Ibu tunggal dipukul, diugut bekas kekasih, rugi lebih RM300,000. Seorang wanita yang juga anak ahli perniagaan bergelar Datuk mendakwa menjadi mangsa pukul selain diugut bekas teman lelaki kerana gagal memberikan wang.
Ibu Tunggal Dipukul, Diugut Bekas Kekasih, Rugi Lebih RM300,000
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jihan, 39, mendakwa turut kerugian lebih RM300,000 akibat diperdaya lelaki itu.
Ibu tunggal seorang anak itu mendakwa mengenali lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa di Langkawi sejak 2020 melalui media sosial.
Katanya, pada mulanya lelaki itu langsung tidak menunjuk belangnya malah menunjukkan sifat romantis dan penyayang selain berjanji untuk berkahwin dengannya.
“Dia beritahu saya yang dia dalam proses untuk berpisah dengan isterinya walaupun sudah mempunyai seorang anak namun semuanya tipu belaka.
“Disebabkan dia berjanji untuk berkahwin dengan saya, apa saja yang dia mahu saya tunaikan sehinggalah saya sanggup membelikan sebuah kereta mewah jenis BMW, sebuah motosikal, jam tangan berjenama bernilai RM6,000, cermin mata bernilai RM2,000 selain wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya setiap bulan.
“Saya mula mengikut kehendaknya dengan memberi apa saja termasuk wang sejak itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Jihan, dia juga sering bertemu dengan bekas kekasihnya itu di Langkawi kerana lelaki itu bertugas di sana malah turut membelikan jet ski untuk lelaki itu menjalankan perniagaan di sana.
Katanya, lelaki itu mula menunjukkan sikap panas baran apabila dia tidak memberikan wang kepadanya sejak tahun lalu.
“Saya pernah dimaki hamun oleh lelaki berkenaan malah pada 10 Oktober 2023 pada jam 3.13 petang dia turut mencekik saya sehingga meninggalkan kesan merah, lebam di bahagian mata akibat ditumbuk serta dihantuk kepala.
“Saya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Langkawi akibat kecederaan yang dialami.
Ads
“Bukan itu saja malah bekas kekasih turut mengugut dengan pelbagai ugutan termasuk mahu mengaibkan diri saya kepada keluarga jika saya tidak menurut kehendaknya serta pernah juga mengacu pisau ketika kami bergaduh tahun lalu,” katanya.
Jihan berkata, lelaki itu yang bekerja di Langkawi juga sering mencari kesilapan dalam perhubungan mereka dan terus menghantar WhatsApp ugutan kepadanya.
Katanya, keadaan itu menjadikan dia trauma dan terpaksa menyekat nombor telefon lelaki terbabit bagi mengelakkan terus menerima ugutan.
“Namun, disebabkan tidak tahan selain risaukan keselamatan diri, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi Rabu lalu untuk memaklumkan kejadian yang menimpa saya.
“Saya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadapnya di atas apa yang berlaku,” katanya yang terpaksa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya.
Menurutnya dia kini terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling melalui rakannya selain bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan kerana trauma dengan apa yang berlaku sehingga mengalami tekanan perasaan.
Ads
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada wanita terbabit.
Tiada rezeki untuk menimang cahaya mata pertama, penyanyi Najwa Latif mengalami keguguran dikala usia kandungannya yang baru mencecah lima minggu.
Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 29, bersyukur diberi kesempatan merasai pengalaman hamil selama lima minggu.
“Saya mengalami keguguran. Sejujurnya, saya tidak bercadang untuk berkongsi perkara ini kerana merasakan hal ia sangat peribadi untuk saya dan suami.
“Alhamdulillah. Allah bagi pinjam lima minggu tapi jumpa awak bila saya dapat jumpa awak nanti,” ulasnya lagi.
Tambah Najwa lagi yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dia menghargai setiap doa serta sokongan ramai.
“Saya hanya ingin beritahu kepada semua, saya benar-benar minta maaf kerana saya tidak boleh bercakap dengan sesiapa sekarang.
“Tetapi saya sangat menghargai semua kata-kata baik anda. Terima kasih kerana memikirkan saya semasa waktu yang sukar ini.
