Tiada yang mustahil dalam membentuk dan mendidik anak menghafal al-Quran dalam usia muda. Yang penting disiplin.
Biarpun dibesarkan oleh nenek dan datuknya, adik Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin membuktikan kesungguhan dan dispilin yang tinggi membolehkan dia muncul juara Qari Junior 2017. Sekali gus memenuhi impian neneknya, Asmah Jusoh, 59 dan datuknya Mohd Nasir Mohd Din, 60 yang mahu menjadikannya seorang tahfiz akhirnya menjadi kenyataan.
Ibu-ibu di luar sana boleh menjadikan petua nenek Haikal ini sebagai panduan:
Petua Nenek Latih Cucu Cintakan Al-Quran
- Mulakan pendedahan pada al-Quran seawal usia 4 tahun. Haikal mampu khatam dalam tempoh 2 bulan dan menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika usia 8 tahun.
- Setiap bulan khatam al-Quran 2 kali.
- Setiap pagi bangun seawal 4.45 pagi untuk solat sunat, mengaji satu juzuk sebelum ke sekolah. Pada hari cuti, perlu habiskan 7 juzuk al-Quran. Sambil siapkan kerja sekolah, Haikal akan mengaji.
- Tak mengambil sebarang makanan ringan. Setiap hari bawa bekal yang dimasak nenek ke sekolah.
- Merakam surah dan membaca semula surah yang dirakam
Sejarah Sukar Haikal
Ketika usia setahun setengah, Haikal tidak boleh meniarap dan bercakap serta alami masalah saraf dan hampir menjadi orang kurang upaya.
Sejak itu, nenek latih Haikal menulis agar tangannya kuat. Diurut kaki dan tangan cucunya sambil tak henti berdoa pada Allah.
Umur 2 tahun, Haikal baru boleh berjalan tapi belum boleh bercakap.
Disebabkan tidak lekat nak sebut nama mama mahupun babah, nenek ajar Haikal sebut Allah. Sebut berulangkali sampai “Allah’ menjadi sebutan pertama anak kecil ini.
Ini Cara Haikal Hadapi Tekanan
Didikan nenek yang kental disiplin ada ketikanya membuatkan Haikal alami tekanan. Subhanallah… sungguh hebat Haikal atasi tekanan dirinya.
“Rasa tu timbul pada awal dulu. Tapi saya dah ok, mula-mula saja rasa tertekan. Kalau saya penat, saya main basikal dalam 15 minit dan kembali mengaji. Tak susah pun, cuma perlu fokus.”
Sumber: Sinar Harian/GPS Bestari
Azlan & Sabatini Biasakan Anak Kembar Travel Sejak Usia 6 Bulan, Kembara 20 Hari Ke Eropah
Bagi yang mengikuti drama bersiri Biniku Ninja yang bersiaran sepanjang Ramadhan yang lalu di Astro Oasis mungkin mengetahui kisah perjalanan pasangan ini.
Watak yang dilakonkan semula oleh Jihan Musa dan suaminya Engku Haris, merupakan satu perjalanan travelog yang cukup menarik.
Kini Azlan Shah Andi, 26 tahun dan isterinya Sabatini Mohd Dzuehairullah Duno, 25 tahun sudahpun memiliki dua orang anak kembar, Adam Qowiy dan Adwin Qowiy yang kini berusia 1 tahun 6 bulan.
Pasangan yang viral hanya selepas tiga minggu perkenalan mereka ini kini meneruskan misi mereka untuk menjelajah dunia. Namun menariknya kali ini, pasangan ini turut membawa dan membiasakan anak kembar mereka untuk melihat dunia ciptaan Allah SWT.
Sama seperti mereka, Azlan dan Sabatini juga mahu anak-anaknya kuat dan kental serta didedahkan dengan dunia luar, sebagai persediaan untuk menjadi manusia yang lebih berdikari. Membiasakan anak-anak mereka dengan berbagai jenis ragam ketika percutian adalah misi mereka kini.
“Disebabkan kami berdua gemar travel, jadi sejak mereka berusia 6 bulan lagi kami sudah biasakan mereka untuk ikut kami travel dan merasai situasi yang berbeza. Kami mencuba pelbagai jenis kenderaan termasuklah udara, laut dan darat untuk mengelakkan mereka berasa kekok atau mabuk kenderaan.
