Ilmu Keibubapaan, Dr Ni Kongsikan Ada 10 Point Penting

Share

Menjadi ibu dan ayah yang terbaik untuk anak-anak, umum mengetahui kita perlu bersedia dengan pelbagai ilmu keibubapaan yang harus dipelajari berterusan dari masa ke semasa.

Jadi bagus kiranya kita baca perkongsian daripada doktor ini untuk manfaat bersama dalam mendidik anak-anak. Jom semak.


Saya baru jadi seorang ayah hampir 9 tahun, dan saya mula membaca buku-buku keibubapaan sejak saya berusia 18 tahun iaitu kira-kira 14 tahun lalu….

 

Walaupun ilmu dan pengalaman saya terhad, ada beberapa perkara atau prinsip keibubapaan yang saya simpulkan kini saya praktikkan dalam diri saya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah yang saya rasa tak salah untuk saya kongsi.

Saya nak kongsi 10 poin di sini, manalah tahu perkongsian saya ini sedikit-sebanyak boleh memberi idea, inspirasi atau motivasi buat para ibu ayah positif yang sudi mengambil manfaat daripada tulisan saya ini. Boleh?

1. Kita perlu ucapkan, luahkan dan tunjukkan kita sayang mereka. Biar mereka dengar, tahu dan rasa kehangatan kasih sayang kita terhadap mereka.

Ucapkan kata-kata sayang, “Papa Mama sayang abang, kakak, adik…”

Pada masa yang sama peluklah anak-anak dan ciumlah mereka, sebagai cara kita menunjukkan kita sayang mereka.

Kita perlu faham bahawa dengan contoh kita menyampaikan dan menunjukkan kasih sayang kita barulah anak-anak kita akan mampu menyampaikan dan menunjukkan kasih sayang mereka terhadap kita.

Juga sangat penting, melalui cara kasih sayang kita inilah anak-anak mampu memahami dan bersedia ke arah usia remaja, mengenal jantina lain, bagaimana mengawal perasaan yang wujud, bagaimana mengendali tarikan jika ada, dan menghilangkan ‘gap’ untuk berkongsi cerita dengan ibu ayah tentang situasi mereka.

Cuba bayangkan jika kita sebagai ibu ayah tidak berkongsi perasaan dengan anak-anak, sudah pasti janggal bagi anak-anak untuk berkongsi rasa dengan kita.

2. Ajar anak-anak kita tentang adab dan akhlak, lebih penting lagi tunjukkan kepada anak-anak kita apa itu adab sopan dan akhlak mulia.

Ya, kita perlu jadi ibu bapa yang beradab.

Sebut “Tolong…” apabila meminta bantuan. Bukan maki hamun.

Sebut “Terima kasih…” apabila menerima bantuan dan seumpamanya.

“Ya, Tuan… Tidak, Encik.. Ya, Puan… Tidak, saudari…” dan seumpamanya, mengikut situasi. Pak cik, mak cik, kakak, abang. Bukan kau-aku dengan orang lebih tua, tak hormat orang, mudah marah dan sebagainya.

Jangan galakkan mereka untuk berakhlak mulia, tetapi wajibkan mereka untuk berakhlak mulia.

Dan jangan mengharap mereka akan membesar menjadi orang yang berakhlak mulia jika kita sebagai ibu bapa tidak berakhlak mulia.

Disiplinkan diri kita untuk mendisiplinkan anak-anak. Kita nak anak bangun awal, kita kena bangun awal.

Kita nak anak jadi bagus, kita kena jadi ibu ayah yang bagus.

3. Masuklah ke dalam dunia anak-anak.

Mereka suka bersukan? Bersukanlah bersama mereka.

Mereka suka gajet, berikanlah galakan.

Mereka suka belajar, berikan galakan. Belajarlah bersama mereka.

Bersama mereka dalam kesukaan mereka, walaupun itu bukan kesukaan kita. Just be in their world.

Bawa mereka bermain, jalan-jalan, makan sama-sama. Again, be in their world.

4. Bina hubungan akrab dan rapat dengan anak-anak. Jadikan relationship itu sebagai relationship paling penting, indah dan kuat.

Percaya hubungan kita dengan anak-anak kita adalah lebih penting daripada hubungan kita dengan pelanggan bisnes kita, rakan sekerja kita, jiran kita dan sebagainya.

Bersembanglah dengan anak-anak, dengarlah cerita mereka, tahu apa mereka suka, jauhkan apa yang mereka tak suka, ‘laburkan’ masa dan tenaga kita membina hubungan paling bagus dengan anak-anak kita. Jangan buat sambil lewa.

Yes, we must build an excellent relationship with our kids. This is a very important investment.

5. Ramai ibu ayah memilih untuk menyembunyikan perasaan sendiri. Rasa susah hati, kita pergi masuk bilik menangis seorang diri. Rasa tak setuju dengan sikap dan tindakan anak-anak, kita pendamkan. Rasa nak marah, kita sorokkan sedangkan kita boleh tunjukkan kemarahan kita dengan kata-kata tegas dalam keadaan terkawal.