“Jika boleh, izinkan kami bersedih dalam diam. Simpanlah kami dalam doamu. Semoga semua fikiran dan doa anda dikembalikan kepada anda juga,” katanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga di Batu Pahat, Johor pada 11 November 2022.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Suami isteri meninggal dunia kemalangan, baru selesai rakam foto hari raya. Sepasang suami isteri yang terlibat dalam nahas jalan raya di Kampung Merbau Kudung, Jalan Teloi Timur dipercayai baru sahaja selesai merakam gambar kenangan sempena Hari Raya.
Suami Isteri Meninggal Dunia Kemalangan, Baru Selesai Sesi Fotografi Hari Raya
Mangsa, Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan isterinya, Intan Suraya Zaidi, 24, dikatakan baru pulang dari sesi fotografi di Parit Panjang, Baling, dan sedang dalam perjalanan ke kediaman mereka di Kampung Kuala Teloi Batu Lima ketika insiden berlaku.
Pemilik Bromie Studio, Muhammad Suhaimi Yahaya, 35, memaklumkan bahawa pasangan tersebut hadir ke studionya sekitar jam 11 pagi dan sesi fotografi berlangsung selama lebih kurang setengah jam.
Gambar kenangan pasangan suami isteri yang baru dirakam sebelum kejadian.
Menurutnya, pasangan itu kelihatan sangat ceria dan gembira sepanjang sesi bergambar berlangsung.
“Mereka nampak teruja kerana dapat gambar raya yang siap dicetak hari itu juga. Saya turut menghantar salinan gambar ke telefon bimbit mereka yang menggunakan jenama iPhone. Semasa bergambar, mereka banyak ketawa dan sangat riang.
“Beberapa ketika kemudian, saya benar-benar terkejut apabila dimaklumkan mereka telah terkorban dalam kemalangan,” katanya.
Tambah Suhaimi, beliau pernah menjadi jurufoto untuk majlis perkahwinan pasangan tersebut pada Jun tahun lalu.
Katanya lagi, arwah berdua merupakan insan yang sangat baik dan kelihatan sangat bahagia.
“Saya tidak menyangka bahawa sesi kali ini merupakan kenangan terakhir mereka yang sempat saya abadikan,” ujarnya.
Keadaan kereta pasangan suami isteri yang terlibat dengan kemalangan tersebut.
Difahamkan, kejadian tragis yang berlaku sekitar jam 4.16 petang itu melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki pasangan terbabit. Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori muatan 10 tan.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Noda kekasih 13 tahun, Ronaldo diarah jalani khidmat masyarakat 240 jam. Seorang pelajar kolej diarah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di Seremban atas pertuduhan merogol teman wanitanya yang bawah umur, Mei lalu.
Noda Kekasih 13 Tahun, Ronaldo Diarah Jalani Khidmat Masyarakat 240 Jam
Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh, Ronaldo Sillo Chundi, 20, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Beliau turut mengarahkan tertuduh dihadapkan semula ke mahkamah serta boleh dihukum mengikut peruntukan hukuman asal sekiranya gagal menjalani khidmat masyarakat berkenaan.
Selain itu, remaja berkenaan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan setiap bulan dan perlu mengikut sesi kaunseling diadakan serta mematuhi jadual aktiviti yang ditetapkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Surita juga mengenakan bon cagaran RM5,000 dengan penjamin daripada ahli keluarga dan sekiranya gagal, boleh dikenakan penjara setahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di sebuah hotel di Port Dickson, kira-kira jam 3 petang, 15 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Peguam, Kartikeyan Supramaniam merayu hukuman berbentuk khidmat masyarakat dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh adalah pesalah muda, malah mangsa dalam kes itu adalah teman wanitanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan tiada halangan terhadap permohonan pihak pembelaan dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.
Pada prosiding tersebut, Pegawai JKM turut membaca laporan sosial dan akhlak tertuduh.
Seorang ibu wanita tempatan melaporkan bayi lelakinya yang berusia lima bulan dilaporkan meninggal dunia ketika di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di kawasan Kangkar Pulai, Johor Bharu semalam.