“Kami mulakan dengan perjalanan jarak pendek seperti penerbangan 2 jam sehinggalah 13 jam dengan waktu yang berbeza, siang atau pun malam.
Kami juga biasakan mereka untuk merasai pelbagai musim dari kawasan bersalji sehingga kawasan yang panas terik. Tujuannya adalah untuk membiasakan mereka mengikuti rentak pergerakan kami yang selalu bergerak ke destinasi berbeza.
Sehingga kini antara negara yang telah kami bawa adalah Jepun, Korea, Singapura, Brunei, Indonesia, Bangkok, London, Amsterdam dan Perancis,” katanya lagi.
Kembara Ke Eropah
Orang kata agak sukar melancong dengan membawa anak-anak kecil. Namun bagi Azlan dan Sabatini yang lebih senang membahasakan dirinya Saba, mereka langsung tidak menampakkan kesukaran. Malah mahu anak-anak mereka biasa dengan situasi di negara orang.
Pasangan ini baru sahaja pulang daripada menjelajah ke Eropah selama 20 hari dengan anak kembar mereka. Baik Azlan mahupun Saba, walaupun dilanda masalah dengan cuaca seperti hujan dan sebagai, mereka tidak meletakkan ianya sebagai satu kesukaran.
Malah membiasakan anak-anak kecil mereka dengan pelbagai aspek ketika travel adalah sesuatu yang harus dipuji.
“Hardcore travellers betul anak – anak saya dua orang ni. Alhamdulillah ini dah negara ke – 9 yang mereka pergi dalam usia 1 tahun 6 bulan. Selepas Germany, kami akan ke Amsterdam, Holland so cukup lah 10 negara, kita balik Malaysia sekejap ya anak – anak ? Setakat ini mereka dah pergi Singapore, Indonesia, Thailand, Brunei, Jepun, Oman, South Korea, France, Belgium, Germany, next Holland, Pastu, ikut Mommy balik sekolah ya kat UK.
“Soleh anak – anak saya ni insyallah. Kecik – kecik dah ikut nak solat even time travel. Actually kalau kami time travel, kami akan elakkan dari terpaksa solat dalam kenderaan bergerak sambil duduk. Tu kira last option lah kan of course. Selalu even kalau dalam flight pun Lan akan minta kat stewardess or steward nak pinjam ruang dekat belakang untuk solat or kalau tak, cari ruang tersembunyi dan bersih untuk solat. Tapi semalam punya cari takde, pastu dekat Cologne Station tu ramai polis ronda-ronda tak bagi solat. Kawasan tersembunyi banyak kena kencing etc sebab train station 24hrs so banyak homeless stay sana. Macam – macam cara, ambil air wuduk sampai berapa kali terbatal ? akhirnya sis cakap solat dalam train kami dr German – Amsterdam jelah nampak gayanya.
Dalam bermusafir semasa travel ni, macam-macam juga yang kami belajar, kena ambil tahu etc. Byk benda kena belajar lagi, endless. Semua ni Lan ada story dlm ‘Biniku Ninja 2’ dengan lebih details insyallah. Harini last kami di Eropah, malam nanti flight pulang Malaysia,” cerita Azlan dan Saba di instagram peribadi mereka.
Sedikit perkongsian kisah kembar mereka, Azlan dan Saba mengakui teruja dan sangat bersyukur kala dikurniakan Allah dengan anak kembar.
“Alhamdulillah bila dikurniakan anak kembar keriangan jadi berganda tapi perkara lain seperti tenaga dan kos juga berganda. Dari segi penjagaan, saya dan isteri masing-masing memainkan peranan berbeza. Saya sedikit tegas manakala isteri pula lebih manja dengan anak-anak.
“Salah satu kebaikan mempunyai anak kembar ialah mereka jarang untuk merasa bosan kerana ada teman sepermainan. Jadi walau di mana dan apa jua keadaan walaupun tanpa alat permainan, mereka masih boleh bermain sesama sendiri.
Walaupun mereka kembar kami biasakan mengajar mereka untuk berkongsi contohnya ketika makan, bersugi, dan berkongsi selimut ketika tidur,” kata graduan daripada University Of Wales, England ini lagi.
Kredit Foto: Instagram Sabatini
Suami Tak Payah Susah Hati Macamana Nak Gembirakan Hati Isteri, Buat 6 Perkara Ni Dah Cukup Buat Isteri Sayang!
