam kandungan.
Bagi ibu bapa yang dikurniakan anak pramatang, perlu diingat yang tahap perkembangan dan tumbesaran bayi anda berbeza dengan bayi yang lahir cukup bulan.

Ini kerana ada ibu bapa yang risau melihat perkembangan berbeza anak mereka dibandingkan anak orang lain yang lahir pada masa yang sama tetapi cukup bulan.
Sebenarnya penting untuk ibu bapa tahu cara betul kira umur bayi pramatang. Ini supaya senang hendak memantau tahap perkembangan mereka dan tidaklah susah hati memikirkan kenapa anak masih belum mencapai perkembangan sama seperti bayi lain yang normal.
1. Pelarasan umur atau corrected age, merupakan usia untuk bayi pramatang kalau mereka dilahirkan pada tarikh jangkaan bersalin.
2. Doktor akan menggunakan umur yang diselaraskan ini untuk menilai saiz dan perkembangan bayi pramatang.
3. Cronological age tak digunakan sebagai penanda aras untuk bayi tak cukup bulan kerana mereka mungkin ada organ atau fungsi bayi biasa yang belum betul-betul berkembang seperti bayi yang lahir cukup bulan.
Kenapa penting untuk guna corrected age ni?
Sebab ini boleh membantu untuk menentukan perkembangan bayi pramatang mengikut cara penilaian biasa.
Contohnya, bayi yang lahir 3 bulan awal tak boleh duduk sendiri lagi pada umur 6 bulan kerana mengikut corrected age, umur bayi tersebut baru 3 bulan.
Ini cara kira umur bayi yang lahir tak cukup bulan:
Untuk menentukan corrected age, kena kira berapa bulan atau minggu awal bayi tersebut dilahirkan.
Siapa yang perlu cakna corrected age bagi bayi yang lahir tak cukup bulan ni?
Ibu bapa perlu memaklumkan kepada pusat penjagaan, guru prasekolah, kakitangan perubatan dan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menjaga anak bahawa mereka dilahirkan secara pramatang.
Contohnya, jika bayi berumur 7 bulan, tapi dilahirkan sebulan lebih awal, umur sebenar bayi tersebut ialah 6 bulan.
Sumber: MyHeart Community
Untuk lebih banyak info terkini jom klik di sini
Tak Perlu Bandingkan Isteri Kita Dengan Orang Lain, Jangan Jadikan Rumah Tangga Syurga Yang Dibenci

Dalam sesebuah rumah tangga, suami atau isteri sama-sama memainkan peranan. Biarpun sudah punya anak-anak tidak bermakna cinta dan kasih sayang terus dibiarkan sepi, sebaliknya suami harus memandang lebih hebat penuh rasa cinta pada isteri.
Tulisan wanita bernama Marlia Ramli difacebooknya ini banyak benarnya. Ramai suami yang sudah mula memandang isteri dengan rasa sepi bila mana isteri tidak lagi secantik dulu. Suami, sila baca ni dan buka mata. Tolong peluk dan sokonglah isteri yang kita cinta!
SYURGA YANG DIBENCI
1- Semaknya lahai. Masuk je pagar dah bersepah mainan dari ruang tamu hingga ke dapur. Dengan anak comot tak mandi bagai.
2- Semaknya lahai. Harap le juga bini tunggu depan pintu wangi-wangi. Rupanya sampai rumah bini ntah di mana-mana dengan baju kelawar dan bedak sejuk. Bau susu basi lagi.
3- Semaknya lahai. Nak cium dahi bini pun bau bawang la, belacan la, minyak masak tanpa GST. Kot nak bermekap, langsung tiada!
4- Semaknya lahai. Kekadang bini bukan sampai rumah lagi pun. Ntah di atas jalan mana sangkut jammed balik keja. Balik rumah hanya ada kerusi dan meja.
5- Semaknya lahai. Dulu bini bersize kerengga sekarang bersaiz lori Alam Flora pula. Nak bawak ke majlis pejabat pun rasa malu la pula.
6- Semaknya lahai. Asal balik je dengar bini membebel itu ini. Dengan jeritan anak bergaduh bagai. Mengalahkan kereta api tak cukup arang. Punyalah bingit!
7- Semaknya lahai. Ipar duai mengadu bini saya tidak sempurna dan tidak baik juga. Kata ibu saya, isteri tak pandai masak, tak reti bergaul dan tidak sempurna.
Malah banyak lagi ke”semak”kan yang kita rasa sebagai suami. Kita rasa tersalah memilih isteri. Kita rasa kita adalah suami yang paling malang di dunia.
Isteri kawan terlihat cantik, manis dan comel sentiasa. Tapi isteri kita? Nak tengok muka pun hati tak senang. Aduh! Sungguh malang!
Ya.. Sebagai arjuna perkasa kita tidaklah update di FB atau Insta tentang kekecewaan kita. Kita juga tidaklah menangis call mak di kampung untuk bercerita. Namun di dalam jiwa, kekecewaan kita meronta-ronta dan akhirnya bertukar menjadi barah yang memakan diri.
