“Ibu Kena Lebih ‘paranoid’.” Bersalin Sewaktu PKP, Doktor Ni kongsi ‘Pantang Larang’ Elak Keluarga Melawat Bayi!

Share

Setiap daripada kita pasti teruja melawat keluarga atau rakan terdekat yang baru melahirkan bayi. Namun dalam keterujaan menziarahi ibu baru bersalin dan bayi baru lahir, ada beberapa perkara yang perlu dipandang berat. Lebih-lebih lagi situasi sekarang yang mana wabak Coronavirus (Covid-19) tengah melanda negara kita.

Dr  Maiza Tusimin, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Prince Court ketika sesi live bersama Majalah Pa& Ma menegaskan, langkah keselamatan amat penting dalam memastikan ibu dan bayi baru lahir selamat terutama apabila dibawa pulang ke rumah.

“Mana-mana hospital mengambil langkah ketat terutama dalam mengurangkan orang ramai melawat. Dalam keadaan sekarang, lebih baik kita elakkan dan kekalkan jarak atau pengasingan demi keselamatan baik ibu, bayi dan juga ahli keluarga lain. Tak perlu ada lawatan secara fizikal. Memandangkan sekarang teknologi canggih, jadi memadai kita berhubung melalui telefon baik video call dan sebagainya.

“Bagi ibu-ibu yang sudah mengeluarkan belanja membayar untuk perkhidmatan menjaga kita dalam pantang, dalam situasi sekarang kita tak tahu bagaimana dengan orang itu, datang dari mana, sama ada membawa virus  dan sebagainya.  Jadi lebih baik elakkan.

“Ada ibu-ibu yang cakap lepas bersalin kena mengurut, itu hanya amalan dalam budaya orang kita sahaja kononnya untuk buang angin dan sebagainya.  Kalau nak juga mengurut  mungkin minta tolong ahli keluarga terdekat. Misalnya jika ada ibu yang kebetulan tinggal bersama ataupun suami yang bantu,” ujar Dr Maiza lagi.

Dalam pada Itu  Dr Maiza menegaskan soal suami nak teman isteri bersalin dalam tempoh PKP ini, mengikut garis panduan (Kementerian Kesihatan Malaysia) KKM tidak menggalakkan berbuat demikian.

“Ada pihak hospital swasta membenarkan dengan syarat kedua-dua telah melakukan ujian covid dua hari sebelum bersalin. Jika negatif maka dibenarkan. Tetapi untuk menjaga keselamatan semua, tidak dibenarkan suami menemani di bilik bersalin. Ini bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Ibu kena lebih paranoid

Dalam pada itu, Dr Maiza turut menggariskan beberapa langkah keselamatan  sewaktu membawa pulang bayi ke rumah.

“Apabila nak pulang ke rumah, ibu-ibu sendiri kena jadi ‘lebih paranoid’. Semua tak bersih sehingga kita sendiri yang bersihkan.  Biasanya di hospital yang tiada kes memang terjamin tetapi tak salah kita sentiasa berjaga-jaga.

“Sebagai contoh, panduan sewaktu menekan lif atau memegang peralatan di hospital dan sebagainya. Tak perlu jemput atau benarkan ramai-ramai datang untuk menjemput kita dari rumah. Balik rumah terus, tak perlu singgah mana-mana. Sampai sahaja di rumah terus masuk bilik. Benda pertama buat adalah basuh tangan dan lepas tu nak mandi boleh dan minta tolong suami dalam hal ini.

Kena alert dan jaga diri

Sementara  itu ketika ditanya mengenai pemeriksaan rutin yang perlu dilakukan oleh ibu-ibu mengandung, Dr Maiza memberitahu rutin tersebut boleh dilakukan seperti biasa.

“Mungkin ada ibu-ibu yang takut nak ke klinik memandangkan bimbang dijangkiti, tapi usah risau kerana pihak klinik sudah mengambil langkah-langkah melakukan keselamatan. Pakai mask jika selesema atau batuk.  Jika tiba-tiba batuk ketika sampai di klinik, ikut etika atau cara batuk yang betul.  Jangan harapkan kepada doktor dan petugas kesihatan semata-mata. Kita sendiri kena alert dan menjaga diri.

“Jika anda pulang ke kampung, jangan lupa sentiasa bawa buku check up anda. Tolong jujur apabila anda mengalami apa-apa simptom atau kontak dengan mereka yang positif.  Jangan risau pihak petugas dan doktor akan memeriksa anda dengan baik. Rawatan tetap sama seperti biasa cuma mungkin dalam kes sebegini doktor atau petugas kesihatan akan memakai pakaian PPE demi langkah pencegahan untuk bayi serta orang sekeliling.

“Bagi ibu-ibu yang bergejala dan positif covid-19, ia tidak akan menjangkiti bayi dalam kandungan. Dari segi pemerhatian saintifik tidak ada pemindahan virus dari ibu kepada bayi. Cuma mungkin ada ‘kontak’ di mana si ibu  yang positif covid  dan menyusukan bayi. Tetapi  si ibu tidak memakai perlindungan seperti masak dan terbersin atau batuk. Secara tidak langsung bayi berkenaan terkena jangkitan.