Hidup berkasih sayang perlukan kerjasama yang bukan sedikit bagi kedua-dua pihak. Tidak hanya seorang diri, baik suami atau isteri sama-sama berperanan memberikan yang terbaik untuk pasangannya.
Menggembirakan hati isteri mungkin dianggap remeh bagi suami. Namun para-para suami tahu tak bahawa menggembirakan hati isteri punya banyak kuasanya dalam mengutuhkan lagi hubungan yang sedang rawan.
Nak gembirakan hati isteri ternyata sangat sulit bagi sesetengah suami, apa lagi suami yang pendiam dan tidak banyak cakap. Jadi bagaimana? Tip ringkas ini wajar anda baca dan selami hati sang isteri agar menjamin kesejahteraan keluarga bahagia bersama. Malah pahala yang Allah janjikan juga pastinya milik anda.
1. Ungkapan Sayang Di Bibir
Jangan anggap kata-kata sayang adalah perkara yang remeh bagi anda. Selalulah beritahu isteri bahawa anda amat menyayanginya agar dia tahu dirinya sentiasa disayangi.
Tidak pernah tidak, pastikan setiap hari anda mengucapkan kata-kata ‘i love you’ biar hanya dalam sistem pesanan ringkas atau ‘whatsapp’. Dalam kesibukan tugasan dan kerja di pejabat, melihat mesej ringkas sang suami sekali imbas sahaja nyata menaikkan semangat si isteri. Kena buat!
2. Bergurau Senda
Tidak hanya kata-kata manis dan ayat ‘power’ untuk si isteri. Cukuplah hanya sekadar gurauan biasa yang membuatkan hati si isteri terhibur kala diusik. Tanpa kata-kata dan percakapan pastinya jadi lebih sunyi dan impaknya buat isteri kurang rasa dihargai apa lagi disayangi.
Jika berdua di dalam kereta misalnya, ambillah masa berbual dengan isteri dan sesekali selitkan gurauan dan usikan yang mampu buat isteri ketawa. Biarpun lelah menguruskan kerja di rumah dan anak-anak yang tidak pernah sudah, hati si isteri pasti terhibur.
3. Ringankan Kerja Isteri
Isteri pastinya tidak meminta. Namun sesekali bantulah ringankan tugas isteri di rumah dan boleh juga menjaga anak-anak kala dia perlukan rehat. Beri dia rehat yang secukupnya sekali-sekala tanda penghargaan untuk isteri.
Sesekali mengambil tugas menyediakan sarapan buat keluarga juga sudah dianggap hebat daripada isteri, apalagi jika anda meminta menyediakan makan malam untuk seisi rumah. Pasti isteri anda amat bersyukur dan bangga kerana memiliki suami seperti anda.
4. Pujuklah Hatinya
Bukan wanita rasanya jika isteri anda langsung tidak pernah merajuk dengan kelakuan dan kata-kata anda. Bukan kerana ayat kasar yang anda lontarkan tetapi yang anda perlu sedari, hati wanita sememangnya lembut dan begitu sensitif sekali.
Beri dia sedikit masa dan kemudian pujuklah dengan lembut. Jika tidak mampu bercakap secara langsung, mesej ringkas berbunyi ‘sayang’ atau ‘saya rindu awak’ sudah cukup buat wanita rasa tidak diabaikan. Apa lagi jika anda menghadiahkannya sebuah hadiah kecil. Jadi berusahalah.
5. Peluk Cium Selalu
Jangan anggap cinta sudah pudar biarpun anda sudah melalui usia perkahwinan yang sudah cukup matang. Sebaliknya berusahalah menjadikan hubungan anda sama seperti baru berkahwin.
Setiap hari di rumah, peluk dan ciumlah isteri selalu. Ambil masa dua minit untuk tip ini setiap kali sebelum melangkah kaki ke pejabat. Kajian pakar daripada Jerman membuktikan amalan ini cukup baik untuk sistem reproduksi wanita. Amalan yang pada mulanya janggal akan bertukar menjadi perkara paling menyeronokkan bagi anda. Bahagia itu milik anda. Ayuh lakukannya sekarang.
6. Luang Masa Bercuti
Jika mempunyai wang lebihan pada seperti bonus dan sebagainya, sesekali ajaklah isteri bercuti di hujung minggu. Tidak perlu perjalanan yang jauh, sebaliknya ukurlah kemampuan sendiri dengan bercuti di dalam negara sahaja.
