Imam Maut Kemalangan Jalan Raya Lepas Lawat Isteri Baru Bersalin Di Hospital

Share

Imam maut kemalangan jalan raya lepas lawat isteri bersalin di hospital. Seorang Imam masjid maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 211.8, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Sitiawan pada Selasa.

Imam Maut Kemalangan Jalan Raya Lepas Lawat Isteri Bersalin Di Hospital

Mangsa dikenali Nurul Kamal Zulkarnain, berusia 37, bertugas sebagai Imam Masjid As Siddiq di Taman Iskandar Perdana dekat Seri Iskandar.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa baru melawat isterinya, Nur Firdaus Salwa Mohd Zamrin yang baru sahaja melahirkan cahaya mata yang ketiga mereka di Hospital Seri Manjung pada hari Isnin.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib memaklumkan mangsa juga turut bertugas sebagai Guru Takmir di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar.

“Dengan rasa penuh dukacita saya menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian beliau yang terlibat dalam kemalangan di lebuh raya WCE.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat setempat kerana beliau dikenali sebagai insan yang berwibawa dalam memimpin serta membimbing umat Islam terutamanya melalui peranannya sebagai imam masjid.

“Jasanya dalam mendidik dan menyumbang kepada pembangunan rohani masyarakat amat dihargai dan akan dikenang selamanya,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.35 petang.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit dan terdapat mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan pegawai perubatan,” katanya.

Menurut beliau, operasi diteruskan untuk membawa keluar mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa dibawa keluar dengan menggunakan pengusung dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba diketuai oleh Komander Operasi, Muhammad Arif Irfan Mokhtar dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 5.37 petang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga:  Pernah Tular Enam Ahli Keluarga Terkorban Kemalangan Jalan Raya, Abdur Rahman Kini Sambung Pengajian

Dua Kanak-Kanak 10 & 9 Tahun Pandu Kereta Sampai Kemalangan!

Percutian Bertukar Jadi Kemalangan, Dayana Roza Cedera, Darah Meleleh Non Stop, Lega Dapat Selamatkan Anak

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my