Sebenarnya, tak jatuh pun maruah kita apabila kita tunjukkan kesedihan kita kepada anak-anak. Tak salah pun kita kongsi rasa tak puas hati kita terhadap apa yang berlaku. We should show and share our feelings with them.

Mereka perlu tahu kita adalah manusia biasa yang mempunyai pelbagai rasa, dan mereka akan fahami bahawa segala perasaan mereka adalah tidak salah. They can be sad, like we can be sad. They can be mad, like we can be mad.

Give them, our kids, all of us. Let them see us, our happiness, our sadness, our strength, our weaknesses, our emotions, our everything. We don’t have to hide, life is not a hiding game.

Apabila perlu marah untuk memperbetulkan keadaan, marahlah. Berikan disiplin kehidupan. Selepas marah, terangkan kepada mereka apa sebab kemarahan kita. Let them know what’s right and what’s wrong.

6. Apabila mereka berlari berkejaran, beritahu mereka supaya berhati-hati ketika berlari, elakkan jatuh.

Tetapi biarkan mereka berlari (di tempat selamat) dan biarkan mereka merasai jatuh. Mereka akan tahu sakitnya jatuh, melalui ini mereka tidak akan mahu jatuh lagi.

Apabila mereka menghadapi masalah, tunjukkan kepada mereka bahawa mereka perlu mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Bukan melarikan diri.

Biar mereka menyelesaikan masalah sendiri, galakkan mereka berfikir, beri sokongan. Mereka akan belajar banyak perkara melaluinya. Jangan pula kita pergi tolong selesaikan semua perkara.

We stand back and let them face the world, feel the pain and understand the survival.

7. Ajar anak-anak kita cara untuk hidup. Ya, tentang kemahiran hidup.

Apa itu tanggungjawab mencari rezeki, ajar cara memasak, membina atau mencari tempat berteduh atau tempat tinggal, bagaimana tanam pokok, apa itu air bersih yang boleh diminum, bagaimana menggunakan mancis, apa itu lampu suluh, dan pelbagai perkara kehidupan..

Ajar. Orang putih memastikan anak berumur 10 tahun tahu cara, bahan dan bagaimana memasak nasi dan menggoreng telur, sekurang-kurangnya perkara asas, buah apa elok dimakan, dan sebagainya.

Bawa anak-anak ke pasar, bukan jadikan anak sebagai raja yang hanya tahu mengarahkan nak makan apa nak minum apa saja…

8. Jangan tipu anak-anak, dan jangan ajar anak-anak menipu melalui sikap kita.

Contohnya apa?

Apabila kita salah, mengaku salah. Kita lambat menjemput mereka dari sekolah kerana kita terleka berbual dengan kawan, mengaku sajalah, mohon maaf dan tekad untuk tidak ulangi lagi.

Apabila kita tak mampu nak hadiri majlis penyampaian hadiah di sekolah anak kita kerana ada urusan lain, jangan berjanji untuk hadir. Beritahu apa yang sebenarnya. Memberitahu kebenaran yang pahit adalah suatu kemanisan berbanding memberitahu penipuan yang kononnya manis. Percayalah, jika kita menipu kita boleh hadir sedangkan kita tahu kita takkan hadir, anak-anak ‘belajar’ ini dan membudayakannya nanti, sama ada dalam rutin seharian, di tempat kerja dan sebagainya, bahkan terhadap ibu ayahnya sendiri dia akan berbohong. Wa na’uzubillahi min zalik.

Our kids are smart and they need to know the truth. Don’t ‘kill’ them with lies.

9. Biarkan anak-anak kecil bersikap seperti anak-anak kecil. Mereka ada kemahuan, mereka ada emosi. Biarkan mereka berkongsi, dan kita sebagai ibu ayah perlu bersedia menerima, dan mengemudikan sifat dan sikap anak-anak ke arah yang betul…

Jangan paksa anak-anak menjadi kita versi kecil. Kesian mereka.

Mana mungkin anak berumur 4 tahun dipaksa tidak menangis sepanjang hari sedangkan fitrah semulajadi anak sesuai itu mengekspresikan perasaan sedih, marah, takut, lapar dan seumpamanya dengan menangis. Let kids be kids.

10. Perkenalkan dan dedahkan anak-anak kita tentang nilai wang. Nak beli sesuatu, perlu ada wang. Nak dapatkan sesuatu, perlu usaha.

Ajar anak cara membeli barang, bagaimana mengira wang baki, dan sebagainya.

Agar tak mudah ditipu. Tetapi lebih-lebih lagi supaya anak-anak mengerti wang bukan mudah diperolehi…

Poin ini mungkin tak valid bagi anda yang kaya-raya.

Cukuplah 10 ini dulu. Nanti kita sambung lagi ye…

Ya, doaaaaa sokmo, agar anak-anak kita dirahmati Allah, dan agar kita dapat jadi ibu ayah yang terbaik untuk anak-anak kita semua, agar kita dapat jadi pak cik mak cik yang baik buat generasi masyarakat dan agar kita dapat menjadi pemimpin yang bagus, sekiranya dipilih menkadi pemimpin masyarakat atau negara suatu ketika nanti.

Sumber : Syahr Musafir