Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jihan, 39, mendakwa turut kerugian lebih RM300,000 akibat diperdaya lelaki itu.
Ibu tunggal seorang anak itu mendakwa mengenali lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa di Langkawi sejak 2020 melalui media sosial.
Katanya, pada mulanya lelaki itu langsung tidak menunjuk belangnya malah menunjukkan sifat romantis dan penyayang selain berjanji untuk berkahwin dengannya.
“Dia beritahu saya yang dia dalam proses untuk berpisah dengan isterinya walaupun sudah mempunyai seorang anak namun semuanya tipu belaka.
“Disebabkan dia berjanji untuk berkahwin dengan saya, apa saja yang dia mahu saya tunaikan sehinggalah saya sanggup membelikan sebuah kereta mewah jenis BMW, sebuah motosikal, jam tangan berjenama bernilai RM6,000, cermin mata bernilai RM2,000 selain wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya setiap bulan.
“Saya mula mengikut kehendaknya dengan memberi apa saja termasuk wang sejak itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Jihan, dia juga sering bertemu dengan bekas kekasihnya itu di Langkawi kerana lelaki itu bertugas di sana malah turut membelikan jet ski untuk lelaki itu menjalankan perniagaan di sana.
Katanya, lelaki itu mula menunjukkan sikap panas baran apabila dia tidak memberikan wang kepadanya sejak tahun lalu.
“Saya pernah dimaki hamun oleh lelaki berkenaan malah pada 10 Oktober 2023 pada jam 3.13 petang dia turut mencekik saya sehingga meninggalkan kesan merah, lebam di bahagian mata akibat ditumbuk serta dihantuk kepala.
“Saya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Langkawi akibat kecederaan yang dialami.
“Bukan itu saja malah bekas kekasih turut mengugut dengan pelbagai ugutan termasuk mahu mengaibkan diri saya kepada keluarga jika saya tidak menurut kehendaknya serta pernah juga mengacu pisau ketika kami bergaduh tahun lalu,” katanya.
Jihan berkata, lelaki itu yang bekerja di Langkawi juga sering mencari kesilapan dalam perhubungan mereka dan terus menghantar WhatsApp ugutan kepadanya.
Katanya, keadaan itu menjadikan dia trauma dan terpaksa menyekat nombor telefon lelaki terbabit bagi mengelakkan terus menerima ugutan.
“Namun, disebabkan tidak tahan selain risaukan keselamatan diri, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi Rabu lalu untuk memaklumkan kejadian yang menimpa saya.
“Saya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadapnya di atas apa yang berlaku,” katanya yang terpaksa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.
Menurutnya dia kini terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling melalui rakannya selain bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan kerana trauma dengan apa yang berlaku sehingga mengalami tekanan perasaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada wanita terbabit.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Jodoh Tak Kenal Siapa, Jarak Usia 23 Tahun Abang Sado Pilih Ibu Tunggal Anak 5
Kisah Ibu Tunggal Urus Sembilan Anak Berwajah Handsome Tarik Perhatian Netizen!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my