Kecekalan dan ketabahan seiring dengan doa dan usaha gigih pasti akan berjaya. Itu yang cuba dibuktikan oleh anak muda ini.
Kehilangan insan tersayang bergelar ibu bapa menyebabkan dia dan tiga lagi abangnya bergelar anak yatim piatu.
Demi memastikan empat beradik ini terus bersama, waris membuat keputusan menempatkan mereka di rumah anak yatim. Kisah Adik Muhammad Hakimi Idrus nyata cukup menyentuh hati.
Kisah ini dikongsikan oleh Puan Natipah Abu, yang cukup aktif di media sosial kerana sering berkongsi kehidupan sehariannya menguruskan anak-anak yatim dan golongan yang tidak berkemampuan dalam meringankan beban mereka.
Terbaru, beliau berkongsi cerita di laman facebooknya untuk mengutip dana bagi menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Prajurit Muda untuk anak jagaannya, Mohd Hakimi Idrus yang merupakan seorang anak yatim piatu.
Muhamamad Hakimi Idrus berjaya menamatkan latihan perajurit muda di Padang Kawad KD Sultan Ismail di Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih, Johor.
SEDEKAH JUMAAT.
MENGHADIRI PERBARISAN TAMAT LATIHAN PRAJURIT MUDA
MOHD HAKIMI IDRUS – YATIM PIATU.
TLDM PENGGERANG , JOHOR.
JUMLAH YANG DIPERLUKAN RM7K.
Kalau sekadar hendak pergi bercuti .. kami tak akan pergi sampai ke Johor kerana sedia maklum ia melibatkan kos yang sangat tinggi.
Tapi .. demi janji kepada anakanda kami yang yatim piatu dan dibesarkan di rumah anak yatim sejak kecil ini … kami sanggup membuat keputusan ini atas nama kasih-sayang.
Mohd Hakimi Bin Idrus dan 3 orang lagi abangnya dibesarkan di rumah anak yatim ini setelah kematian ibu dan ayah. Setelah dewasa .. seorang demi seorang keluar meninggalkan rumah anak yatim dan kini giliran Hakimi sebagai adik bongsu empat beradik itu.
Hakimi kelihangan ibu ketika usianya belum pun dua tahun. Malah tidak tahu bagaimana raut wajah ibu, melihat gambar arwah pun .. dia tak pernah.
Kematian ibu secara mengejut akibat demam tu , menyebabkan arwah ayah dilanda kemurungan lalu lumpuh.
Selama hayat arwah ayah .. ketiga orang abangnya bergilir mengurus dan menjaga arwah ayah hinggalah akhirnya arwah ayah juga pergi menjejaki ibu.
Demi memastikan empat beradik ini terus bersama .. waris membuat keputusan menempatkan mereka di rumah anak yatim.
Hakimi murid yang cemerlang dalam akademik. Keputusan SPMnya melayakkan dia diterima masuk ke tingkatan enam di sebuah sekolah primier. Tetapi kerana dia bercita-cita hendak bergelar anggota TLDM sejak sekian lama , dia menolak untuk meneruskan pelajaran.
Ketika hari pendaftaran .. demi memastikan dia tabah dan kuat semasa dalam latihan .. maka kami telah berjanji seandainya dia lulus cemerlang, kami akan membawa semua adik-adiknya di rumah anak yatim ke Kem TLDM itu.
Hasrat wanita ini akhirnya didengari pihak KD Sultan Ismail sendiri dan dengan berbesar hati, pihak tersebut membantu melaksanakan impian besar itu.
Menurut Puan Natipah, semua kos makanan di Johor telah disumbang oleh rakyat johor serta beberapa pihak antaranya rakan di Facebook dan pemilik sebuah restoran di Serdang.
Menurut Natipah, Hakimi bersama abang-abangnya dimasukkan ke Pertubuhan Anak Yatim Kuala Muda setelah kepergian ibu dan ayahnya hampir 10 tahun lalu.
Sebelum ini, empat beradik ini hanya menginap di sebuah rumah usang yang menjadi tempat perlindungan mereka.
Perkongsian Puan Natipah tentang keluarga Hakimi mendapat perhatian rakan Facebook, dan kesusahan yang dialami keluarga itu didengari pihak atasan yang akhirnya meluluskan sebuah rumah bernilai RM50 ribu buat mereka.
Semoga lebih ramai lagi pihak seperti Puan Natipah tampil dalam membantu mereka yang memerlukan.
Malah pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Puan Natipah wajar dicontohi dan dijadikan sumber inspirasi buat semua.
Sumber: Natipah Abu, KD SULTAN ISMAIL