“Ilham…Mak Sayang Ilham.. Mak Nak Cium Ilham.” Rintih Si Ibu Ketika Menatap Jenazah Anak Mati Lemas. Sayunya Hati!

Share

3 Oktober pastinya meninggalkan memori yang sukar dilupakan buat ibu bernama Che’ Rosmilawati Saidin, 45, ini bila mana anak lelakinya,  Mohd Ilham Fahmy Mohd Azzam, 17, dikatakan terjatuh di dalam sebuah lombong.

Lebih memilukan 6 anggota bomba yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa ketika itu terkorban akibat lemas.

Bukan mudah untuk melepaskan orang yang kita sayang pergi buat selama-lamanya. Namun siapa kita untuk mampu menidakkan ketentuanNya. Andai itu takdirnya, kita kena reda dan menerima segalanya dengan penuh istiqamah dan setiap ujian yang Dia berikan pasti ada hikmah disebaliknya.

Semalam, penantian si ibu ini berakhir bila mana mayat anak tersayang dijumpai oleh pasukan bomba dan penyelamat yang tetap meneruskan pencarian biarpun kehilangan sahabat dalam operasi tersebut.

Biar hanya mampu merenung dan memeluk jasad yang sudah terbujur kaku, namun ibu ini pasrah.

Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia yang diketuai Ustaz Rafie Zainal menceritakan detik pilu dan menyedihkan sewaktu menguruskan jenazah pelajar berkenaan.


Si ibu arwah perlahan masuk dipapah oleh salah seorang ahli keluarganya yang lain. Langkah kakinya lemah dan air matanya tidak henti bercucuran keluar.

Seperti kebiasaan sebelum menutup muka jenazah, kami akan membuka ruang untuk waris melihatnya sebagai tatapan terakhir.

“Ilham…mak sayang Ilham.. mak nak cium Ilham..,” rintih ibunya perlahan sambil mendakap sayu jasad anaknya itu.

Walaupun jasad jenazah tersebut sudah mula berbau, namun sedikit pun tidak diendah oleh si ibu. Dipeluknya si anak dengan seerat-erat pelukan bagaikan tidak mahu dilepaskannya.

Setelah dipujuk barulah si ibu melepaskan jasad anaknya dengan linangan air mata yang tidak berhenti.

Begitulah kasihnya seorang ibu kepada si anak walau bagaimana keadaan sekalipun keadaan si anak.

Jenazah mangsa lemas Almarhum Muhammad Ilham Fahmy yang ditemui petang tadi di tepi lombong kawasan Putra Perdana, Puchong selesai dimandi dan dikafankan jam 9:30 malam tadi.

Tambah menyayat hati apabila melihat kawan-kawan arwah seorang demi seorang mengucup wajah arwah tanda kasih setia kawan cukup membuktikan bahawa arwah seorang yang baik dan disenangi keluarga dan rakan-rakannya yang lain.

Arwah dilaporkan jatuh lemas di lombong berkenaan selepas dikatakan sedang berjalan di tepinya. Ketika operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan Bomba & Penyelamat, berlaku pula insiden yang mendukacitakan negara apabila seramai 6 orang anggota Bomba lemas dan maut di tempat kejadian.

Jenazah kesemua anggota Bomba tersebut telah selamat diuruskan petang tadi. Semoga Allah swt mencucuri rahmat kepada mereka semua. Inilah yang dikatakan Tragedi 3 Oktober!”

Sumber: FB Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia)

-Ust. Rafie Zainal-
Pengerusi;
Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia
Majlis Usrah Nur Fattah