Imam Muda Hassan Kongsi Rahsia Pintu Rezeki Luas & Berkat Suami Isteri

Share

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga tentu sentiasa berdoa agar dikurniakan kebahagiaan dan dimurahkan rezeki.

Ini kerana setiap pasangan suami isteri yang melayari bahtera rumah tangga tidak pernah sunyi daripada menghadapi ujian dan dugaan dalam kehidupan.

Selain  mengharapkan kebahagiaan suami isteri berpanjangan, tentu sahaja pasangan turut berdoa agar mereka dilimpahi rezeki yang murah dan berkat.

Bagaimana mahu memastikan rezeki kita sentiasa berkat dan murah? Imam Muda Hassan ada berkongsi rahsia pintu rezeki suami isteri luas dan berkat.

Pintu Rezeki Luas

Menurut Imam Hassan, rahsia Allah buka pintu rezeki seluas-luasnya selepas mendirikan rumah tangga iaitu kita hendaklah memuliakan ibu ayah termasuk ibu ayah mentua.

“Kalau nak rezeki luas dan melimpah ruah maka kita kenalah memuliakan ibu ayah termasuk mentua.

Bila berkahwin, kedudukan suami di atas, isteri di bawah, tapi jangan lupa ibu ayah termsuk ibu ayah mentua tetap berada di kedudukan di atas suami.

Oleh itu para suami janganlah rasa terlalu hebat kerana masih ada yang patut dimuliakan iaitu ibu ayah termasuk ibu ayah mentua,” demikian kongsi beliau.

Rahsia Rezeki Berkat

Jadi, apakah cara mudah yang boleh diamalkan oleh suami isteri untuk mendapat rezeki luas dan berkat?

“Keraplah balik kampung menjenguk orang tua, jika ada rezeki lebih bagilah mereka duit. Memuliakan mereka itu salah satu cara dimurahkan rezeki.”

Dengan menggembirakan hati ibu ayah, itu salah satu cara untuk diluaskan rezeki kita

Menurut Imam Hassan lagi sekiranya ibu ayah sudah meninggal dunia, sebagai anak pergilah menziarahi kubur mereka, Insya-Allah mendatangkan keberkatan dalam hidup.

Ini sebab kedudukan ibu ayah termasuk ibu ayah mentua ada disebut dalam al-Quran.

“Kita disuruh untuk beribadah pada Allah, jangan syirikkan Allah. Kemudian Allah suruh berlaku ihsan pada ibu ayah.

Untuk dapatkan berkat, buat baik dengan mereka. InsyaAllah akan membuka hati dan minda untuk sentiasa memuliakan mereka. Yakinlah urusan kita akan dipermudah dan
hubungan suami isteri akan baik.”

Sumber: Instagram Imam Muda Hassan

Nak tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu, jom join webinar PERCUMA Ya, Aku Mampu Susukan Anak! secara ONLINE pada 29 Oktober 2022. Daftar nama anda di SINI