Ikuti Perkongsian Famili Ni Dalam Membuat Persiapan Raya Bersama Single, Twin & Tripletnya!

Share

Melihat pasangan suami isteri yang dianugerahkan anak kembar, pasti terbayang di fikiran kita bertapa meriahnya suasana di dalam keluarga tersebut, lebih-lebih lagi masa hendak menyambut Hari Raya.

Jadi jom ikuti perkongsian dari puan Siti Habshah Mat Sohod,30 dan pasangannya Kamarul Ariffin Razali,34 ini yang telah dianugerahkan 6 orang anak. Di mana yang sulong bernama Taufiq Aniq (lapan tahun), pasangan kembar; Lutfiah Hana dan Lutfiah Hani (tujuh tahun) dan pasangan kembar tiga; Lutfiah Aina, Lutfiah Aira dan Lutfiah Aini (tiga tahun).

 

Bajet berganda-ganda

“Saya ingat lagi, dulu masa ada anak sorang semua kelengkapan raya seperti pakaian dan sebagainya dapat disediakan dengan mudah. Namun bersama si kembar dua dan tiga ini, pengalamannya jauh berbeza.

“Bajet menjadi berganda-ganda dan jika ingin dianggarkan lebih kurang RM 3000 akan dibelanjakan untuk pakaian dan kelengkapan berhari raya untuk mereka. Jadi untuk itu, persiapan harus dibuat lebih awal. Tidaklah boleh dibeli sekali gus dalam tempoh masa yang singkat.

“Pengalaman untuk membeli belah pakaian anak-anak juga tidak sama seperti keluarga lain. Maklumlah bukan mudah untuk diusung anak-anak kembar ni dalam satu masa, lebih-lebih lagi dalam bab shopping. Ditambah pula jika pasar raya tersebut sesak dengan orang ramai.

“Keadaan ini membuatkan saya dan suami bimbang juga terhadap keselamatan anak-anak. Manalah tahu terlepas pandang kala asyik membeli persiapan raya, padah akibatnya. Jadi cara terbaik biarlah suami sahaja yang uruskan hal membeli pakaian kami sekeluarga.

“Sekiranya mahu bawa anak-anak ke pusat membeli belah, kami hanya bawa yang besar sahaja. Yang kembar tiga kami tumpangkan sekejap di rumah kakak  untuk sementara waktu,” terang Siti Habshah atau lebih mesra di sapa Sha ini dengan panjang lebar.

 

Lupakan dulu dekor

Umumnya dalam membuat persiapan Raya, mestilah ketika di bulan Ramadan menjadi antara waktu yang sibuk untuk seorang ibu menghias kediaman agar rumah yang dihuni cantik dan selesa di kunjungi tetamu di Hari Raya nanti.

Namun hal ini tidak bagi Sha. Hasratnya untuk memberi sentuhan dekorasi pada ruang kediamannya terpaksa dipendamkan dahulu kerana situasi tidak mengizinkan.

“Jujur saya katakan, memang saya suka sangat hias-hias rumah ni. Tapi semua ini tidak dapat dilaksanakan  dek kerana anak-anak yang masih kecil. Lebih-lebih lagi yang triplet tu. Pantang ada barang-barang, habis di’kerja’kan mereka.

“Oleh itu, biarlah saya simpan keinginan saya sehinggalah anak-anak besar sedikit. Buat masa ini, keadaan rumah digarap selapang mungkin untuk anak-anak mudah bermain dan selamat untuk mereka,” jelas Sha lagi.

“Saya dan suami memang sepanjang bulan puasa akan berbuka dan bersahur di rumah sahaja bersama anak-anak. Hendak makan di luar, memang tidak terfikir pun. Memandangkan bukan mudah untuk mengawal anak-anak ketika berada di luar. Jadi lebih baik, kami berbuka dan bersahur di rumah sahaja. Itu lebih menyenangkan dan kami selesa begitu”, terang Sha lagi diakhir perbualannya sambil tersenyum manis.