Tiada apa yang anak-anak boleh buat melainkan gembirakan hati ibu bapa. Baru-baru ini tular satu majlis perkahwinan seorang ibu kembali bergelar sebagai seorang isteri selepas lapan tahun hidup ‘solo’.
Lebih menarik lagi, anak-anaknya, Faizatul Najirah, 28, Fatini Syukriah, 29, serta adik bongsu, Ahmad Zafran, 26, sepakat berkongsi wang bagi menganjurkan majlis pernikahan wanita kesayangan mereka pada 15 Mei lalu.
Tidak setakat itu, Faizatul turut berpeluang mendandan wajah Nor Arini, 55, yang sah menjadi isteri kepada Zainur Ariffin, 65, pada majlis yang diadakan di Homestay Ayahwan Paloh..
Kisah perkahwinan Nor Arini dan Zainur mendapat perhatian warga net selepas Faizatul Najirah memuat naik video rombongan pengantin lelaki hadir untuk menyunting ibunya di TikTok, baru-baru ini.
Menyingkap cerita sebenar, Faizatul Najirah yang juga jurusolek dan menetap di Padang Air Tepoh, Kuala Nerus berkata, ibunya sudah hidup sendirian selepas berpisah dengan bapa kandungnya, Ahmad Zalil Awang, 57, lapan tahun lalu.
Katanya, sejak itu, Nor Arini hanya fokus membesarkan mereka hingga masing-masing sudah berkeluarga.
“Emak pernah nyatakan hasrat untuk berkahwin sebelum ini, malah pernah berkawan dengan lelaki, cuma ditakdirkan jodoh emak dengan abah (Zainur) walaupun tempoh perkenalan mereka amat singkat iaitu empat bulan saja.
“Kawan emak yang memperkenalkan abah. Ikutkan abah pernah mengajak emak berkahwin pada November tahun lalu tetapi emak menolak kerana belum bersedia.
“Namun, akhirnya dia terbuka hati untuk bertunang pada Februari lalu sebelum melangsungkan perkahwinan pada Isnin minggu lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Faizatul Najirah, dia serta kakak dan adik tiada halangan buat ibu mereka berumah tangga lagi, malah pernah membantu memilih calon yang sesuai sebagai bapa tiri mereka.
Akhirnya, Zainur datang dalam hidup Nor Arini dan mereka menerimanya selepas latar belakang bapa tirinya itu yang diyakini dapat membahagiakan keluarga.
“Kami bukan mahu masuk campur urusan peribadi emak cuma biarlah dia berkahwin dengan seseorang yang boleh menjaganya dan membimbingnya terutama dari segi agama.
“Alhamdulillah, jodoh emak sampai dan semuanya dipermudahkan kerana anak kandung abah juga boleh menerimanya.
“Sedih dan berat juga melepaskan emak kerana sebelum ini kami adik-beradik menjaganya dan kini dia sudah berpindah ke Seksyen 19, Shah Alam. Kami relakan dengan hati terbuka demi kebahagiaannya.
“Lagipun, kami adik-beradik sudah berumah tangga dan sedar emak juga berhak ada teman hidup untuk menjaganya dan menjadi tempat meluahkan perasaan,” katanya.
Dalam pada itu, Faizatul Najirah terharu dengan doa dan kata positif diterima selepas memuat naik video ibunya menjadi raja sehari.
“Tak sangka akan tular kerana niat saya muat naik video di situ untuk kenangan saja, namun mungkin yang melihat rasa unik kerana bukan rombongan kahwin anak tetapi emak. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaan emak dan abah.
“Diharap, video itu membuka mata anak di luar sana untuk beri peluang kepada ibu bapa mereka yang sudah lama solo untuk berkahwin lagi jika itu yang dimahukan dan ada calon sesuai,” katanya.
Sumber : Harian Metro, Faizatulnajirahzalil3737