Ibu Pukul Anak Angkat Guna Penyangkut Baju, Batang Penyapu Mengaku Bersalah

Share

Pasangan suami isteri masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini kerana mendera anak angkat mereka berumur empat tahun.

Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga, 28, dan suaminya, 30, warga Singapura selepas mereka mengaku bersalah menganiaya kanak-kanak perempuan itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Eco Majestic, Semenyih pada 1.25 tengah hari, antara April dan 18 Julai 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka tiada niat untuk mendera mangsa, sebaliknya bimbang dengan kesihatan anak angkat mereka.

“Kami tiada niat untuk mendera, sebenarnya kami cuma hendak pastikan dia makan dan tidak kurang zat dalam badan,” kata tertuduh lelaki.

Hakim Amir memohon hukuman penjara dan denda atas alasan tindakan tertuduh bukannya untuk mendidik tetapi ia dianggap zalim dan tidak adil selain mereka tidak amanah serta tidak bertanggungjawab dalam menjaga mangsa.

“Kecederaan mangsa bukan satu tempat sahaja tetapi satu badan. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak itu trauma seumur hidup dan dia sepatutnya diberi perhatian dan kasih sayang,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, seorang pengadu yang juga pekerja kepada tertuduh melihat majikannya itu memukul kanak-kanak berkenaan menggunakan penyangkut baju dan batang kayu penyapu.

Pengadu memaklumkan kejadian itu kepada ibu mentua tertuduh, namun tidak diendahkan sebaliknya dia dimarahi oleh wanita itu.

Hasil siasatan polis mendapati, mangsa dipukul oleh tertuduh yang dipanggil ‘mummy’ pada anggota badan dan dua doktor di Hospital Kajang mengesahkan kecederaan dialami kanak-kanak itu selari dengan laporan polis dibuat pengadu.

Di mahkamah sama, suaminya didenda maksimum RM10,000 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah tinggal lebih tempoh yang dibenarkan di Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 2.30 pagi, 22 Julai lepas, mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

ARTIKEL BERKAITAN : “Buka Mulut, Makan!” Selagi Tak Telan Makanan Budak Perempuan Dipukul Guna Penyapu

Terdahulu, sebelum ini tular seorang wanita memukul seorang anak kecil bernama Alia dipercayai anak angkatnya menggunakan kayu penyapu disebabkan enggan makan. Perbuatan itu direkod oleh pekerjanya yang bertindak membuat laporan polis tentang majikan mereka dan memuat naik video tersebut di media sosial.

“Tolong gunakan kuasa viral netizen bantu Aqil,” tulisnya bersama tanda pagar #justiceforalia.

@theaqil7⚠️CHILD ABUSE⚠️ tolong gunakan kuasa korang !!!♬ original sound – AQIEL

Sumber : Sinar Harian

Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, KELGST5 di sini