Berita

Imam Sempat Iqamat, Cium Anak Perempuan Baru Lahir Sebelum Maut Kemalangan

Share

Imam sempat iqamat, cium anak perempuan baru lahir sebelum maut kemalangan. Imam Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar, Ustaz Nurul Kamal Zulkarnain sempat membisikkan iqamat pada telinga bayi perempuannya yang baru lahir di Hospital Seri Manjung, sebelum beliau meninggal dunia dalam kemalangan.

Imam Sempat Iqamat, Cium Anak Perempuan Baru Lahir Sebelum Maut Kemalangan

Dalam kejadian sekitar 4.30 petang itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Kembara yang dipandu Nurul Kamal, 37, terbabas dan terbalik ke kawasan ladang kelapa sawit di KM 211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, dekat Sitiawan.

Isterinya, Nur Firdaus Salwa Zamrin, 30, berkata sebelum nahas, arwah suaminya meluangkan masa kira-kira satu jam melawatnya di wad bersalin Hospital Seri Manjung.

“Dia bawa barangan keperluan bayi serta uruskan perpindahan saya dari wad bersalin biasa ke wad jagaan rapi bayi.

“Saya melahirkan anak bongsu kami pada jam 2.30 pagi Isnin lalu. Arwah suami sempat bisik bacaan iqamat di telinga bayi, timang dan ciumnya sebelum pulang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung.

Nur Firdaus Salwa (kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung Kredit gambar: Sinar Harian

Nur Firdaus Salwa yang bertugas sebagai guru Taska berkata, suaminya kelihatan agak tergesa-gesa bergerak pulang ke Seri Iskandar kerana perlu menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Bandar Universiti, Seri Iskandar, malam tadi.

“Sebelum pulang, suami berpesan kepada saya supaya banyak berzikir, saya tak sangka ia pesanan terakhirnya.

“Sepatutnya, semalam, saya perlu berada dalam wad bersama bayi kerana demam kuning, tetapi dibenarkan keluar selepas dimaklumkan berkaitan kematian suami,” katanya.

Allahyarham Ustaz Nurul Kamal meninggalkan seorang isteri dan tiga cahaya mata iaitu anak lelaki berusia dua tahun dan dua anak perempuan masing-masing berusia empat tahun dan yang bongsu, berusia dua hari.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Aminaton Sa’adiah, 64, berkata, Ustaz Nurul Kamal yang juga anak ketiga daripada lima beradik ada menghubunginya beberapa minit sebelum kemalangan.

“Dia beritahu saya yang dia baru tengok isterinya di hospital dan tidak sempat pulang ke rumah, jadi dia minta saya tolong jemput anak-anaknya di Taska.

“Saya kata jangan risau, memang mak akan ambil cucu mak, kami tinggal sekali di Seri Iskandar.

“Semasa panggilan telefon itu, tiada apa-apa perubahan ditunjukkan, malah sebelum keluar rumah semalam pun, elok kami berbual seperti biasa,” katanya sebak.

Aminaton berkata, pemergian anaknya itu pasti akan dirasai kerana arwah ringan tulang, selain suka bergurau dengan ahli keluarga.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Iskandar di Jalan Parit-Seri Iskandar, selepas Zuhur, hari ini.

Sumber: Berita Harian Online dan Sinar Harian 

Baca artikel lain juga: Imam Maut Kemalangan Jalan Raya Lepas Lawat Isteri Baru Bersalin Di Hospital

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my