Maka duhai arjuna mulia, perlahan-lahan kita mula jadi pendiam, kita bagi silenced treatment pada anak isteri, kita semakin kurang senyuman, kita mula lepak di mamak tengok bola. Malah yang semakin hardcore, kita mula angkat tangan kaki kepada isteri. Tersalah kari terlebih masin, pinggan mula dibaling ke dinding.
Namun… Jom kita menilai sejenak…
Duhai arjuna sang suami yang dihormati… Pada saat akad dilafaz maka segala dosa pahala wanita diserahkan dari bapa kepada suami tercinta. Ironinya setiap inci jasad, jiwa, hidup dan mati seorang wanita dipersembahkan sepenuhnya kepada anda aduhai suami mulia.
Sang isteri tinggalkan ibu, tinggalkan ayah, tinggalkan keluarga dan tinggalkan keseronokan hidup sebagai si gadis muda. Penyerahan yang dipenuhi kepasrahan dengan harapan beroleh bahagia.
Duhai arjuna, sesekali pandanglah wajah isteri. Tenunglah setiap garis-garis airmata di pipi. Seperti mana anda tidak bahagia, begitulah juga wanita.
Sebab itulah sang isteri membebel itu ini. Wanita mahu didengar. Terkadang marahnya memuncak dan emosinya celaru. Peluklah isteri berbau bawang anda itu. Kasihanilah dia…
Benar.. Dulu dia bersaiz kerengga, secantik secretary di office anda, sewangi Mira Filzah dan selincah Neelofa. Namun, tanggungjawab keluarga didulukan dia.
Dulu wang gajinya untuk perfume Estee Lauder, kasut Bonia, make up Loreal dan handbag Gucci. Namun kini wang gajinya untuk kos sara hidup bersama anda. Maka anda masih tertanya-tanya kenapa isteri tidak sewangi zaman bercinta?
Jika di zaman gadis dia punya kawan. Di hujung minggu dia ke spa bermandi susu dan minum coffee di cafe. Kini di hujung minggu dia bersama anda mengendong anak-anak. Manalah lagi bajet pembelian baju cantik selain set kelawar yang dipakai dia?
Duhai arjuna mulia, bila isteri bercerita sahutlah dia dengan cinta. Janganlah menjeling hatta bergurau untuk berpoligami dengan Neelofa. Biarpun sang isteri tersenyum, hakikatnya dia terluka. Jiwanya jadi takut dan risau. Manalah tahu kalau-kalau suami sekacak bangla dirampas sesiapa?
Duhai arjuna mulia, sejenak usaplah tangan isteri. Lihatlah tangan yang pernah gebu kini bercalar dengan minyak panas akibat berusaha menyediakan makanan buat keluarga.
Ya, wanita bergelar isteri mengorbankan keseronokan di zaman remaja demi membina hidup bersama kita.
Tidak cukupkah lagi sembilan bulan sepuluh hari wanita ini mengendong zat zuriat suami yang paling dicintai? Malamnya berkeluh kesah tidak mampu lena akibat tendangan bayi?
Tidak cukupkah lagi wanita berkali-kali mati demi melahirkan zuriat yang paling istimewa. Tanyalah secretary secantik Neelofa, sanggupkah dia mati untuk anda?
Usahlah bandingkan isteri dengan kejelitaan Che Ta. Che Ta bermandi susu sedangkan isteri bermandikan airmata!
Tidak cukupkah lagi wanita menyusukan anak hingga dua tahun? Segala bentuk badan mula mengendur dan segala kecantikan mula pudar.
Badan mula penat dan mulut mula berbunyi. Jangankan make up, mahu disapu bedak sejuk ke muka juga sudah tidak punya daya?
Ingin juga dibayar bibik dari Jawa namun gaji kita pula tidak seberapa. Maka sang isteri yang penat gagahkan juga uruskan kerja di pejabat berserta hal ehwal keluarga seusai subuh pagi sehingga lewat senja.
Di manakah kita? Sedang menonton bola bersama rakan, bergelak ketawa dan bergembira minum teh bersama secretary. Kita mungkin sedang membina badan di gym atau bermain golf di padang ketika isteri menggelupur kelelahan.
Sampainya hati kita mula rasakan dia tidak teristimewa seperti dulu. Terkadang mahu dihulur wang untuk dibeli barangan dapur pun kita marah bagaimana mahu ditaja peralatan make up pula?
Duhai arjuna mulia, kita bukan Tan Sri berharta. Kita juga boroi dan tidaklah sehensem mana. Bersyukurlah isteri kita sentiasa setia. Isteri kita sentiasa ada. Tidur kita tidak pun pernah keseorangan pula.
Adilkah kita membandingkan isteri kita dengan isteri kawan yang terlihat cantik sentiasa? Berapa banyak kos yang suami beliau habiskan supaya isterinya wangi dan cantik sentiasa?
Sedangkan kita? Mahu beli sabun jenama Lux pun masih berkira-kira syiling didalam kocek. Bila masa kita pernah hadiahkan set make up atau wangian berjenama buat isteri tercinta?
