Impian Jejak Kaki Ke Tanah Suci, Kanak-Kanak 6 Tahun Bersama Keluarga Lakukan Kembara Berbasikal Ke Mekah.

Share

Di mana ada kemahuan, di situ akan ada jalannya. Impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama keluarga membuatkan lelaki ini nekad melakukan kembara berbasikal bersama-sama keluarganya.

Muchlis Abdullah, 47 dari  Jakarta, Indonesia, berkata beliau dan keluarga bakal menyusuri lapan hingga 10 negara dan dijangka tiba di Jeddah pada Januari atau Mac tahun depan.

“Saya menjangkakan kami tiba di Jeddah dalam masa lima hingga tujuh bulan lagi,” kata Muchlis kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Masjid Papan, Permatang Pauh di sini, Selasa.

“Kembara yang dinamakan ‘Ziarah Qudsiyah Tanah Suci 2018′ ini  bermula pada 11 Julai lalu apabila saya dan anak sulung, Mirza Hakim, 15, bertolak dari Jakarta manakala isteri, Julianti Husin, 47, dan dua lagi anak kami, Ahmad Zaki Hafiz, 11, dan Oliva Yumna, 6, bertolak dari Medan.

“Kami tiba di Malaysia pada 30 Julai dengan memasuki Melaka menggunakan perkhidmatan feri sebelum meneruskan perjalanan berbasikal ke utara tanah air melalui Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Menurut Muchlis lagi, sewaktu tiba di Pulau Pinang, dai dan keluarganya menginap di sebuah hotel di Permatang Pauh selama dua hari atas sumbangan dan bantuan penduduk setempat.

Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan pada pukul 8.57 pagi ini selepas bacaan doa dan upacara pelepasan oleh Imam Masjid Papan, Wahab Yahaya, 76. Destinasi persinggahan rehat seterusnya ialah di Gurun, Kedah.

“Selepas Malaysia, antara negara yang bakal dilalui kami adalah Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Afghanistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan akhir sekali, Arab Saudi.

“Persiapan dan perancangan kembara itu dilakukan sejak dua tahun lepas iaitu merancang perjalanan serta persiapan mental, emosi dan fizikal.

“Walau bagaimanapun, kami  akan mempertimbangkan kemungkinan menggunakan kenderaan awam seperti kereta api dan pesawat sekiranya terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan terutama di destinasi yang mengalami pergolakan.

“Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sambutan yang hangat, tidak putus-putus bantu saya dan keluarga… tidak boleh diucapkan dengan kata-kata, hanya Allah yang dapat balas kebaikan semua,” katanya.

 

Sementara itu Rusnah Baba, 65, dan suami Mohd Damanhuri Abd Talib, 65, penduduk tempatan yang banyak membantu keluarga itu, berkata mereka dihubungi oleh Muchlis untuk mendapatkan bantuan kerana sebelum ini mereka pernah membantu pasangan suami isteri dari Indonesia yang mengembara ke Tanah Suci menggunakan basikal.

“Memang ramai beri bantuan dan nak tolong mereka…contohnya semalam ada pemilik restoran di Kulim hubungi mak cik, minta bawakan mereka ke sana sebab beliau nak beri mereka makan dan bantuan kewangan. Ada juga sebuah kumpulan motosikal berkuasa tinggi kumpulkan duit dan beri bantuan kepada mereka,” kata Rusnah.

Sumber: Bernama