“Ibu Mertua, Dialah Pesakit Diabetes Contoh Bagi Saya”. Menantu Ni Yang Juga Seorang Doktor, Dedahkan Sebabnya & Elok Sangat Jadikan Panduan!

Share

Tentunya bila kita bertemu dengan orang yang lebih berusia dan matang, tidak dinafikan pasti banyak ilmu dan pengalaman hidup mereka boleh kita ‘cedok’ untuk diteladani dan dijadikan panduan.

Begitu juga halnya bagi wanita yang bergelar doktor pakar ini yang begitu berasa kagum dengan ibu mertuanya dalam bab penjagaan kesihatan hingga dirasakan ibu mertuanya itu adalah sebagai pesakit diabetes contoh.

Nak tahu kenapa dan apa sebabnya doktor ini berkata begitu, jom kita baca perkongsian penuh daripadanya dan semoga dapat dijadikan panduan untuk pesakit diabetes yang lain.

SETENGAH CAWAN CUKUP

Saya cukup hormat ibu mentua saya. Bukan semata sebab dia ibu yang melahirkan buah hati saya, tapi sebab dia lah pesakit diabetes contoh bagi saya.

Satu perkara yang saya perasan, beliau sangat menjaga diet beliau sehari-hari. Amalan berpuasa sunat Isnin dan Khamis juga jadi kebiasaan beliau. Pernah juga beliau berpuasa hampir setiap hari dalam bulan Rejab dan Syaaban.

Amalan makan mengikut masa beliau juga patut dipuji. Breakfast seawal jam 7.30 pagi, diikuti dengan aktiviti berkebun keliling rumah. Ni amalan yang sangat bagus bagi warga emas seperti beliau untuk mengeluarkan peluh. Kalori dibakar, vitamin D daripada cahaya matahari pun dapat, bunga dan sayur-sayur pun banyak dapat. Memang untung!

Satu lagi amalan beliau yang saya puji ialah beliau amat menjaga kaki. Penjagaan kaki amat penting bagi pesakit diabetes seperti beliau sebab kaki mudah tercedera dan dapat komplikasi. Setiap kali lepas wudhu atau mandi, beliau akan mengesat kaki sehingga kering. Setiap celah jari kaki beliau akan dibelek dan dikesat untuk mengelakkan kelembapan yang jadi kegemaran ‘kulat kaki’.

Kalau saya ikut beliau ke kenduri perkahwinan di hujung minggu, saya perhatikan beliau cukup hati-hati memilih makanan. Kuantiti yang diambil pun dijaga. Memang payah juga, sebab ada makanan manis yang beliau gemari. Selalu saya perasan, kalau beliau ambil cendol atau air manis, kuantitinya selalu separuh. Lepas dah merasa, dia akan hulurkan kepada bapa mentua saya untuk dihabiskan.

Sejak itu, setiap kali saya ambik minuman atau makanan manis di majlis atau di buffet, saya akan cuba untuk ambik dalam kuantiti yang sedikit. Cuma untuk hilangkan rasa ingin.

Saya mungkin doktor pakar, tetapi tetap ada banyak perkara yang saya belajar dari orang-orang tua keliling saya. Bukan saja dari segi penjagaan masalah diabetes. Kalau dari mak mentua saya, yang paling penting ialah belajar macamana nak layan suami sebaik yang beliau lakukan.

Itu pun penting juga kan?

sumber : Sakinah Sulong