Ibu Kena Berusaha Cari Masa Untuk Berehat Walaupun Sekejap. Ikuti Nasihat Ibu Rose Supaya Tidak Stres

Share

Dalam kita membesarkan anak-anak, kita akan mendapati kita mungkin kekurangan tidur dan rehat. Sebenarnya, kekurangan kedua-dua ini boleh menyebabkan seseorang hilang kebolehan berfikir dengan waras dan di dalam banyak situasi menjadikan seorang itu mudah hilang sabar.

Diri fizikal kita memerlukan tidur yang nyenyak (deep sleep) di dalam sesuatu hari itu. Namun, bila seseorang Ibu tidak mendapat tidur nyenyak yang cukup, maka dia akan mudah lupa, mudah stress, mudah hilang sabar dan sebagainya.

Oleh itu sesiapa yang bersama ibu itu berusahalah memberi ibu itu masa dalam seminggu untuk dia dapat berehat dengan baik sekurang-kurangnya untuk 2-3 jam.

Jika anda adalah salah seorang ibu yang sering tidak dapat berehat, kerana beranak kecil, maka berusahalah mendisiplinkan anak-anak untuk tidur awal, supaya anda ada masa untuk berehat semasa mereka sudah tidur.

Ibu tahu mungkin ada diantara anda yang mengatakan ianya payah kerana anda bekerja dan sebagainya.

Jawapan Ibu ialah ya, memang susah kerana anda mengambil dua tugas penting. Namun, Ibu yakin anda juga boleh kerana ada kata-kata orang bijak pandai yang berbunyi begini;

“Jika anda mahukan sesuatu kerja itu dilaksanakan, berilah kepada orang yang sibuk.”

Kebanyakan orang yang sibuk sebenarnya telah menguasai satu skil penting, iaitu merancang kerja mereka. Mereka bijak untuk memprioritikan kerja mereka.

Seorang yang mahu menyelesaikan masalah mereka, mereka tidak mengeluh tetapi mereka akan mencari jalan penyelesaian dengan bertanya diri soalan yang betul. Contohnya, jika anda merasakan anda tidak ada peluang untuk berehat dan mendapat tidur yang nyenyak berminggu-minggu; soalan yang hendak anda tanya bukanlah ‘susahlah macamana nak dapat rehat?….tapi bertanya, ” Apa perkara positif yang saya boleh saya lakukan untuk saya mendapat rehat yang lebih.”

Semoga Allah memudahkan usaha anda.

Sumber: Ibu Rose – Mesejnya Kasih