Bulan Ramadan akan bermula esok dengan jamuan berbuka puasa bersama keluarga selain solat Tarawih secara berjemaah di rumah setelah wabak Covid-19 masih belum berakhir.
Inilah masa mengadakan pahala solat terawih berjemaah, bolehlah kita lakukan bersama-sama keluarga.
Ikuti pandangan menerusi FB Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai solat terawih di rumah dengan lanjut.
HUKUM MELAKSANAKAN SOLAT TARAWIH DI RUMAH BERSAMA KELUARGA
Soalan:
Assalamu’alaikum, memandangkan kita akan menyambut bulan Ramadhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, minta pihak tuan jelaskan berkenaan hukum mendirikan solat sunat tarawih di rumah. Terima kasih.
Jawapan :
Sebagai kesimpulan, kami akhiri kenyataan kami ini dengan beberapa noktah yang berikut :
• Dibolehkan untuk seseorang itu mendirikan solat sunat tarawih secara berjemaah bersama keluarga di rumah. Ini lebih utama dengan mengambil kira suasana Perintah Kawalan Pergerakan pada waktu ini.
• Berkenaan dengan tatacara pelaksanaan solat tarawih di rumah pula, kami nyatakan seperti berikut :
• Waktu untuk mendirikan solat tarawih secara berjemaah adalah sebaik sahaja solat Isya’ selesai didirikan dan tempoh pelaksanaannya boleh dilakukan sehingga terbitnya fajar.
BACAAN SOLAT
• Solat dipimpin oleh seorang lelaki dewasa, sama ada ayah atau anak-anak lelaki. Bacaan di dalam solat adalah dengan membaca mana-mana surah yang mudah dan juga bacaan surah yang dihafal. Meskipun begitu, jika imam ingin membaca bacaan Al-Quran di dalam solat tarawih dengan melihat mushaf di hadapan, kami berpendapat hukumnya adalah harus seperti yang telah kami jelaskan secara panjang lebar dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-303: Hukum Melihat Mushaf Al-Qur’an Ketika Solat yang boleh dibaca di pautan berikut https://bit.ly/2VpSrGV
• Boleh untuk memilih sama ada hendak melakukan solat tarawih sebanyak 8 rakaat mahupun 20 rakaat iaitu dipisahkan setiap dua rakaat dengan satu salam. Dalam masa yang sama, keadaan dan kemampuan keluarga hendaklah diraikan dalam hal ini.
SOLAT WITIR
• Kemudian setelah selesai solat tarawih secara berjamaah, dirikan lah juga solat witir secara berjemaah. Mengenai tatacara pelaksanannya, rujuk artikel kami Al-Kafi #1393 : Tatacara Solat Witir Yang Afdhal yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/3cForML