Orang kata masakan ibu adalah yang paling sedap di dunia. Walau pergi ke hujung dunia sekalipun, seorang anak tetap merindui masakan ibunya. Demikian juga air tangan isteri.
Meski pun apa yang dimasak itu ringkas saja tapi disebabkan ia diolah dengan penuh kasih sayang, ceria dan tulus maka tatkala anak dan suami menikmatinya ia terasa enak sekali.
Dorongan memasak seorang ibu juga bukan untuk mendapat apa-apa tetapi untuk memberi. Yakni untuk memberi kasih sayang dan mengenyangkan orang yang disayangi iaitu suami dan anak.
Sebab itulah walau penat pulang dari kerja petang hari, seorang ibu akan tetap memasak untuk keluarganya.
Masakan dari seorang ibu juga adalah petua berkesan untuk mengeratkan kasih sayang. Malah semasa memasak turut ibu boleh melakukan usaha untuk melembutkan hati anak dan suami.
Berikut adalah amalan yang boleh ibu praktikkan .
1. Berwuduk dan solat sunat dua rakaat sebelum memulakan urusan memasak.
2. Baca doa ketika masuk dapur iaitu surah Al-Kahfi, ayat 10 yang bermaksud “ Ya Tuhan kami, berilah kami rahmat yang besar dari sisi Mu dan persiapkan petunjuk terhadap urusan kami.”
3. Ketika mengambil beras baca surah An-Nahl ayat 96 yang bermaksud “ Apa yang di sisi mu akan lenyap dan apa yang di sisi Allah adalah kekal.”
4. Baca doa waktu menyimpan beras iaitu surah Ali Imran ayat 27 yang bermaksud “Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.
5. Semasa memotong sayur atau daging bacakan surah Al-Baqarah 71 yang bermaksud;
“Musa berkata: “Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, tidak ada belangnya”.
Mereka berkata: “Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat sapi betina yang sebenarnya”. Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu.”
6. Doa memotong sayur ialah surat Al-Kautsar 1–3 yang bermaksud “Sesungguhnya kami telah memberikan kepada mu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhan mu dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.
7. Apabila meletak kuali atas dapur ibu boleh membaca doa dari surah Al-Baqarah 137 yang bermaksud “Maka Allah akan memelihara kamu daripada mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
8. Mulakan kerja memasak dengan bacaan Basmalah. Setiap kali hendak masukkan bahan dalam periuk atau kuali, dahulukan dengan ucap Basmalah untuk mendapatkan keberkatan.
9. Sewaktu mengacau masakan, kacau ikut lawan arah jam. Maksudnya dari kanan ke kiri mengikut sunnah.
10. Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa surah Al-Imran ayat 200 yang bermaksud;
“ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, dan bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.” Doa ini boleh melembutkan hati ahli keluarga.
11. Zikir penyedap sajian yang dimasak ialah selawat dan istighfar sepanjang proses memasak.
Semoga hidangan makanan yang dimasak sentiasa diberkati oleh Allah SWT di samping suami dan anak-anak yang makan juga mempunyai akhlak terpuji yang menyenangkan hati.
Sumber: Petua Ibu (Facebook)