Selepas sebulan dimasukkan ke hospital selepas menerima rawatan akibat pendarahan dalam paru-paru, akhirnya pelakon Nad Zainal tampil berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan dirinya serta menjelaskan beberapa perkara menerusi Live di akaun TikTok miliknya.
Nad Zainal atau nama Farah Nadia Zainal Abidin, menerusi siaran langsung itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan artis termasuklah Ungku Ismail, Umie Aida, Bella Astillah, Aliff Aziz dan para peminat yang sentiasa berdoa serta membuat solat hajat untuk dirinya.
“Saya terfikir apalah kebaikan yang saya pernah buat sampai ramai yang macam ni. Saya memang tak sedar. Ingatkan tak teruk, rupanya teruk. Saya sedar perkara ni bila dah sampai rumah. Ramai yang datang tapi tak sedar. Mama dan papa cakap ramai yang datang.
“Pengalaman selama sebulan di hospital amat bermakna buat saya menghargai kehidupan saya dan lebih berhati hati tentang kesihatan saya, menghargai orang sekeliling dan selalu membuat pemeriksaan kesihatan dan menghargai semua makanan.” katanya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 32 tahun ini mengambil keputusan untuk berehat selama dua bulan untuk mempersiapkan diri untuk kembali berlakon.
“Perlu rehat yang secukupnya tak boleh bekerja. Saya nak kembali dalam keadaan yang sihat dan berikan yang terbaik kepada orang-orang yang telah mendoakan saya.
“Makan saya tak ada pantang. Doktor kata makan je, makan protein banyak dan buat breathing exercise.” tambahnya.
Menjawab soalan netizen mengenai pelakon Ungku Ismail yang sentiasa memaklumkan perkembangan dirinya, Nad mengatakan bahawa Ungku adalah orang yang sesuai kerana penjelasannya yang begitu tepat.
“Sebenarnya waktu tu waktu yang genting. Ibu bapa saya diasak dengan pelbagai soalan. Ada je papa keluarkan statement tapi penjelasan Ungku lebih tepat pada ketika itu Ungku dapat jelaskan dengan lebih details.
“Saya rasa tak ada masalah untuk meleraikan kekeliruan so Ungku ke depan untuk selesaikan segala spekulasi.
“Apa yang boleh saya cakap, saya sangat-sangat hargai orang yang bernama Ungku Ismail Aziz. Dia banyak membantu dan beri kata semangat kepada saya,” jelasnya.
Pelakon drama Takdir Yang Tertulis ini turut menceritakan bagaimana reaksi kedua anaknya, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, berusia setahun ketika berjumpa dengan Nad.
“Of course happy. Papa dan mama datang terlalu awal ke hospital. So saya minta dekat nurse untuk keluar kejap ke kereta papa sebab nak tengok anak-anak saya.
“Saya jalan buat pertama kali saya keluar hospital. Saya keluar pergi ke kereta, saya nampak Som dia point dekat saya cakap ‘mummy mummy mummy’. Saya nampak juga Som gigi dia dah penuh dan tumbuh gigi. Masa saya dalam wad dia sakit gusi sebab tumbuh gigi dan bila saya balik dia dah ada gigi banyak.” katanya.
Sumber : Tiktok Nad Zainal