Pedulikan saja umpatan ipar duai hatta mentua jika ada. Biarpun satu dunia membenci isteri, suami yang setia sentiasa ada untuk menyinta. Baik atau tidak, isteri anda adalah ibu kepada anak-anak tercinta. Isteri juga punya hak yang perlu dijaga.
Jika salah, betulkan dia selayaknya. Jangan diabai, dibenci dan dikasari hatinya.
Duhai arjuna mulia, beritahu isteri betapa istimewanya dia dihati anda. Khabarkan betapa anda cintai dia minimum sepuluh kali sehari.
Ciumlah dahi isteri setiap pagi, tanda dia sepenuh hati kita dicintai. Bermaafanlah setiap kali sebelum tidur bermimpi Neelopa jelita.
Dengan kuasa cinta anda duhai arjuna mulia, sang isteri akan menjadi luar biasa jelita, luar biasa bahagia dan luar biasa gembira!
Yakinlah, jika sentiasa saling memperbaiki diri, rumahtangga tidak lagi akan menjadi SYURGA YANG DIBENCI.
Cara Mudah Masak Pulut, Tak Patah Cantik Je Jadi Sebutir & Tak Melekat Kat Periuk!

Lain orang lain caranya dalam memasak pulut. Ada yang kena rendam dulu lah, ada yang boleh masak terus, ada yang perlu juga kukus dan macam-macamlah!
Alang-alang sekarang ni durian macam dah muncul semula tu, boleh la beli buat rasa-rasa atau teringin sangat makan dengan pulut, boleh la tanak guna cara ni. Menariknya di perkongsian ini, sama ada pulut ini ditanak di dalam periuk batu atau periuk cap boya, kedua-dua hasilnya tetap menjadi!
Jadi, bagi memastikan pulut anda terhasil cantik dan tidak melekat, di bawah ada tip berguna dari Puan Naimah Kasim yang boleh anda ikuti.
PULUT DURIAN KUAH SANTAN
Pulut tanak kuah santan, sesuai untuk dimakan dengan durian atau pelam.
Cara buat pulut:
1. Basuh beras pulut (tak perlu rendam). Letakkan air lebih macam masak nasi, tak perlu disukat airnya. Jangan kacau langsung supaya pulut tak hancur.
2. Bila mendidih kuat, perlahankan api dan buang air tinggal sikit saja. Buang air agak-agak lah ya, paras sikit atas pulut. Kalau lebih nanti lembik, kalau kurang sangat takut tak masak pula.
3. Dilarang kacau sama sekali lepas air dibuang.
4. Tutup periuk dengan penutupnya dan api diperlahankan.
5. Kemudian, boleh kacau sedikit dan tutup semula dengan penutup periuk.
6. Dalam beberapa minit saja pulut akan masak elok. Pulut cantik tak patah-patah pun. Sedap dimakan dengan durian atau pelam bersama kuah santan.
Kuah santan cara pertama
Dulu-dulu arwah emak guna santan segar dari kelapa yang dikukur dan letak garam saja tak perlu masak.
Kuah santan cara kedua
Sekarang terpengaruh dengan siam, santan masak sekejap atas api yang perlahan.
Boleh masukkan tepung jagung untuk pekat serta gula dan garam secukup rasa serta daun pandan untuk wangi.
Kacau selalu supaya tak pecah minyak.
Apabila ada sahabat komen pakai periuk batu tu sebab tak lekat, jom cuba periuk cap boya. Kebetulan saya balik kampung, tiba-tiba kakak bagitahu ada durian dan minta kita tolong tanak lah pulut.
Semangat lah kita sebab semalaman berhajat nak cari durian. Guna lah periuk cap boya, itu saja yang ada dekat rumah kakak. Alhamdulillah, hajat nak makan pulut durian tercapai walau asalnya hanya terdetik sorang-sorang dalam hati.
Alhamdulillah ala kullihal. Salam Jumaat yang barokah buat semua sahabat.
Sumber: Naimah Kasim via Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)
Lelaki Ni Kongsi Pengalaman ‘Getir’ Sebagai Bapa Kepada Anak Yang Mengambil Result UPSR. Jadikan Panduan!

Ya! Esok 23 November adalah hari yang cukup mendebarkan buat anak-anak yang telah mengambil keputusan UPSR pada tahun ini. Ibu bapa juga terkesan hebat terganggu emosinya. Bimbang hingga tidak tidur lena dibuatnya malah ada juga hingga detik ini kian berasa gugup dan gementar untuk menanti apakah keputusan UPSR yang bakal diraih oleh anak mereka.
Oleh itu ikuti perkongsian pengalaman Encik Ammar Kamilin yang juga merupakan seorang penulis buku yang hebat. Beliau melalui detik tersebut pada tahun yang lalu dan perkongsiannya kali ini cukup menyentuh jiwa dan diharapkan membuka minda kita semua.
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan,
“Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa.
Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.”
Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut.
“Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa sederhana saja di sekolah. Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri.
Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
>>>
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini. Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
sumber : Ammar Kamilin