Ambil masa berdua dan berehatlah daripada segala kesibukan urusan setiap hari. Lebih tenang, relaks malah isteri juga lebih gembira dan pasti tersenyum bangga. Memilih tarikh ulang tahun perkahwinan atau hari jadi si isteri tentunya menjadi memori yang paling diingati sepanjang hayatnya.
Kecoh Video Murid Mengaku Bapa Masak ‘Air Ketum’, Guru Ni Dedah Kisah Sebenar
“Ok, cikgu nak tanya sekali lagi. Siapa kat rumah bapa dia pandai masak?”
Sejak malam tadi, tular sebuah video di media sosial seorang guru merakam pengakuan anak muridnya berkenaan bapanya tentang ‘air ketum’.
Dalam video berkenaan, ramai anak murid mengangkat tangan untuk menjawab sebelum kamera difokuskan kepada seorang murid perempuan yang duduk di meja hadapan.
Jawapan jujur anak itu telah mengubah suasana kelas mereka dengan gelak tawa rakan sekelasnya.
Rakaman berdurasi 15 saat itu turut mendapat perhatian pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu atau dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang berkongsi mesej yang diterima daripada guru yang membuat rakaman tersebut.
Ya, kita semua maklum soalan yang diajukan itu diulang kali kedua. Awalnya cikgu ini dah dengar jawapan masak ketum itu, namun untuk ‘bukti kukuh’, beliau ambil inisiatif untuk bertanya kembali dengan rakaman.
Apa tujuannya? Nak viralkan ke media sosial?
Jawapannya tidak.
Menurut beliau, video berkenaan HANYA dihantar kepada IBU kanak-kanak itu sahaja. Saya ulang, hanya kepada IBU murid itu sahaja.
Kenapa?
Niat cikgu ini jelas, beliau nak bantu pelajar berkenaan. Katanya, kalau ia betul-betul berlaku, harap pihak ibu tidak cover hal itu dari anak.
Jadi siapa yang viralkan video ini ke media sosial?
Ibu kanak-kanak berkenaan mungkin ada jawapannya. Biasanya kalau video ‘comel’ begini, mestilah cepat-cepat nak share dalam group whatsapp family.
Bila dah tersebar di satu group, bayangkan apa akan jadi selepas itu. Dan kita semua dah tahu video ini telah tersebar merata.
Jadi, siapa yang betul dan siapa yang salah dalam isu ini? Itu bukan tugas kita untuk mengadili. Biarlah pihak sekolah, PPD atau kementerian yang siasat.
Untuk mengelakkan kejadian sama berulang, maka ini cadangan saya,
1. Mohon cikgu tidak mengambil tindakan peribadi dengan menghantar video itu terus kepada parents. Ya, niat cikgu baik, tapi kita khuatir ia akan timbul salah faham.
2. Rujuk pentadbir sekolah. Bincang apakah jalan yang terbaik untuk bantu murid ini, juga ayahnya.
3. Paling elok, panggil si ayah dan ibu murid datang ke sekolah. Maklumkan apa yang berlaku serta tunjukkan video itu. Kemudian, delete segera.
4. Maklumkan pada ibu bapa apakah impak buruk yang dialami anak jika si ayah tak berubah (jika benar menurut dakwaan anak).
5. Jika kes berat, ayah atau ibu murid terlibat dengan penyalahgunaan dadah, maka panjangkan terus kes kepada pihak polis dan JKM.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang berkata, beliau sudah melihat video yang tular di media sosial pagi tadi dan masih belum mengetahui punca sebenar bagaimana video berkenaan boleh tular.
Menurut beliau, perkara itu di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan dan NUTP memandang serius perkara itu kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur.
“Perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana boleh mencemarkan maruah keluarga dan kanak-kanak terbabit, ” katanya.
Pihaknya juga akan menunggu maklumat lengkap berkenaan video yang tular itu sama ada ia dilakukan oleh pihak lain.
Sekiranya perkara itu dilakukan oleh guru, ianya sesuatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana membabitkan hal ehwal murid dan pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi membuat siasatan.
Katanya, beliau turut menasihatkan guru agar berhati-hati dengan kecanggihan teknologi masa kini supaya tidak melakukan perkara di luar batasan yang boleh menjejaskan institusi perguruan.
“Buat masa ini kita menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan motif sebenar ia ditularkan,” katanya.
Sumber : Akhi Fairuz Al-Jengkawi, HMetro