Kehamilan

Ibu Hamil Bahaya Kalau Ada Masalah Placenta, Ini Mak-Mak Perlu Tahu!

Share

Plasenta atau uri yang berada pada kedudukan tidak normal sememangnya mengundang bahaya kepada ibu hamil. Malah beberapa risiko lain turut memberi masalah kepada ibu. Kenal pasti risikonya.

Ada beberapa kriteria plasenta tidak normal yang boleh mengundang bahaya kepada ibu iaitu:

1. Uri melekat (retained placenta)

Tanda dan risiko:
a. Ketiadaan tanda-tanda plasenta sudah lekang selepas 30 minit menunggu.
b. Pengalaman lepas, ibu pernah mengalami masalah plasenta melekat.
c. Pernah menjalani pembedahan Ceasarean sebelum ini.
d. Pernah menjalani D&C.
e. Mempunyai anak ramai.
f. Kandungan kembar.
g. Kehamilan lewat usia.

Cara menanganinya:
Ibu perlu dibius. Seterusnya doktor akan cuba membuat MRP dengan memasukkan seluruh tapak tangan ke dalam rahim dan hujungnya akan digunakan untuk mengikis permukaan uri yang melekat di dinding rahim.

Doktor akan mengeluarkan plasenta sepenuhnya atau sedikit demi sedikit (serpihan).

 

Bagaimanapun terdapat risiko dengan cara ini iaitu:
– Uri tidak dapat dikeluarkan sebab tertanam di dalam lapisan otot dinding rahim. Ia dikenali sebagai acretal/percreta. Boleh menyebabkan pendarahan yang banyak. Doktor akan memberikan ubat methtrexate untuk mengecutkan sel-sel plasenta supaya ia keluar sendiri atau melalui pembedahan histeraktomi (buang rahim) terutama kepada pesakit yang sudah cukup bilangan anak atau lewat usia.
– Serpihan uri tidak lengkap. Mungkin doktor akan melakukan D&C untuk mencuci hingga rahim bersih.
– Berlaku jangkitan.
– Luka pada dinding rahim (perfocation) tetapi jarang berlaku.

2. Uri di bawah (placenta previa)
Lokasi plasenta di bawah ini boleh disahkan selepas usia kandungan 8 bulan melalui pemeriksaan ultrasound. Tanda-tanda masalah ini ialah:

-Pendarahan yang tidak sakit pada trimester pertama kehamilan.
-Kedudukan bayi yang tidak normal seperti melintang atau menyongsang.

Jenis-jenis plasenta previa:
Minor – Tidak menutupi keseluruhan rahim. Wanita ini mempunyai peluang untuk bersalin normal. Tetapi jika berlaku pendarahan, pembedahan Ceasarean perlu dilakukan.

Major – Uri menutupi keseluruhan rahim. Pembedahan Ceasarean perlu dilakukan. Antara risikonya termasuk pendarahan banyak, kelahiran kecemasan dan kelahiran pramatang.

3. Uri lekang (abraptio placenta)
Plasenta lekang daripada tempatnya sebelum bayi dilahirkan. Biasanya berlaku semasa trimester ketiga kehamilan atau sewaktu kontraksi. Antara tanda-tandanya:

– Pendarahan yang banyak berbanding darah biasa diiringi dengan kesakitan.
– Denyutan nadi anak semakin menurun kerana dia cemas.
– Kes-kes ekstrem, degupan jantung anak tidak dapat dikesan menyebabkan dia lemas. Kadangkala masalah ini berlaku pada ibu yang mempunyai darah tinggi, bersalin kembar, kembar air (ketuban banyak) dan ibu yang mengamalkan urutan untuk membetulkan kedudukan plasenta atau bayi.

Jika doktor mendapati bayi masih hidup dan pintu rahim masih terbuka, pembedahan Ceasarean akan dijalankan. Jika pintu rahim sudah terbuka dan bayi masih stabil, doktor akan membenarkan ibu bersalin normal. Kalau bayi sudah meninggal pun, ibu tetap perlu bersalin normal.

4.Serpihan plasenta tertinggal (retained placenta tissue)
Boleh berlaku sejurus kelahiran bayi atau selepas ibu pulang ke rumah. Antara tanda-tandanya:
– Darah nifas yang banyak dan tidak berkurangan diiringi dengan ketulan darah yang banyak.
– Rengat yang berterusan dan teramat sakit.
– Darah nifas berbau menunjukkan jangkitan sudah berlaku.

Doktor akan mengesahkan terdapat serpihan plasenta tertinggal melalui pemeriksaan ultrasound. D&C akan dijalankan bagi membersihkan rahim dan kikisan serpihan plasenta akan dihantar ke makmal untuk mengesahkannya.

Apakah semua kes serpihan plasenta perlu menjalani D&C?
Hal ini bergantung pada serpihan yang tertinggal. Jika tidak banyak pendarahan, doktor akan memberi antibiotik dan serpihan akan keluar bersama darah nifas.

Adakah masalah serpihan plasenta tertinggal boleh dielakkan?
Hal ini merupakan satu kontroversi di kalangan pakar perubatan. Doktor dapat mengeluarkan plasenta sepenuhnya tetapi masalah selaput plasenta masih tertinggal masih boleh berlaku.

Masalah plasenta succencuriate lobe yakni tertinggal serpihan daging tambahan plasenta yang tidak diketahui oleh doktor boleh membawa kepada pendarahan yang banyak selepas pulang ke rumah. Bagaimanapun masalah ini jarang berlaku.