Sepasang suami isteri maut selepas Perodua Myvi dinaiki merempuh lori membawa muatan baja di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban, dekat Keratong, di Rompin awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala sementara isterinya Surawati Mohd, 33, meninggal dunia beberapa jam selepas mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga anak pasangan yang dikenali Aryan Rizqy, 6, Areesh Razeen, 4, dan Arfan Rakeen, 2, menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Muadzam Shah.
Sementara itu, Syaidatul Fatihah menceritakan kemalangan maut yang menimpa kakaknya, Surawati Mohd.
Menurutnya, arwah sempat campak anak bongsu yang ada bersamanya di tempat duduk penumpang hadapan ke belakang sebelum disambut anak sulungnya bagi menyelamatkan anaknya.
Menurut Syaidatul Fatihah, kejadian berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Pulau Duyong ke rumah ibu bapa Muhammad Noor di Felda Lui, Jempol, Negeri Sembilan.
“Kami (ahli keluarga) semua tidak tahu mereka bertolak awal sehari ke sana.
“Kakak memaklumkan mereka akan bertolak esok ke rumah mentuanya kerana anaknya tidak bersekolah malah keluarga abang ipar pun tak tahu lima beranak itu bertolak awal,” katanya ditemui di rumah keluarganya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang.
Menurutnya, ahli keluarga hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas dihubungi Hospital Muadzam Shah, Pahang 7 pagi tadi. Justeru, ahli keluarganya segera ke hospital terbabit bagi melihat keadaan lima beranak itu.
“Kami dimaklumkan kakak dan suami meninggal dunia dan hospital minta kami datang ambil tiga anak saudara yang cedera. Menurut Aryan Rizqy, ketika kereta hilang kawalan dia masih sedar dan ibunya sempat campakkan Arfan ke tempat duduk belakang bagi menyelamatkan anak bongsunya itu.
“Aryan Rizqy sempat menyambut adiknya sebelum Perodua Myvi dinaiki berlanggar dengan lori,” katanya.
Katanya, jenazah abang iparnya dibawa ke Felda Lui untuk dikebumikan manakala jenazah kakaknya dibawa pulang ke Gong Merawang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang selepas solat Isyak.
“Tiga anaknya turut dibawa pulang bersama kami kerana mereka lebih rapat dengan ahli keluarga di sini.
“Bagaimanapun, kami akan berbincang dengan ahli keluarga abang ipar mengenai penjagaan tiga anak arwah ini,” katanya.
Sumber: Harian metro