Ibu kanak-kanak dua beradik termakan keropok ada racun tikus rayu doakan anak kembali sembuh. Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun berada dalam keadaan kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi Labu Besar, Kulim, Kedah.
Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun tujuan bagi perangkap monyet.
“Saya rayu orang ramai titipkan doa buat dua beradik ini semoga segera sembuh dan pulih seperti sedia kala.
“Terima kasih dan semoga ada doa dalam kalangan kalian yang dikabulkan Allah SWT.”
Begitu rayuan Nurain Hasnorizal, 25, mengenai perkembangan dua anaknya yang kini kritikal dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat termakan keropok yang mengandungi racun tikus.
Dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah itu, Muhammad Luth Syauqi Abdul Rahman dan Muhammad Akil Syauqi masing-masing berusia dua dan tiga tahun masih tidak sedarkan diri dan di bawah pemantauan doktor.
Katanya, doktor tidak dapat beri harapan terhadap pemulihan anak sulungnya tetapi mereka akan cuba yang terbaik.
“Doktor mengatakan pada masa ini, mereka tidak dapat lakukan rawatan pada buah pinggang Muhammad Akil Syauqi berikutan keadaannya yang tidak stabil.
“Tekanan darahnya juga rendah dan jika rawatan dibuat, keadaan buah pinggangnya bertambah ‘teruk’,’ katanya.
Mengenai perkembangan Muhammad Luth Syauqi pula, Nurain berkata, anak keduanya itu masih dalam keadaan koma.
“Dia sudah menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) hari ini dan masih koma.
“Pada masa ini fikiran saya masih buntu, namun saya mohon supaya orang ramai supaya mendoakan kesembuhan kedua-duanya,” katanya yang juga operator kilang.
Nurain berkata, ketika kejadian dia menyedari anaknya masuk ke dalam rumah dan tidak lama kemudian, anak bongsunya diserang sawan.
Katanya, dia turut memeriksa keadaan anak sulungnya yang dalam keadaan serupa selain mulut berbuih.
“Saya lihat ada plastik makanan ringan dan yakin mereka sudah termakan keropok dicampur racun tikus itu yang sering digunakan penduduk berhampiran bagi memerangkap monyet.
“Berikutan keadaan kritikal, mereka dipindahkan dari Hospital Kulim (HK) ke HPP,” katanya.
Turut kelihatan di perkarangan HPP adalah sanak saudara mangsa yang menemani Nuraini.
Sumber: Harian Metro dan Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Elakkan Ular Dan Tikus Bersarang Dalam Rumah. Hanya Tabur 3 Bahan, Bayang Haiwan Langsung Dah Tak Nampak
Cara Mudah Halau Tikus, Lipas Dan Semut Dengan Hanya Guna Kulit Telur Ayam.
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my